Ahad, 23 Disember 2012



BAYANG HITAM DI TENGAH LAMAN


       Aku berdiri di tepi jendela kaca menyaksikan air hujan yang berjuntaian kemudian jatuh ke bumi dalam suasana yang indah. Bunyi titisan itu membangkitkan segala kenangan yang bukan sedikit. Kebahagiaan yang kulalui seakan hilang dibawa kedinginan hujan. Aku menyingkap langsir biru itu, kelihatan air hujan kian lebat mewarnai pandanganku. Terasa jiwaku basah dan ada airmata yang ingin turut serta.

       Dari kejauhan nampak pemandangan di luar berbalam-balam. Suara rengekan hujan sungguh membingitkan, pohon-pohon nampaknya meliuk-liuk dipuput angin. Pemandangan yang selalunya indah itu hanya kelihatan suram, terasa bagaikan alam turut sama meraikan kesedihanku.Entah kenapa pula dalam hujan yang lebat menggila itu aku bagaikan melihat sesuatu di laman. Seakan-akan ada bebayang hitam yang berdiri merenungku, aku terkesima,berderau darahku antara percaya dengan tidak, mungkin itu cuma ilusiku yang sedang kesedihan. Lagi pun kalau difikirkan manalah ada orang yang sanggup berdiri dalam hujan selebat itu. Namun naluriku mengatakan sebaliknya, kunantikan makhluk itu berganjak dari tempatnya. Malangnya rengekan hujan yang bingit itu membuatkan aku tidak selesa. Langsir biru bilikku kukuak kembali ke asalnya. Nyanyian merdu dari radio kecilku di meja kedengaran lunak biarpun sesekali tenggelam dalam rengekan hujan yang entah bila kan berhenti.

       "Percayalah emak!... takkan saya nak buat semua tu". Rayuan abang sebulan yang lalu masih bermain dibenakku. Emak menangis dengan hibanya, Sementara ayah pula sudah bercekak pinggang, aku cuma terkesima, semua itu bagaikan sedang menyaksikan sebuah drama tv. Ayah membuka tali pinggangnya dan libasan dari tali pinggang itu kedengaran sangat menggerunan. Aku memejamkan mata, tidak sanggup untuk kusaksikan adegan ngeri itu. Abang tidak menjerit cuma terdiam mengetap bibir menahan kepedihan yang amat sangat.
       "Sudahlah", jerit emak sambil menolak badan ayah ketepi, aku meraung melihat semua itu. Badan emak kupeluk erat.

       Telefon bimbitku berdenyit lagi, cepat kucapai dan dadaku terasa berdebar. Hari ini sahaja aku telah menerima 5 sms yang sama Pasti ianya dari orang yang sama juga. Kata-kata yang tertera itu membingungkan aku. Selama ini tidak pernah aku menyakitkan hati orang lain. Apa yang membelengguku kini sangat menderakan. Mahu sahaja aku terbang bebas seperti burung, biar masalah itu kucampak keluar dari tingkap, biar ianya larut dibawa hujan. Biar ianya cair dibawa angin.

       Terasa aku bagaikan sedang berdiri di kantin. Aku terselit di celah-celah kebingitan itu. Tidak jauh dari tempatku itu terlihat Kak Ijan sedang menjamu selera. Entah mengapa saat mata kami bertembung seolah-olah ada api membakar. Aku bingung bila memikirkan antara kami tiada kemesraan, biarpun puas kucuba memesrainya namun aku gagal. Kak Ijan sering mempamirkan kebenciannya. Ketika aku sedang duduk makan bersama Rozana, bila tiba-tiba Wafa datang menerpa mencari aku, aku terpana bila namaku dipanggil. Nasi lemak di atas meja tidak habis kusuap ke mulut. Rupanya dia mahu memberitahu yang abangnya mahu berkenalan denganku. Abangnya kirim salam kepadaku. Suaranya agak kuat sehingga menarik perhatian murid-murid di situ.

       Aku tersenyum malu ketika itu bila diusik Rozana, terasa duniaku berbunga indah. Tidak kusangka murid sepertiku yang pendiam ini ada insan yang mahu mendekati. Namun... baru sahaja hendak kugapai keindahan itu, aku terlupa ada sepasang mata sedang memerhatikan aku dengan muka yang mencuka. Sebenarnya secara tidak sengaja aku terserempak dengan abang Wafa ketika aku ke rumahnya untuk memulangkan buku Wafa. Tidak kusangka dalam diam ada sepasang mata memerhatikanku.
Siapa sangka abang Wafa ingin berkenalan denganku. Jauh disudut hati, aku telah mengambil keputusan untuk menolaknya secara baik. Pelajar sepertiku belum layak untuk masuk ke kancah perkenalan begitu. Bagiku biarlah kutumpukan kepada pelajaranku sahaja. Aku bimbang jika kedua orang tuaku tahu mereka pasti tersalah faham. Belum pun sempat aku membuat apa-apa keputusan aku dikejutkan dengan tindakan Kak Ijan selaku pelajar yang lebih senior dariku itu.

       Pulang dari sekolah aku ditahan di luar pagar. Tudungku ditarik menyebabkan aku hampir rebah. Dia mengugut aku supaya menjauhkan diri dari Razak. Pada mulanya aku tidak mengenali siapa gerangan yang disebut Kak Ijan itu, tetapi bila nama Wafa dikaitkan barulah kusedari semua itu berpunca dari perbuatan Wafa di kantin tadi. Aku terpana dan tidak menyangka yang aku akan terlibat dalam situasi yang memalukan itu. Bagi aku, aku tiada siapa-siapa dengan Razak, mengenalinya pun tidak. Apalagi nak jatuh cinta. Jijiknya aku dengan perkataan cinta. Kata-kata kesat Kak Ijan masih kuingat sampai kini. Terasa hatiku terluka dan buat keberapa kalinya aku menjauhkan diri dari namanya lelaki. Terlalu pahit untuk aku menelannya.
Ah!.. aku mengeluh, terasa amat berat untuk aku menanggungnya. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi aku masih belum dapat melupakannya. Terasa ada sahaja bayangan Kak Ijan disepanjang hidupku. Mahu sahaja aku lari dari bayangannya namun gagal.

       Aku melirik kepada potret wajah di mejaku. Wajah emakku manis disisi ayahku. Mereka berdua tersenyum, emak sedang meriba anak perempuan kecil yang comel. Rambutnya ditocang dua. Disebelah ayahku berdiri budak lelaki yang kelihatan nakal. Aku tersenyum pada gambar itu. Kepiluanku datang lagi bertamu. Entah bila aku akan bebas dari permasalahan yang datangnya bertimpa-timpa. Aku mengeluh. Rintik hujan di luar bagaikan nyanyian pilu buatku. Kurenung kembali keluar tingkap. Suasana petang terasa sunyi mengheret perasaanku untuk merasai kesedihan. "Emak!... ayah!... abang!...."

       "Setiap apa yang dijadikan Allah ada hikmahnya. Kalau kita tolong Allah, Allah akan tolong kita", kata-kata keramat itu bermain-main dimindaku.
"Apa sahaja kejadian di dunia ini telah ditentukan Allah". Aku memetik kata-kata itu. Biarpun cuma mengenali di laman muka buku terasa hubungan kami sangat akrab. Kekadang aku jadi rindu pada empunya kata-kata itu. Terlalu banyak nasihat yang diberikan, aku terpesona dengan setiap tutur katanya. apakah aku sudah jatuh cinta padanya. Oh! tidak... masakan boleh aku jatuh cinta dengan insan yang tidak kukenali. Mustahil, mungkin aku hanya meminati kata-katanya sahaja bukan dirinya. Begitu aku mememujuk diriku.

       "Apa?... ada lembaga hitam merenung kau?", Nani tergelak.. air oren digelas itu tidak jadi dihirupnya, aku mengangguk.
"Itu tandanya... ada insan yang sedang cuba mendekati kau"... aku mencebik. Cepat sahaja aku memancung cakapnya.
"Berdiri dalam hujan lebat?"....
"Emmm... nak cari perhatian kaulah tuuu"... kali ini aku tergelak. Mustahil.
Angin petang terasa membuai-buai perasaan. Meja kecil di bawah pokok ketapang itu sudah menjadi tempat kami untuk bersua muka sejak dulu lagi.
Andai sahaja dapat kuluahkan semuanya akan aku lakukan tetapi terasa seperti... ada satu misteri yang mesti aku ungkapkan sendiri.
"Apa kata kalau kita menyiasat, mungkin sms tu ada kaitan dengan lembaga hitam tu". Aku cuma mengangkat bahu, tiada jawapan yang pasti akan kutemui melainkan kebuntuan.
"Jangan-jangan yang merenung kau, dalam hujan lebat tu... emm..", kunantikan kata-kata seterusnya dengan sabar. Kutelan ludahku sendiri.
"Apa?", sergahku tiba-tiba. air oren yang sedang dihirupnya tumpah ke meja. Dia terkenyit-kenyit mata menahan kepedihan. Aku tertawa gelihati melihat aksinya itu.

       Di bawah pokok ketapang inilah aku dan teman-teman selalu menghabiskan waktu bersama. Kami selalu menyanyi lagu kegemaran kami ketika itu, yang paling seronok sekali apabila Zana membawa adik kecilnya untuk bermain denganku. Itulah saat yang paling indah didalam hidupku. Yelah.. anak bongsu seperti aku yang tidak pernah punya adik tentulah gembira bila dapat bermain dengan adik kecil Zana, malah aku sering menyuruhnya membawa adiknya lagi dilain ketika. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Buaian yang ada pada dahan ketapang itu juga selalu menjadi rebutan. Ah!, banyaknya kenangan pokok ketapang ini buat aku.

       Nani baru sahaja kelihatan pulih, rasa bersalah pula bila aku memperlakukannya begitu tadi. Berkali-kali aku meminta maaf darinya. Sebelum pulang petang itu aku mengajak Nani menjamu selera di rumahku. Sudah tentu emak telah memasakkan sesuatu bila sahaja ada temanku yang datang. Benar dugaanku petang itu kami dijamu dengan laksa kegemaranku. Sebelum pulang emak membekalkan sedikit buat ibu Nani. Sempat Nani mengusik aku sebelum melangkah pulang."Hati-hati Maria... jangan sampai makhluk hitam itu mencolek kau nanti". Aku cuma tersenyum tawar sambil jari telunjukku kuletakkan di bibir. Kalau boleh aku tidak mahu emak tahu apa-apa.

       Saat aku melangkah masuk ke bilik hari sudah jauh malam. Selesai solat Isyak dan makan malam tadi aku menemankan emak menonton cerita P.Ramlee. Terkekek-kekek emak ketawa walaupun cerita yang ditontonnya itu sudah berulang kali ditontonnya.

       Langsir bilik kukuak sedikit. Cahaya bulan melimpah ke bumi tenang dan nyaman. Bebayang pohon bercantum dengan rumput-rumput di laman. Aku memerhatikan seluruh laman dari jendela bilikku. Tiada apa-apa yang ada di situ melainkan hanya suasana malam yang sepi. Terngiang-ngiang suara Nani yang ceria tadi.
"Jangan sampai dicolek makhluk hitam tuuu"... Makhluk hitam?, apakah yang sebenarnya kulihat. Betulkah wujudnya makhluk hitam di dalam hujan lebat itu? atau cuma hayalanku sahaja?
Kurenung ke langit, nampak bulan di celah awan mengintaiku bagai sedang mengucapkan selamat malam. Telefon bimbitku berdenyit lagi seperti rengekan bayi yang haus. Pantas sahaja kusambar dan kutatap mesej yang sama seperti sebelumnya.
"Kalau kail panjang sejengkal, janganlah lautan hendak diduga!". Aku terhenyak, rasanya aku perlu menghentikan seseorang daripada terus mengangguku. Cepat sahaja jari kurusku menaip sesuatu....
"Andai ada seribu lautan pun akan aku kail, biarpun tiada siapa yang akan menduganya".cepat sahaja kubalas sms mesteri itu. Harap-harap ada secebis pengertian buat aku fahaminya. Namun hingga ke dinihari tiada sebarang balasan.

        Petang itu aku membantu emak di laman, menyusun pasu-pasu bunga, memberus pasu-pasu lama yang sudah mula berlumut dan mencabut rumput yang meliar tumbuh di dalam pasu. Aku mula berfalsafah sendiri... rumput-rumput itu ibaratnya pengaruh jahat yang semulajadi ada didalam diri kita. Ianya perlu di buang agar tidak terus menguasai diri.

       Walaupun emak cuma suri rumah sepenuh masa, masa emak tidak terbuang begitu sahaja, ada sahaja aktiviti yang dilakukannya. Tengok tu, di tepi bilikku ada 3 pasu bunga ros yang subur. Bukan sahaja bunganya lebat, daunnya pun turut merembang. Sesekali ditiup angin malam baunya sampai masuk ke bilikku. Ia juga menyumbang pewangi yang asli..

      "Maria!!... tempat kau mengajar tu, tak ada ke yang sangkut?", tiba-tiba suara emak memecahkan lamunanku. Aku tergamam, rumput yang telah kucabut tadi kucampak ke sudut. Aku cuba memahamkan pertanyaan emak.
"Sangkut?.. apa yang sangkut?", dahiku berkerut.
"Hai budak ni... tak ada ke yang berkenan?". Aku tersenyum gelihati. Ah! ingatkan apa tadi.
"Emmm... kan emak pesan, kalau mengajar tu buatlah cara mengajar, jangan gatal nak cari jantan". Aku beralasan dan sekaligus memulangkan paku buah keras. Tiba-tiba emak tergelak, suara gelak emak sangat indah dimataku. Sebenarnya sudah lama aku tidak mendengar suara gelak emak. Sejak peristiwa abang dibelasah ayah, emak jadi murung. Wajah emak sentiasa sedih. Aku tahu kerisauan yang ada dihati emak. Umurku sudah menganjak tinggi tetapi sampai sekarang belum ada tanda-tanda yang aku telah ada seseorang yang istimewa.Dalam diam aku sebenarnya mentertawakan diriku sekali.

       "Lurus betullah budak ni, dah besar panjang macam ni... bila lagi nak cari?", aku pura-pura tidak mendengarnya. Tanah di dalam pasu kugores-gores dengan mata tiga. Sarung tangan kutanggalkan.
"Hai.. Maria, takkan bila tanya macam tu, dah nak berhenti kerja".
"Tak.. Mar nak masuk rumah kejap, nak minum air... haus, emak nak Mar ambilkan?". Aku berjalan pantas kulihat emak menggeleng. Sambil itu aku terkenangkan beberapa minggu yang lalu ada seorang pemuda yang menghampiri keretaku. Dia cuma melemparkan senyuman dan tidak lebih dari itu.

       "Maria!... cepatlah tolong emak habiskan ni". Aku menarik nafas, terasa air kosong itu mengalir deras ke kerongkongku.

       "Alah mak, Nani tu pun belum apa-apa, emak dia tak bising pun". Aku menyuakan sebotol air kosong, emak menyuruhku meletakkan ke tepi.
"Bukan tak ada.. dia tu memilih sangat". Tidak pula kutahu kerana selama ini Nani belum pernah menceritakan apa-apa padaku mengenai dirinya. Tak apalah!, lagi pun aku yakin lambat laun akan ada jodoh kami nanti.

       Ingat pula aku kepada teman baikku Nurin. Dalam waktu persekolahan lagi dia sudah bertunang. Gadis berwajah mirip Norkumalasari itu akhirnya mendirikan rumah tangga sebaik sahaja habis tingkatan 5. Zana pula gadis berkaca mata dan pendiam itu pun sama tetapi ironisnya dia berkahwin dengan orang yang tidak pernah dikenalinya. Mungkin diketika ini dia sedang mengelek anak. Kalau dulu adiknya lah yang selalu dikeleknya kesana-kemari. Ramai juga kawan-kawanku yang sudah berumah tangga. Aku dan Nani masih di sini menghitung hari. Setakat ini belum ada seorang jejaka pun yang berani mendekatiku.

       "Maria!,.. tuangkan emak air". Aku tersentak, keri terlepas dari tanganku. Sejak akhir-akhir ini aku banyak mengelamun. Lepas itu terperanjat. Nasib baik emak tidak perasan tadi kalau tidak teruk aku dileterinya. Penat juga aku hendak meghabiskan kerja itu, tetapi hasilnya tidak mengecewakan, nampak kemas, bersih dan teratur. Di tepi pagar kelihatan pokok cili berbuah lebat. Tentulah kerana emakku yang rajin, ada-ada sahaja petua yang dicubanya. Air beraslah, air ikanlah, tahi ayamlah. Seronok tengok hasil tangan emak... kalaulah ayah ada tentu dia bangga punya isteri serajin emak. Namun sampai sekarang ayah pergi tanpa khabar berita dan aku masih tidak faham kenapa ayah berbuat demikian.

       "Sudahlah tu, Maria!.. jom masuk". Aku akur, perkakas kebun itu kukumpul dan kusimpan. Emak sudah menghilangkan diri ke dalam rumah. aku masih mahu menikmati udara petang yang nyaman. Cicipan burung yang hinggap di pohon ciku cukup menghiburkan. Ibu ayam dan anak-anaknya kelihatan gembira sekali. Bunyi serangga di pinggir dusun juga cukup mempesonakan. Sepasang rama-rama saling berkejaran, aku jadi asyik.Seekor tupai melompat ke dahan nyiur dan dengan pantas membuat aksi spiderman.Semua itu cukup "mawaddah" bagiku. Namun hati kecilku merasakan ada sesuatu yang perlu ditambah tetapi aku tidak pasti apakah yang sebenarnya kumahu. Ruang laman itu terpaksa kutinggalkan juga bila jeritan emak mula kedengaran memanggilku. Lagi pun aku mula terasa seperti ada seseorang sedang memerhatikan aku.

       Aku menyusuri sungai di belakang rumahku dengan pelbagai rasa.Terkenang sms yang saban hari kuterima. Ada denyut rasa yang tidak kufahami sedang menderaku. Ayah yang pergi meninggalkan kami begitu sahaja dan lagi abangku yang ke bandar tanpa khabar berita. Alangkah andai semua permasalahan itu dapat kuselesaikan dengan mudah. Alangkah indahnya andai ayah dan abang tiba-tiba pulang dan kehidupan kami seperti dulu. Alangkah indahnya andai si pengirim sms itu muncul dan menyatakan apa yang sebenarnya yang tersirat. Ah! aku mengeluh, seketul batu aku lontarkan ke dalam sungai. Airnya berkocak.
Sikap ayah terlalu optimis terhadap emak. Ada-ada sahaja yang emak lakukan salah dimata ayah. Hal-hal yang sebegitu kecil pun akan diungkit-ungkit oleh ayah menyebabkan emak hilang sabar. Perang dingin itu membuatkan aku rasa terpinggir, terasa tidak dipedulikan. Jarang sekali emak membalas semua tomahan ayah, jarang sekali emak peduli setiap kekasaran ayah tetapi petang itu kesabaran emak tergugat. Ayah tiba-tiba berang bila desas desus memburukkan nama abang. Abang yang masih tidak punya kerja tetap itu dituduh mencuri getah buku jiranku. Abang bermatian menafikan, emak turut meyakinkan ayah tetapi ayah lebih mempercayai desas desus itu. Ayah menuduh emak yang tidak pandai mengajar anak.Tidak kusangka ayah sanggup menampar emak yang penyabar dimataku. Sedar-sedar pagi esoknya ayah sudah meninggalkan kami. Bila kutanya pada emak, emak cuma membisu. Malah ketiadaan ayah sungguh membuat emak tenang. Namun dapat kurasakan emak masih mengharapkan kepulangan ayah. Aku berharap semoga satu saat nanti ayah akan pulang untuk membetulkan keadaan.

       "Hai!", aku jadi kaget, sebuah senyuman terselit dibibir jejaka yang tidak kukenali itu. Dia berdiri betul-betul didepanku. Aku terkesima antara mahu lari atau membiarkan dia merenung aku yang sudah merasa serba salah. Entah sejak bila dia muncul di depanku.Adakah ini hayalanku atau cuma ilusi. Aku memejamkan mata dan berharap bila mata kubuka nanti jejaka itu akan ghaib. Walaupun begitu dari hatiku ini berharap juga biarlah ianya satu kenyataan. Saat mataku dibuka terlihat Nani berlari-lari mendapatkan aku. Aku tergamam terasa bagai mimpi disiang hari.

       "Setiap yang terjadi di dunia ini adalah suratan, tentu ada penyebabnya".
"Allah berhak berbuat apa sahaja kerana kita ni cuma hambanya".
"Hidup ini umpama roda, sekejap di atas, sekejap di bawah,"
"Setiap permulaan akan ada penamatnya".
"Allah bersama dengan orang-orang yang sabar".

       Aku terpampan, sepertinya kata-kata itu selalu kudengar. Aku terfikirkan sesuatu, Nani menyeringai. Wajah manis Nani kutatap. Wajahnya yang bujur sirih, berkulit kuning dan tinggi lampai itu cukup ayu berbaju kurung biru, bertudung kelabu. Aku tidak mengerti mengapa gadis periang dan secantik Nani masih belum lagi diminati oleh sesiapapun. Aku jadi tidak faham apa yang seorang lelaki mahukan dari seorang perempuan sebenarnya.

       "Ini Razaklah!, jerit Nani menyentakkan aku dari hayalan kecilkku. Aku cuba mengerutkan dahi, mencari sesuatu.
"Maaf saya tak pernah kenal sesiapa pun yang bernama Razak". Aku menjeling lelaki di depanku. Pemuda itu tersenyum sumbing.
"Memanglah kau tak kenal dia,..". Nani menyikuku. Pasti dia ni buah hati Nani, lihat sahaja betapa cerianya dia hari ini, siap memperkenalkannya kepadaku. Aku juga yang kekosongan.
"Saya... Laxmana Dzun Nun". Aku bagai dipanah. Tiada kata-kata . Patutlah ayat-ayat yang diucapkan tadi seperti biasa kubaca dimana.? Dilaman muka buku. Tetapi gambarnya cuma seorang lelaki perkasa memegang lembing. Mukanya bersalut kostum besi.
"Apalah ada padanya pertemuan, andai ianya kan jadi perpisahan". Aku makin terdera dengan trade mark itu. Inilah jejaka yang berjaya mencuri hatiku.
"Adakah di depan hamba ini, Puteri Semalu?", kali ini aku tersipu.
"Apalagi tuan puteri, baik mengaku aja!", Nani menyinggungku. Aku tidak berdaya berdalih lagi.
"Inilah abang Wafa, orang yang mahu mengenali kau waktu kau berhingus dulu tu". Tidak kusanga akhirnya terjawab satu persoalan. Ini mungkin permulaan, akan ada lagi jawapan kepada persoalan yang lain. Aku mula berharap.

       Saat aku melangkah pulang, ada 2 pasang kasut lelaki di luar rumah. Aku tertanya-tanya... dan sebaik aku menerjah masuk wajah emak kelihatan sugul. 2 pasang mata memandangku. Seketika aku terkejut, "Ayah!", jeritku separuh gembira tanpa mempedulikan sepasang mata lagi yang juga merenungku. "Abang!", jeritku. Sungguh! doaku dimakbulkan Tuhan. Semoga hari ini segala penantianku tamat dan berkesudahan dengan kegembiraan.

       "Tahniah!", ucap Nani sambil menggosok bahuku. Aku masih tidak memahami situasi yang sebenarnya itu terus mendapatkan emak. Dengan lemah emak menerangkan semuanya. apa yang aku mampu lakukan hanyalah menjadi pendengar yang baik. Aku akhirnya memeluk emak dan melepaskan satu tangisan kesyukuran.

        "Inilah yang dinamakan kesudahan yang indah", bisik Nani. Aku tersenyum panjang sambil merenung wajah ayah dan abang. Apa-apa pun aku berharap inilah satu penghijrahan yang terbaik dari keluargaku. Dalam pada itu masih ada satu lagi yang belum terjawab, jauh disudut hatiku aku tidak mahu lagi memikirkannya biarkanlah ia berlalu dari hidupku. Terima kasih Tuhan.

       Akhirnya aku dapat ketenangan. Semua permasalahanku akhirnya terlerai. Ayah sudah pulang menunaikan tanggung jawabnya. Abang juga telah insaf dan berjanji untuk menjadi anak yang baik. Kutinggalkan emak dan ayah menyelesaikan masalah mereka. Biar apa pun alasan ayah aku hormati. Apa pun yang kulihat di dalam hujan lebat itu biarlah terus menjadi misteri buatku. Tidak payahlah untuk aku menemukan jawapannya kerana aku sebenarnya sudah tahu akan jawapannya. Biar aku sendiri yang tahu.

3 ulasan:

  1. Aku bukanlah seorang penulis yang hebat untuk mempersembahkan tulisan ini cuma... hanya ingin mencuba bakat yang ada dalam diri, bakat yang tidak pernah kemana pun. Apa-apa pun selamat membaca...

    BalasPadam
  2. menarik dik..tema yang agak berat cuma kalau dikembangkan lagi watak ayah , abang dan razak pasti lebih menarik..tapi hingga ke akhir cerita umi masih bingung siapa bayangan hitam itu..apakah adik maksudkan abang wafa..?

    BalasPadam
  3. Hmmm... itulah persoalannya, sebenarnya saya sendiri pun masih mencari-cari cerita penamatnya. Terlalu sukar untuk menoktahkannya, Siapapun boleh jadi siapa bayangan hitam itu, kalau dah dapat jawapannya saya akan kembangkan cerita ini lagi, tapi bukan abang wafa, mungkin yang tidak terfikir, wah!... suspen juga yer... nantikan jalan cerita akhirnya...

    BalasPadam