Sememangnya dalam kehidupan ini banyak benda yang kita kena lalui, mahu atau tidak itulah fenomena kehidupan. Ada kalanya ianya sangat manis dan menggembirakan. Ada kalanya juga menyakitkan sekali. Antara perkara-perkara yang dilalui itu ada juga yang menakutkan. Begitu juga dengan aku kerana terpaksa melaui perkara yang menakutkan hingga menyebabkan aku berdepan dengan fobia.
Satu hari seperti biasa aku menjalani rutin hidupku. Selesai menyiram bunga-bunga di kebun bungaku aku masuk ke rumah untuk berehat sebentar. Anak-anak sudah ke sekolah semuanya, suami pula sudah ke tempat kerja manakala rumahku memang sangat hampir dengan rumah ibu mertuaku betul-betul bersebelahan. Kalau aku menjerit memang akan didengarilah suaraku.
Aku duduk di kerusi di dapur, ada tv di tepi dinding., sebelahnya ada meja lama. Suasana pagi itu masih gelap. Aku terus memasang tv, tanpa sempat membuka tingkap dan pintu dapur. Aku bercadang untuk berehat sebentar sebelum meneruskan kerja-kerja lagi di luar rumah. Dalam pada itu dengan kuasa Allah aku terlihat sesuatu di bawah meja. Sesuatu yang amat aku takuti. Namun benda itu pegun tidak bergerak langsung. Mungkin aku salah pandang. Aku menapak setapak sambil membongkokkan badan. Ya Allah! Memang betul itu adalah ular!. Aku berlari keluar dari rumah terus ke rumah ibu mertuaku sambil menjerit-jerit memanggil ibu mertuaku.
Namun kelibatnya tidak kelihatan mujurlah adik iparku ada ketika itu. Dia mententeramkan aku, dengan beraninya dia masuk ke dalam rumahku untuk melihat kalau-kalau ular itu masih ada di situ. Memang apa yang aku nampak itu ular katanya, tetapi ular itu sedang bergerak keluar melalui bawah pintu dapurku yang tertutup. Itu yang dikatakan oleh Linda padaku. Aku hanya di luar rumah. Beberapa ketika ibu mertuaku pula yang datang. Dia memeriksa keadaan dapurku untuk memantau keadaan dan untuk memastikan keselamatanku. Aku mengikut ibu mertuaku dari belakang. Dia mengesahkan yang ular itu betul-betul sudah keluar. Aku menarik nafas lega.
Akhirnya perkara yang menakutkan berlaku sekali lagi kerana hari sudah meninggi, bermakna aku akan duduk di dapur untuk memasak . Sebentar sahaja lagi anak-anak dan suamiku akan pulang untuk makan tengahari. Dalam ketakutan itu aku masuk ke dapur memulakan tugasanku. Emak dan Linda sudah pun balik kerumah. Syukurlah kerana anak-anakku sudah pulang dari sekolah, tetapi mereka pelik kerana aku masih belum menyediakan makan tengahari. Salah seorang anakku masuk ke bilik air dan seorang lagi berada di ruang tamu. Aku mula menggoreng ikan sambil asyik memandang ke lantai. Entak mengapa dalam mindaku ini asyik terbayangkan ular yang berwarna hitam itu. Sedang aku tertoleh-toleh ke lantai itulah aku terasa ada sesuatu menyentuh betisku. Ada sesuatu dalam kain batikku. Periuk di tanganku terlepas. Aku menjerit sekuat hati. Aku dah kena patuk! , entah bagaimana kuatnya jeritanku aku sendiri tidak pasti. Berlari anak-anakku yang dua orang itu ke arahku. Mukaku pucat, ditoreh tidak berdarah.
“Kenapa umi? Kenapa umi?”, mungkin mereka terkejut bunyi periuk yang jatuh tadi beserta jeritan mautku. Aku menyeringai sambil mataku terbeliak melihat kucingku si Domok sedang menggesel-geselkan badannya ke kakiku. Ekornya yang tersimpul itu menyentuh betisku. Aku menarik nafas lega namun jantungku masih berdegup kencang. Nasib baik bukan minyak yang di dalam kuali itu yang tumpah, kalau tidak aku sendiri tidak tahu apa nasibku. Selepas peristiwa itu aku sangat berhati-hati ketika masuk ke rumah. Ku pasang lampu dan kuintai di bawah meja dahulu sebelum membuat apa-apa pekerjaan. Namun jauh disudut hati aku masih dihantui fobia, masih dalam dilema. Entah bila aku akan dapat lari dari ketakutan ini. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha melindungi telah melindungiku dari segala mara bahaya. Aku bersyukur kerana sampai ke saat ini aku masih dapat meneruskan kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan