Sabtu, 29 Disember 2012

       Saat bertafakur di perkuburan di satu petang aku merasa damai sekali. Alam seakan turut sama merasai kesedihan yang kurasai. Terasakan bagai aku sedang bersatu dengan alam sekeliling. Jauh dan jauh perasaanku dibawa pergi. Terbayangkan kebaikan demi kebaikan arwah bapa mertuaku. Teringat saat kematiannya di Hospital Sungai Buluh. Lautan manusia di perkarangan masjid yang menantikan ketibaan jenazahnya. Semua itu bagaikan satu keinsafan buat insan kerdil sepertiku.

       Dalam kesunyian yang asing itu diriku bagai di bawa pergi jauh ke pendalaman. Kesunyian yang mutlak, sepi dan sepi hanya terdengar hembus nafasku sendiri, serta doa dan bacaanku didalam hati. Suara letupan buah-buah getah di pinggir perkuburan begitu jelas di cupingku. Derap jatuhnya bergesel dengan dedaun kering di lantai kebun getah bagai sedang berbicara dengan jiwaku. Sesekali aku menepis bingit nyamuk di mukaku sendiri sedang puteriku Balqis memegang erat tangan kiriku. Aku tenggelam dalam kesepian yang tiada tandingannya. Aku terlarut di dalamnya.
     
       Batu-batu nesan berceracak di mana-mana. Ada yang senget, ada yang pendek, tinggi dan pelbagai bentuk, gaya dan susunannya. Semua itu adalah pengalaman baru buat aku. Saat aku tenggelam dalam kekusyukan itulah bahuku dicuit. Rupanya suamiku disisi sudah pun berdiri dan dengan anak mata dia mengisyaratkan supaya meninggalkan tanah perkuburan itu segera. Balqis disisi masih memegang tangan kiriku kejap. "Kenapa ni?", soalku seraya berbisik. "seram"... jawabnya sepatah. Aku senyum.

       Cahaya matahari tampak ayun temayun dari celahan daun getah waktu kami mula melangkah meninggalkan kawasan perkuburan itu. Kami melangkah ke kereta dengan nafas yang lega. Tiba di kereta barulah tanganku dilepasakan.Memang ini pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke pusara. Sejujurnya bagi aku ini juga pengalamanku yang pertama.

        Kalaulah diberi peluang aku mahu duduk lama-lama di situ, mungkin banyak ilham yang datang untuk aku menulis sesuatu memandangkan kedamaian yang telah kuperolehi tadi. Mungkin aku akan dapat menghasilkan hasil tulisan yang baik. Namun mampukah aku menghadapinya?.. sendirian!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan