Rabu, 19 Disember 2012

INDAHNYA KENANGAN LALU

      Peristiwa lalu begitu payah untuk dilupakan. Kenangan itu teramat manis buatku.  Beberapa tahun yang lalu sedang aku mengendalikan nursery bungaku yang tidak sebesar mana itu disamping 3 gadis kecilku disisi, aku didatangi oleh seorang mak cik berbangsa melayu. Entah dari mana datangnya aku sendiri tidak menyedarinya. Tahu-tahu dah muncul didepanku. Orangnya peramah dan kelihatan menyenangkan hati. Wajahnya ceria dengan senyuman yang sentiasa terukir dibibirnya. Dari butir bicaranya dia sedang mencarikan calon isteri buat anak bujangnya. Di hari itu banyak juga bunga yang dibelinya sampai aku tertanya-tanya dengan apa dia datang tadi kerana aku tak nampak pun sebarang kenderaan. Terkejut aku bila diberitahu dia datang dengan bas. Aku dapat merasakan ada keanihan pada diri mak cik ni.

       Minggu berkutnya dia datang lagi, juga dengan menaiki bas. Kami berbual-bual panjang, sekali lagi dia menyuarakan hasrat mahu mencari calon isteri anak lelakinya. Peramah sungguh mak cik ini fikirku. Aku cuma menjadi pendengar yang setia. Sesekali aku tersenyum dan tertawa melayan bual bicaranya yang sangat mesra. Kali ini dia pulang dengan teksi. Sempat melambai mesra kepadaku.

       Minggu seterusnya kedatangannya bersama anak menantunya pula. Luar biasa sekali minat mak cik ni pada bunga fikirku. Aku tetap melayan perbualannya dengan semesra mungkin, terasa inilah pelangganku yang cukup setia, mesra dan peramah. Anak dan menantunya berbisik sesuatu di depanku. "Cantik".. sahut salah seorang dari mereka sambil mengangguk-angguk dan tersenyum penuh makna. Mungkin dia memuji-muji pokok bungaku cantik yang ada disekitar nurseryku.

       Minggu berikutnya lagi, mak cik tu muncul lagi kali ini dia berseorangan. Aku gembira kerana dia masih sudi membeli bunga-bungaku. Aku melayannya seperti biasa, sesekali aku melayan anak-anak kecilku yang sedang gembira bermain sesama sendiri. Mak cik tu tersenyum melihat kemesraan kami. Kali ini ibu mertuaku ada bersama anak-anakku. Selesai pembelian seperti biasa aku masuk ke dalam rumah untuk menukar baki wang. Waktu aku mahu keluar dari pintu rumahku itulah aku terdengar perbualan mereka yang rancak. Nama aku disebut-sebuat.
       "Dia tu dah ada anak berderet, bukannya anak dara. Merepek betullah... takkan tak nampak yang kecil-kecil tu semuanya anak dialah". Nyaring bunyi suara ibu mertuaku. Aku terkesima. Saat aku menghulurkan wang bakinya air muka mak cik itu berubah. Tiada senyum di wajahnya mungkin terasa malu dan terkejut kerana tersalah sangka.
       "Ingat saya, dia ni anak dara... yang kecil-kecil tu sangka saya adik dia". aku menarik nafas dalam-dalam. Patutlah mak cik tu mesra semacam, rupa-rupanya ada hati nak buat aku menantu dia. Terkejut badak aku dibuatnya. Selepas kejadian itu mak cik tu tak pernah datang lagi ke nurseryku. Terkilan pula kerana tidak mengenalinya dengan rapat lagi. Nama dia pun aku tak tahu, yang pasti semua itu amat manis buat aku.

       Menurut suamiku aku ni ada aura. Aura? soalku kebingunagan. Bila orang tua-tua tengok aku mereka akan suka kat aku. "Takkan orang tua je... orang muda?".... soalku menyakat. Entah betul entah tidak. Apa-apapun semua itu hanyalah kebetulan. Lagipun aku rasa pelik dengan sikap mak cik tu asyik menceritakan yang dia ada anak lelaki yang belum kahwin dan sedang mencari isteri untuk anaknya. Barulah aku sedar apa yang sebenarnya... jauh disudut hati terasa malu yang amat sangat. Namun gembira juga kerana dah beranak enam masih kelihatan seperti anak dara. Aduhai!...                      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan