Sabtu, 29 Disember 2012

MEMORI JUNE 2004

Tanggal 23 June (Rabu)
7:30 pagi. Aku dan suami agak tergesa-gesa memulakan perjalanan ke Teluk Intan. Satu perjalanan yang penuh debaran buat aku.

8:00 pagi
Kami singgah di sebuah kedai makan. Setelah memesan roti canai dan nasi lemak kami makan dengan penuh tertib. Sambil menikmati teh panas sekali lagi aku lontarkan keresahan kepada suamiku, seperti biasa dia mententeramkan aku.

8:30 pagi
Perjalanan diteruskan sedangkan aku masih diburu bayang-bayang debaran yang menjelma silih berganti. Rasa takut, gementar dan pelbagai rasa bermain difikiran. Ah! lemahnya aku...

Tepat 9:00 pagi
Kami tiba di perkarangan hospital. Serta merta rasa perut memulas. Rupanya bukan aku sahaja yang rasa demikian "abang" pun sama. Setelah agak lama menghilangkan diri di dalam bilik air kami terus menuju ke wad kecemasan. Ketika itu debaran di dada sungguh menggila!!

9:25 pagi
Aku sudah pun duduk di birai katil dengan baju hijau muda sepasang. Abang memerhatikan aku dengan tenang. Aku macam biasa rasa tak tenteram langsung.

Sedang aku cuba mententeramkan jiwaku sendiri kami diterpa oleh seseorang yang tidak kukenali. Setelah dia memperkenalkan diri rupa-rupanya kami sejiran sekampung cuma aku yang tidak mengenalinya.

10:00 pagi
Abang berundur diri untuk pulang. Masa itu hati aku tiba-tiba jadi sayu kerana terpaksa meneruskan detik-detik mencemaskan sendirian. Terasa ada air mata nak menitis. Oh Tuhan!! berilah daku kekuatan.
Sepeninggalan abang, aku di bawa ke sebuah bilik pemeriksaan jantung. Layanan jururawat yang lembut dan mesra menerbangkan sedikit rasa yang memberat di jiwa!. Seterusnya aku dibawa ke bilik x ray.

Sebelum dibawa ke bilik x ray aku didatangi seorang doktor lelaki India namanya Johny. Darahku diambil dan ditanganku sudah terlekat jarum.

Seterusnya aku pulang ke katil semula. Ketika itu aku dah mula berkenalan dengan rakan-rakan di wad 10 tersebut. Katil aku nombor 24. Disebelahku seorang wanita Cina yang telah tua. Katilnya no 23, didepanku gadis India berusia 16 tahun no katilnya 26 dan disudut sana seorang wanita tua 89 tahun bernombor 25.

Jam 3:00 petang
Aku sudah mula gelisah. Lalu keresahan itu terlontar jua apabila kulihat kakak di penjuru katilku keluar dari bilik kelas pertama. Rupanya dia bersolat disitu. Aku bersuara keresahanku keranan di tangan kiriku terpacak jarum. Kakak itu hanya menjawab "entah". Tanpa memperdulikan sesiapa aku berwuduk dan solat biarpun aku tahu air tidak sampai di kulit tangan kiriku yang berplaster. ~ sesudah itu aku puas ~.

Malam terasa amat lambat sekali. Rakan nombor 23 amat bising dengan jeritan dan laungan. Tak padan dengan bisu. fikirku. Kekadang aku terkejut dengan jeritannya yang memanggilku untuk meminta pertolongan. Kekadang dia minta turun dari katil dan seketika kemudian dia minta aku naikkan dia semula ke katil.

Tanggal 24 June (Khamis)
Awal pagi gadis India di depan katilku sudah siap beruniform putih. Dia meminta aku mengikat tali baju belakangnya. Sekitar jam 11 pagi dia kemudiannya ditolak ke bilik bedah. Ibunya kulihat tenang terpaksa melepaskan anak gadisnya. Aku tiba-tiba rasa tidak tentu arah.

Seperti biasa aku kena melayan kerenah wanita cina tua di sebelahku. Kadang-kadang rasa nak marah, tetapi entah kenapa perasaan belas dihatiku makin menebal.

Menanti saat dibedah kurasa amat lambat. Sungguh terdera rasanya...

Jam 2:00 petang
Gadis India ditolak semula ke wad. Wajahnya pucat dan lesu. Pening katanya. Ah! sudah lepas azabnya...

5:30 petang
Ketibaan abang bersama 2 orang puteriku dan juga ibu mertuaku. Terhibur sedikit rasa tertekan. Hilang segala keresahan yang tadinya menyelubungi diri. Katil 25 kosong setelah mak cik tua dibenarkan pulang dan diganti pula dengan mak cik tua yang lain. Seronok bermesra dengan anak-anak. Kami terpaksa berpisah. Aku maklumkan juga besok aku akan dibedah di awal pagi seawal 8:00 pagi. Aku dipagut resah kembali.

Lewat petang
Kekosongan katil sebelahku setelah wanita cina tua itu dibenarkan pulang mula terasa. Tiada lagi jerit pekik. Paling terharu dia menghadiahkan aku sejabir nestum dan milo kampit kecil padaaku. Sebelum berlalu pergi lama dia menggenggam tanganku sambil anak matanya menujah ke dalam anak mataku. Malangnya tiada suara yang kedengaran. Mungkin itu sebagai tanda terima kasih. Oh! terharu sungguh.

Kekosongan tersebut diganti oleh rakyat Indon yang tercedera jari manisnya. Bukan jari manis tetapi anak jari akibat terjatuh dari traktor ketika sedang bekerja "kontrak". Gadis semuda itu telah pun melalui saat segetir itu. Namun yang lebih mengharukan aku ialah kesetiaan kawan yang menjaganya dengan begitu sabar sekali.

Malam datang lagi
Gadis India di depan katilku terbaring lesu. Dia telah ditinggalkan ibunya yang telah pulang tadi. Sesekali dia bangkit ke bilik air yang memang terletak berhampiran dengan katil-katil kami. Aku melihat fenomena itu dengan penuh bermakan sekali.

Malam yang gelisah buat aku. tidurku yang terganggu dek igauan, resah yang mengelilingiku saban malam. jururawat tiba-tiba hampir dan menghulurkan pil tidur. Aku lena hingga jam 4.00 pagi

4.00 pagi
Mataku terkebil-kebil membilang kotak syiling. Kualih ke kanan, budak Indon lena dibuai mimpi, sesekali mengerang kesakitan. Sementara kawannya, terbaring di lantai simen yang dingin tanpa beralas. Kusoroti mak cik tua yang juga lena dibuai mimpi ngeri barangkali dan gadis India di depanku lena sungguh!!. Aku bangkit duduk bersandar di katil. Perasaan takut perlahan-lahan menghampiriku dan menguasaiku terus. Oh! Tuhan berilah daku kekuatan. Amin.

25 Jun yang bersejarah (Jumaat)

Subuh yang dingin
Selesai solat subuh aku bergegas ke bilik air untuk mandi. Kujeling sut putih di atas katil. Itu menandakan sebentar lagi aku akan ditolak ke bilik bedah. Keluar dari bilik mandi jururawat mempersilakan aku naik ke atas troli. aku menelan ludahku sendiri. Paling trajis pakaian dalam semua kena tanggal! oh! tidak!!!...

7.30 pagi
Aku sudah terbaring di atas troli, gadis India tersenyum manis sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya padaku. Ha! giliran akak pulak!!! bisiknya. aku membalas senyuman itu dalam kepahitan.

8.00 pagi
Di bilik bedah yang dingin dan menakutkan aku ditolak ke penjuru bilik yang lebih kecil dari bilik yang lebar dan luas. Aku sungguh takut ketika itu, hanya nama Allah kusebut!!. Tatkala ubat bius disuntik terasa sakit hingga ke tulang lengan. aku disuruhnya sedut gas yang ditekupkan ke hidung dan mulutku. Terdengar sayup suara menyuruhku mengucap dan baca Bismillah. Apabila mataku disuruh pejam aku rasa diriku terus hilang dari dunia ini. Seolah-olah aku tidak wujud lagi di alam nyta ini. Aku sudah mati!!..

9.30 pagi
Pipiku ditepuk-tepuk. Bangun! bangun! sudah selesai. Kita nak balik ke wad ni!!". Aku terpisat. Kucuba buka mata! tetapi amat payah dan pedih. Tiba-tiba rasa denyut, ngeri dan sakit di kaki kanan menerjah diri. Oh tuhan!! segalanya sudah selesai!.. Syukur Alhamdulillah.

Aku ditolak ke wad 1D semula. Sebelum itu 2 kali aku muntah. aku betul-betul tidak bermaya. Kucuba juga membuka mata tetapi masih terasa pedih, berat kepala dan rasa loya yang aneh.

Dalam pada itu hatiku sedikit kembang bilamana aku terlihat kelibat "abang" sama-sama menyusuri tolakan troliku hingga sampai ke wad 1D. Aku terus lemah!!
Syukur Alhamdulillah!!.. segalanya dah selesai. Aku menarik nafas lega!!.. abang memerhatikan aku tidur!! dia menungguku disisi, aku rasa selamat sekarang. Dalam pada itu India dan anak gadisnya mengucapkan selamat tinggal. Mereka sudah dibenarkan pulang. Aku? mungkin besok. Horey!!

11.00 pagi
Keadaanku sudah stabil. Pening dan loya masih ada terasa sikit-sikit. Aku sudah boleh dan minum. Abang temankan aku makan, dia memerhatikan dan menghiburkan aku hingga jam 12.00 tengahari. Kemudian dia minta diri untuk solat Jumaat dan berjanji akan menjenguk aku lagi sesudah itu, aku mengangguk.

1.00 tengahari
Budak Indon disebelahku minta izin dari doktor untuk puylang. Rupanya lama aku terlena tadi. Katil didepanku sudah kosong. Baru aku teringat akan gadis India yang telah dapat pulang!. Mak cik tua pun ada tetamu. Aku?... baru aku teringat lagi abang pergi solat Jumaat. Habis mereka yang melawat itu tak solat Jumaat ke?.. entahlah!...

Terkejut bilamana dapat tahu gadis Indon tu kena bayar bil rawatan RM 395.00. Mahalnya? Aku?

3.45 petang
Abang tiba-tiba munul dari balik dinding. macam "magic show". aku sudah boleh senyum. Abang senang hati. Banyak kali dia tanya "sakit tak?". Tak! tak sakit sangat..." jawabku. Hingga ke jam 6.00 petang baru abang minta diri setelah solat asar di bilik solat berhampiran. Aku ditinggalkan.... bersama handphonenya!!..

Malam menjelma
Tidurku amat lena hingga ke pagi. Sesekali jururawat datang untuk membuat pemeriksaan malah tidak jadi menyuntik ubat tahan sakit bila aku beritahu yang aku tidaklah sakit sangat, masih boleh bertahan!! pelikkan?..

26 Jun yang indah
Doktor wanita berjubah dan bertubuh kecil terpacul di depan katil. Dia memeriksa, mak cik tua datang ke arahku. Doktor kemudian memeriksa laporan-laporan di fail. Kemudian terloncat perkataan "hari ni awak boleh balik". Aku tersenyum dalam hati. Rasa membunga kegembiraan di dalam dada. Lalu balutan dibuka. Agak terkejut kerana kesan jahitannya amat panjang. Cepat-cepat doktor itu menutupnya semula dengan balutan yang baru. Aku menghubungi abang menyatakan berita gembira itu.

Lebih kurang jam 10.00 pagi
Abang sudah tercegat di samping katilku. Ketika itu aku sedang mengait sesuatu dengan benang nilon yang halus. Itu menandakan hatiku sedang gembira!!.
Saat abang datang membawa resit bil hospital, aku tertanya-tanya berapa bayaran agaknya. Selamba sahaja abang menyatakan "mahal!". aku terkesima... dalam perkiraanku mungkin lebih RM 300.00.  Kalau terlalu mahal aku menyuruh suamiku membuat rayuan. Abang selamba sambil menunjukkan bil tersebut kepadaku. "Ha...". aku tergamam melihat angka yang tertera.

Selesai urusan pembayaran kami berlalu dengan tolakan kerusi roda. Manis sangat kenangan ketika itu buatku. Sebelum itu aku berjabat tangan dengan mak cik tua yang sempat menyampaikan salam buat ibu mertuaku. Tak lupa sempat berpelukaan dengan kakak yang begitu setia menjaga ibunya di katil 22. Aku terharu sungguh. Detik yang singkat ini telah mengajar aku erti kemesraan.

2.00 petang
Kami makan di bandar Teluk Intan di Menara Condong. Selesai makan kami terus pulang ke rumah. Disambut jerit sorak anak-anak yang kerinduan. Dalam pada itu aku bersyukur sangat kepada Allah kerana telah menyempurnakan pembedahan itu dengan sebaiknya yang mungkin. Terima kasih atas kasih sayang abang. Aku terharu sebenarnya, dalam jejakku sentiasa ditemani dengan kasih sayang yang berpanjangan. Aku bersyukur atas segalanya. Oh!!....

 


                                                                                             



2 ulasan:

  1. Ketika pembedahan ini umur
    zulaiqha baru jer masuk 3 tahun,,, baru seminggu bercerai susu badan. Masih aku ingat bagaimana mengamuknya dia waktu hendak bercerai susu,,, sampai menghantu-hantukkan kepalanya ke dinding. Namun Alhamdulillah dapat juga diceraikan susu badan,,, pembedahan itu ialah pembedahan membuang ketumbuhan di kaki kananku hampir 11 tahun aku membiarkannya. Alasannya ialah sebab ianya tak sakit,,, tapi bila tumbesarannya sudah begitu besar sebesar penumbuk dewasa aku terpaksa membuat keputusan untuk membuangnya.
    Lagi... macam tak percaya bil rawatanku semuanya hanya RM 50 sahaja. Kos pembedahan cuma RM 20 sahaja. Pandai sungguh "abang" memperdayakan aku. Manis sekali kenangan itu buat aku.

    BalasPadam
  2. Agak susah nak menulis kisah ini,,, terpaksa buka diari lama yang dah terkoyak pun tapi masih boleh dibaca. Berapa hari baru siap,,, tapi bila dah minat menguasai diri macam seronok jer aku menulis... hihihi sampai kena marah ngan bos sebab lupa nak buat kerja rumah,,, padan muka.Maaflah banyak juga yang salah eja.. malaslah nak betulkan sebab banyak lagi benda yang nak kena buat.... lari-lari kejap menulis ni...

    BalasPadam