Khamis, 20 Disember 2012

AKIBAT NAK BUAT KEJUTAN

       Kejadian ini berlaku ketika aku baru berkahwin. Rumah sewa aku berhampiran dengan paya. Boleh dikatakan sekeliling rumahku banyak pokok keladi, semuanya kelihatan subur merimbun. Entah macam mana teringin pula aku nak makan sayur gulai keladi masak asam. Sebelum berumah tangga aku memang selalu masak gulai keladi masak asam. Keladi itu aku selalu ambil dari belakang rumah jiran.

       Mengenangkan gulai keladi itu, aku jadi teruja sangat mentelah lagi apabila melihat banyaknya keladi di sekeliling rumahku. Aku pun apa lagi mulalah mencabut keladi yang tumbuh meliar di tepi dapur rumahku. Hairan juga kerana keladi itu berwarna agak merah daunnya berbanding keladi yang selalu aku ambil untuk dibuat gulai. Lantaklah!!!, fikirku yang ini tentu lebih sedap kerana ubinya pun agak kemerahan berbanding keladi biasa yang putih. Selesai memasaknya, aku sudah tidak sabar untuk meratahnya. Hari pun masih awal, suamiku belum balik dari kerja. Tanpa membuang masa aku menyeduk ke dalam mangkuk kecil.

       Tidak dapat aku bayangkan betapa sedapnya kuah dan isinya apabila dimakan bersama suami nanti, tentu suami aku suka dan memuji-muji keenakan masakanku. Tanpa berlengah aku hirup gulai keladi itu penuh selera, ubi dan batangnya kukunyah dengan seleranya. Tiba-tiba... kunyahanku terhenti bila rasa sesuatu yang begitu aneh dikerongkongku. Gatal dan merenyam yang luar biasa. Aku berlari kesana kemari tidak tahu apa yang hendak dibuat. Mataku terbeliak sementara memegang batang leher yang terasa bagai nak terkoyak. Cukup seksa untuk dibayangkan. Aku mula panik, suamiku belum pulang.

       Syukurlah dalam kegawatan itu aku teringatkan ibu di kampung. Teringat pesanannya kalau tangan gatal terkena getah keladi basuh dengan air asam jawa. Aku meluru ke dapur, asam jawa kuramas segera dan airnya kuhirup lahap. Namun masih tidak hilang gatalnya. aku tidak berputus asa kuminum air lagi dan lagi sampai rasa nak kembung perut. Akhirnya dalam kepenatan... sedikit demi sedikit kegatalan di tekak beransur hilang. Aku lega sangat dan tengahari itu seperiuk gulai keladi aku tuang ke dalam longkang belakang rumah. Selamat tinggal gulai keladi!!!.

        Sampai saat ini 20 tahun berlalu baru aku berani menceritakan peristiwa tersebut, seperti jangkaanku suamiku marah betul denganku kerana memandai-mandai. Aku lega sangat kerana tiada kejadian buruk berlaku selepas itu. Sampai sekarang aku fobia memakan keladi. Aku terkesima bila diberitahu keladi yang kumasak dulu adalah keladi yang paling gatal. Namanya keladi kemahang.

1 ulasan:

  1. Masa ni baru jer beberapa bulan kahwin Syafiq pun belum ada,,, teringin nak berdikari konon.. itu yang duduk rumah sewa tuuu,,, pengalaman ni pahit buat aku,,, yelah kan manalah aku tahu keladi yang aku cabut tu rupanya keladi kemahang keladi yang amat gatal... nasib baik tak mati. Apa-apa pun best juga, dengan pengalaman itu barulah aku tahu tak semua keladi boleh dimakan,,, yang tak bestnya sampai saat ini aku tak makan keladi dah walaupun teringin sangat.... dan lagi... rupanya suami aku tak gemar pun makan gulai keladi. Aduhai penat jer aku berangan yang dia akan puji-puji masakan gulai keladi aku tu...

    BalasPadam