Sabtu, 13 Julai 2013

Alhamdulillah... malam tadi berterawih kat masjid yang telah menyimpan begitu banyak kenangan terutama sekali buat arwah bapa mertuaku. Ketika mendengar ayat-ayat suci dikumandangkan oleh budak-budak tahfiz yang menjadi imam aku jadi ingat pula kepada putera sulungku yang juga seorang tahfiz. Malah sejak form 4 lagi dia dah berjinak-jinak menjadi imam terawih di merata surau dan masjid di sekitar Perak ini.

Namun ada satu pengalaman yang tidak mungkin akan aku lupakan sampai kini. Bila mendengar dia akan menjadi imam di sebuah kawasan pendalaman hatiku melonjak-lonjak ingin menziarahinya. Lagipun ketika itu dia masih belajar dan menelefon meminta sedikit wang belanja. Kami tiba di perkarangan surau itu tepat pada masanya. Ketika kami tiba terdengar suara azan yang merdu dari teman anakku.

Paling mengharukan hampir semua jemaah surau itu adalah di kalangan orang-orang tua. Mereka semua begitu bersemangat untuk bersolat terawih. Ada yang sembahyang sambil duduk, ada yang hanya bersolat di kerusi. Ada yang sudah bongkok tiga, tetapi masih mahu meneruskan hingga 20 rakaat. Rata-rata jemaah yang muda angkat kaki selepas 8 rakaat, tetapi yang tua semuanya masih tidak berganjak. Jemaah macam tidak berkurang pun sewaktu aku minta diri untuk pulang setelah selesai 8 rakaat. yela kan nak balik jauh...


Ketika meminta diri untuk pulang itulah sempat pula seorang kakak tu, bertanya aku nak pergi rumah siapa, maklumlah tidak pernah melihat aku sebelum ini. Setelah aku terangkan tujuanku ke situ, dia memanggil aku dengan gelaran "emak ustaz", yela.. putera aku tu, walaupun masih belajar sebelah paginya, tetapi sebelah petang dia mengajar di sekolahnya. Dia melayan aku sebaiknya.. menjemput aku menikmati juadah more, aku terpaksa menolaknya kerana terpaksa meneruskan perjalanan yang jauh.

Akhirnya dia membuungkus sejumlah kuih muih yang ada berserta pulut kuning berlaukkan rendang daging. Tak habiis-habis dia memanggilku emak ustaz. Aku tersenyum gelihati sambil melihat ketangkasannya membungkus juadah tersebut. Akhirnya aku terpaksa meninggalkan surau itu dengan satu perasaan yang amat terharu sekali.


Dalam perjalanan yang boleh tahan jauhnya itu, kami pun membuka bekalan yang diberi tadi. Terkejut sangat....kerana semua kuih yang dibekalkan tadi semuanya sangat sedap. Bengkangnya, karipapnya dan aku dah lupa kuih apa lagi.. yang aku ingat suamiku tak henti-henti memuji kesedapan semua kuih tersebut. Sesampai di rumah pula kami menikmati pulut kuning beserta rendang.. ya Allah... punyalah sedap. Aku mula berfirasat sendiri, mungkin masakan orang tua sangat sedap kerana mereka sangat berpengalaman. Masih terbayang di mindaku beriya-iyanya kakak itu menjemput aku supaya datang lagi minggu depan kerana akan diadakan more lagi. Aku cuma tersenyum rasanya sangat seronok dipanggil "emak ustaz", hatiku berbunga-bunga sampai kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan