Khamis, 7 Mac 2013

Birunya warna bulan purnama

       Setelah seharian aku dikurung, dengan pelbagai peristiwa yang aku alami... akhirnya aku dibebaskan. Ketika di dalam tahanan itu pelbagai dugaan terpaksa kutempuhi sendirian. Namun berkat kesabaranku dapat kujalaninya dengan cukup tenang sekali. Rasanya tidak payahlah kuceritakan semuanya kerana ianya sungguh dahsyat.

       Aku menanti-nanti saat untuk dibebaskan. Sebaik pintu dibuka aku pun menapak keluar. Di luar buah hatiku sudah sedia menunggu dengan seulas senyuman yang sungguh mempesonakan. Kami bergandingan berjalan melewati tepi pantai yang sungguh indah ketika itu yang masih awal, waktu subuh pun masih belum masuk lagi.

       Kami menikmati satu panorama alam yang sangat indah. Cahaya bulan yang kebiruan nampak jelas dimataku, membirukan warna langit dan air laut yang terbentang dimataku. Beberapa anak kecil sedang mandi manda di bawah sinaran bulan yang biru. Jerit pekik mereka tambah menceriakan pagi yang dingin dan segar itu. Aku memeluk tangan suamiku disisi. Satu ciuman nakal singgah dipipiku. aku menepis.
       "Nanti orang nampak!", bingkasku.
       "Mana ada orang, cuba tengok!", ujarnya sambil tidak henti-henti tersenyum. Aku rasa romantik sangat. Bila aku memandang sekeliling memang tiada sesiapapun di situ, yang ada suara ombak dan jeritan anak-anak kecil yang sedang mandi. Hanya suara yang kedengaran tetapi tiada sesiapapun.

       Cahaya bulan yang tadinya kebiruan beransur-ansur menjadi warna putih pula. Aku terpesona. Aku memejamkan mataku, terasa nyaman dan segar, dibelai udara pagi yang masih suci.

       Apabila aku membuka mata ada satu cahaya terik yang menyakitkan mataku. Aku terpinga, di depanku ada wajah suamiku. Lampu kalimantang di bilk tidurku menyakitkan mata. Suamiku memandangku aneh. Baru aku teringat hari ni hari Jumaat yang mana pagi ini suamiku bertugas di masjid sebagai bilal. Dia agak tergesa-gesa sambil membetulkan butang jubahnya kemudian mencapai kopiah dan hilang terus di balik pintu bilikku. aku terus tersenyum sambil anak mataku menyorotinya.

       Aku menyapu muka. Ya Allah!.. aku bermimpi rupanya. Ya Allah!... rupanya dalam setiap kepayahan itu ada kemanisan yang menunggu di penghujungnya. Masih terbayang kemesraan yang kucipta tadi walaupun cuma di dalam mimpi. Ohhhh.... indahnya.

     

Rabu, 6 Mac 2013

       Alhamdulillah.. akhirnya apa yang kuduga terjadi juga. Doktor telah mengesahkan kehamilanku. Kali ini aku benar-benar gembira, dalam pada itu rasa gementar juga kerana sudah 12 tahun aku tidak laluinya, bermakna cabaran telahpun bermula dalam hidupku.... aku dijangka bersalin pada 26hb 10. 2013 nanti. Apa-apapun aku kenalah menjaga diriku sebaiknya. Ya Allah! bantulah aku... amin.