Selasa, 26 Februari 2013

       Entahlah, bulan ni rasa macam pelik pula, yelah kan rasa mual-mual dan loya. Jangan... jangan... geli pula hati ni bila memikirkan semua itu. Manalah tahu kalau semua sangkaanku tepat. Apa-apapun aku bersyukur kalau itu yang terjadi. Masih aku ingat lagi sekembali aku dari menunaikan ibadah haji 6 tahun yang lalu, aku teringin sangat hendak anak Mekah. Siang malam berdoa di depan kaabah tetapi masih belum ada rezeki. Tahun lepas pun aku mengandung sekejap tetapi dek kerana lasak sangat pegang cankul, angkat pasu, pindah bunga dan pelbagai aktiviti lasak akhirnya aku keguguran. Sedih sangat tetapi tiada siapa yang tahu hanya aku dan suami jer.. yang tahu.
       Kali ni, aku jaga diriku betul-betul. Hmmm.. itupun kalau betul. Aku ada bercadang nak pergi buat pemeriksaan dengan doktor peribadi. Ewah... kononnya, tetapi suamiku menegah menurutnya biar sampai sebulan dulu, masuk hari ni dah 10 hari aku lewat period. Kepala dah pusing-pusing, tekak dah mual-mual, tetapi tak tentu juga kerana ada juga beberapa kali periodku lambat tapi 2 hingga 3 hari jer. Apa-apapun aku redha dengan ketentuanNya. Akan bergembiralah puteri-puteriku yang kemaruk nak adik tu.
       Mungkin semua terjadi kerana doaku pada suatu hari ketika hari pertama si kecil datang mengaji denganku. Menatap wajahnya sahaja dah membuatkan aku kepingin mengandung lagi. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Hai berdebar pula nak pergi periksa... entah-entah cuma perasaanku sahaja padahal tiada apa-apa, oleh itu aku tidak boleh berharap sangat. Hanya sekadar berharap....
       Bimbang juga nanti ada yang salah sangka. kalau betul aku ada baby, berkemungkinan ada yang menganggap babyku nanti cucu aku. Aduhai, sedang selama ini pelbagai gelaran disuakan padaku. Lantaklah... janji hati aku ni bahagia. Oh Tuhan kuserahkan diriku padaMu... ohhh!

Sabtu, 16 Februari 2013

MEMBUNUH KEMESRAAN



Saat aku berdiri di depanmu
dapat kudengari bicara jiwamu
menerobosi mindaku
kau mendakap sesiapa sahaja di ribamu
penuh lembut dan manja
kau membiarkan dirimu dipermainkan
kau senang melayani setiap tetamumu
yang sudi menikmati layananmu
kau tertawa saat dibuai ketenangan
kau senyum tika kau dibelai
kau biar dirimu dimesrai penuh sopan.

Aku termenung...
seakan terdengar jeritan
kala kau menghempas diri
membunuh kemesraan
kau merintih dan merayu
tanpa ada sesiapa mendengarkan.
namun sampai satu masa
kau memuntahkan kemarahan
menendang segala ranting dan dahan
yang tajam mencucuk dirimu
mencederakan alammu
menghilangkan kesucianmu.Aku termenung...
seakan terdengar jeritan
kala kau menghempas diri
membunuh kemesraan
kau merintih dan merayu
tanpa ada sesiapa mendengarkan.

Kau tercedera dalam kerakusan
insan yang sering melontar sisanya
kau meraung hebat
membunuh jiwa yang sentiasa alpa
tersepit dicelah keganasanmu
merentap kemesraan
kau seakan lupa pada nyanyian asalmu
saat salam terakhir berkubur
di pusara yang melemaskan satu nafas
dalam tangisanmu sendiri.

siti zaiton ahmad
lata iskandar bt 14

Sabtu, 9 Februari 2013


                       
             DISEBALIK MIMPI


      Suasana hening sekali hanya kedengaran derap kaki si Domok kucing kesayanganku yang mundar mandir di luar bilik. Suara air di kolam dan kocakan ikan yang bermain percikan air di pancuran sangat jelas kedengaran di cupingku. Ah!, aku membuka mata hanya cahaya lampu tidur samar-samar menemaniku sedang suamiku sedang lena dibuai mimpi. Aku bangun dan duduk lalu bersandar di kepala katil. Berbagai perasaan datang menghambat membuatkan aku tercungap-cungap. Dapat kudengar degup jantungku dengan jelas sekali.Aku beristighfar sendiri, mahu sahaja kukejut suamiku dari lenanya tetapi terpaksa kubatalkan niat tersebut, memandangkan betapa nyenyaknya dia dan terkenang betapa penatnya dia siang tadi di kebun.

       Aku mencapi handset yang ada di kepala katil. Aku tatap angka jam di situ dan satu keluhan terbit dari bibirku sambil memeluk handset itu ke dadaku. Bunyi detik jam di dinding juga semacam menemaniku di lewat malam begini. Ya Allah, mimpi apa aku tadi?. Sangat menakutkan sekali terasa seperti dalam kenyataan. Sambil itu aku beristighfar lagi dan lagi. Aku menarik nafas dalam-dalam. Baru sebentar tadi telefon berdering, aku bergegas mendapatkannya. Suara garau adik lelakiku Ismail kedengaran sedih di hujung talian. Aku seperti tidak percaya.

       Sesampai sahaja di rumah emak, aku meluru ke muka pintu tetapi hampa kerana pintu depan tertutup rapat. Aku berlari ke belakang, begitu juga. Semua pintu rumah emak terkunci rapat. Aku kecewa tetapi tidak berputus asa. Sambil mengelilingi rumah emak aku menangis. "Emak!... emak!", namun tiada langsung kelibat emak dan tanda-tanda emak ada di rumah. Jiran-jiran juga tidak kelihatan. Hari itu seperti hari yang paling sunyi dalam hidupku. Aku berlari ke pintu bilik air, mungkin tidak berkunci siapa tahu. Di depan pintu bilik air itu aku memanggil emak dengan sayu sekali. "Emak bukalah pintu ni, ni.. kak ngah balik nak tengok emak.". Aku menangis di situ, sudah tidak tertahan rasanya kepiluan yang kutanggung. Dinding pintu yang diperbuat dari zink itu kuketuk berulang kali.

       Tiba-tiba... tanpa di duga pintu bilik air terbuka luas. Wajah emak terjongol di situ. Senyum emak masih macam selalu, manis dan mesra. Aku kelegaan tetapi, kenapa wajah emak sangat pucat seperti .... oh tidak!! "pucatnya muka emak"Akhirnya aku bersuara juga. Airmata ku kesat, tangan emak kucium "sejuknya", bisik hati kecilku. Pipi emak kucium lembut. Emak masih tersenyum sambil mempelawa aku masuk melalui pintu bilik air.
       "Kenapa lambat?, dah tak dapat nak ambil gambar". tiba-tiba emak bersuara agak pelik. Aku kebingungan. Sebenarnya sebelum aku sampai ke rumah emak tadi aku telah pun mendapat panggilan telefon dari adikku Ismail. Dalam telefon dia memberitahu yang emak sudah meninggal, tetapi yang berdiri di depanku ini siapa?. Emak tersenyum padaku, wajah emak nampak sedikit  pelik. Dia melirik aku tajam. Di dalam rumah emak suasana sepi sungguh, tiada kelihatan sesiapa pun hanya aku dan emak.

       Tanpa di sangka tiba-tiba emak rebah, nasib baik aku sempat menyambut badan emak lalu mendukungnya ke dalam rumah. Aku baringkan emak, kepala emak berada di pangkuanku. Emak sudah mula kelihataan sesak nafas, aku terkesima kerana baru sahaja tadi emak kelihatan sihat bugar tiba-tiba sahaja emak boleh rebah. Aku mengurut-ngurut dada emak. "mengucap mak!.. mengucap', emak kelihatan susah untuk bernafas. Kurenung wajah emak dengan penuh kesayuan. Adakah sudah sampai masanya emak hendak pergi meninggalkan aku. Dalam penuh kesedihan itu emak akhirnya mengucap dengan sebegitu lancar sekali padahal kalau dilihat keadaan emak ketika itu cukup sukar untuk dibayangkan tetapi aku gembira bila sebentar tadi emak boleh mengucap selancar itu. Ya Allah syukurlah emak meninggal dengan mudah di depan mataku di ribaku.

       Tentu nanti kak long akan cemburu, yelah selama ini dia merupakan anak kesayangan emak. Apa-apa mesti emak akan lebihkan dia. Ketika kami kecil dulupun ketika nak tempah baju, emak akan tanya kakak dulu mana pilihan dia, emak akan utamakan pilihan kak long terlebih dahulu. Mana sahaja pilihan kak long aku kena terima, selebihnya yang kak long tidak suka akan jadi milikku secara total. Namun aku tidak pernah merungut. Begitu emak mendidik aku supaya sentiasa beralah dengan kak long. Namun hari ni pasti kak long akan cemburu sangat kerana emak meninggal atas ribaku. Dalam kesedihan yang menguasai diri aku terdengar suara orang lelaki sedang membaca ayat suci al Quran. Suaranya sangat lunak di cupingku. Aku hayati bait-bait bacaannya, sungguh merdu dan menepati segala bacaannya. Aku rasa terpukau, makin lama makin kuat dan makin ramai yang mengaji. Ayat yang dibaca ketika itu cuma surah Al Ikhlas. Makin lama makin ramai suara yang megikutinya.

       Aku menoleh melihat ke ruang tamu, namun tidak kelihatan seorang lelaki pun kecuali kelibat para wanita yang sedang sibuk menyiapkan alat-alat untuk mengapan. Aku rasa terkejut sangat, entah dari mana datangnya para wanita yang sudah pun memenuhi ruang rumah emak. Sedangkan tadi suasananya cukup hening. Aku terkesima lagi, aku kebingungan. Ada seseorang menghulurkan bantal untuk aku letakkan kepala emak. Aku menurut, dengan penuh kasih sayang aku mengangkat kepala emak untuk diletakkan di atas bantal. Sementara itu suara orang lelaki mengaji masih lagi menjadi latar belakang suasana. Aku bertafakur menatap wajah emak sambil menghayati surah Al ikhlas yang sungguh menusuk kalbu itu.

       Tiba-tiba bahuku dicuit. Aku mendongak dan terlihat seraut wajah yang amat kukenali....Aku membuka mata. Ya Allah rupanya aku bermimpi lagi, aku menggosok mataku beberapa kali, terlihat wajah suamiku yang segak berpakaian baju melayu dan berkain pelekat. Dia sedang berdiri di depan cermin sambil menyisir rambutnya dan kemudian membetulkan kopiah putih di atas kepalanya. Aku termenung jauh, masih terlarut di dalam mimpiku sebentar tadi, masih terdengar suara bacaan ayat suci yang sangat indah. Aku masih terpinga merenung seraut wajah di depanku.

     "Bangun yang..., anak-anak nak sekolah, kejutkan anak-anak, mandi, solat dan buat sarapan.". Aku masih terdiam hanya memerhati suamiku yang tergesa-gesa hendak ke surau. Selepas itu kelibatnya hilang dari balik pintu bilikku dan tidak lama selepas itu  disertai bunyi enjin kereta kancilnya. Aku beristighfar terus sambil lambat-lambat bangun menuju ke bilik anak-anakku.
     
       Ketika anak-anakku bersarapan aku pun menceritakan tentang mimpiku yang sungguh mendebarkan itu.
       "Kata kawan Kima, kalau kita mimpi orang mati... kita panjang umur". Sampuk Aqlima menceriakan suasana pagi itu.
       "Bukanlah...", sampuk Zulaiqa.
       "Bukan orang yang mimpi panjang umurlah, orang yang kita mimpi tu, yang panjang umur", bidasnya membuatkan Aqlima tersipu.Aku cuma tersenyum pahit menelan resahku sendiri.Selesai bersarapan aku menghantar anak-anakku ke laman rumah kerana sebentar lagi kereta jiranku Kak Pah akan berhenti untuk mengambil anak-anakku ke sekolah.

      Dari balam-balam waktu pagi yang masih muda terlihat ibu mertuaku sedang menyiram pokok-pokok bunganya di sudut halaman. Kami cuma berbalas senyum, mahu sahaja aku luahkan semua mimpiku tetapi tugasan rumah yang masih banyak menghalangku. Aku terfikir-fikir untuk mencari masa terluang agar dapat kuluahkan semua mimipiku. Sekurang-kurangnya dapatlah aku berkongsi cerita dengan ibu mertuaku. Selama ini pun pada ibu mertuakulah yang banyak mendengar cerita-ceritaku, orang yang kupanggil emak itu sudah menjadi pendengar setiaku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, banyak lagi kerja-kerja rumah yang terbengkalai.

     Setiap apa yang aku lakukan aku bagai ternampak-nampak wajah pucat emak. Aku bagaikan masih berada di dalam mimpi. Sungguh susah untuk aku mengusir semua mimpi itu. Aku menyiram bunga di laman, di kebun dan berlari ke bukit menyiram pula sayur-sayuran yang ada. Semua kesibukan itu melupakan aku sebentar pada mimpiku. Selesai semuanya kerja-kerja seharianku aku kepenatan. Peluang yang ada itu, aku gunakan mengheret kakiku ke rumah ibu mertuaku. Ketika aku masuk ke dalam rumah ibu mertuaku dia sedang santai-santai di depan tv. Rasanya inilah peluang aku yang paling sesuai. Aku duduk dengan sopan di depan ibu mertuaku yang sedang asyik menonton tv.

       Banyak benda yang kami bualkan hinggalah pada saat-saat yang ditunggu. Dengan lancar sekali aku menuturkan tentang mimpiku itu. Seperti yang kuduga emak mertuaku yang kupanggil emak itu begitu kusyuk mendengar ceritaku. Tanpa sedar ada airmata yang bergenang di kelopak mataku.Tanpa kuduga airmata ibu mertuaku juga bergenang.

       "Alah, Ton, kalau dah nak ajal, mimpi ke tak mimpi ke meninggal juga". Dia cuba menghiburkan aku. Aku termenung jauh mencari ayat yang paling sesuai untuk aku luahkan. Sebenarnya bukanlah aku takut kehilangan emakku kerana aku yakin setiap insan pasti akan pergi juga, tetapi aku sekadar ingin berkongsi rasa.
       
       Ibu mertuaku pun menceritakan pula detik-detik kematian seorang wanita di depan matanya tatkala dia pergi ke pekan Khamis beberapa hari yang lalu. Sangat mengerikan, mendengarnya pun sudah cukup ngeri untuk aku membayangkannya, belum lagi menyaksikannya. Wanita itu berdiri di tepi jalan sementara ada kenderaan sedang berhenti kerana lampu isyarat merah sedang menyala. Wanita itu pun melintas jalan namun tiba-tiba sahaja lampu isyarat bertukar hijau, pemandu lori itu tidak menyedari yang wanita itu sedang menyeberangi jalan kerana lori itu tinggi. Dia tidak nampak akan wanita itu. Apa lagilah wanita itu terperonyok di bawah lori dengan raganya sekali. Bertaburanlah segala macam barangan yang baru dibelinya itu. Wanita itu meninggal di tempat kejadian. Aku beristighfar beberapa kali. Dapat aku bayangkan betapa ngerinya.
       "Tengok tu, tak ada mimpi-mimpi pun mati juga. Lagilah..." Aku terkedu, bagaikan mendapat satu suntikan. Seolah-olah semua penceritaan emak mertuaku itu dapat melenyapkan kegusaranku. Aku bagaikan dapat melupakan sedikit mimpi itu secara beransur-ansur.

        Selesai memasak tengahari itu telefon di ruang tamuku berdering. Mataku terbeliak bunyinya seperti di dalam mimpiku sahaja. Cepat aku melangkah ke meja telefon dan mengangkatnya.
      "Assalamualaikum,ini aku Mail". Aku tersentak. Ada apa agaknya adikku menelefon kalau tidak ada perkara penting tak mungkin dia menelefonku di waktu tengahari begini.
       "Kak ngah, emak dan apak masuk hospital semalam". Aku bagai terkena renjatan. Mulut aku ternganga. Baru sahaja aku hendak lupakan kisah mimpi malam tadi aku sudah dikejutkan dengan berita ini lagi-lagilah aku terkejut.
       "Kenapa?", akhirnya aku bertanya.
       "Apak kena strok, emak pula cirit birit dan muntah-muntah". Aku mengurut dada. Selepas telefon kuletak aku terduduk di lantai. Pelbagai kemungkinan bermain di mindaku. Perlahan-lahan mimpiku datang menguasaiku. Pantas aku mendail nombor telefon suamiku. Agak lambat diangkat. Aku akur dalam waktu sebegini tentu dia dalam kesibukan melayan pelanggannya.
      Seperti yang kuduga, di dalam talian, dapat kutangkap bunyi riuh rendah suara pembeli yang menanyakan itu dan ini. Rasa bersalah pula.
       "Abang sibuk ke?, tak apalah balik nantilah kita cakap". aku meletakkan ganggang dengan penuh debaran.

       Hampir jam 2:00 petang suamiku pulang. Kasihan pula aku melihat kesibukannya. Mana hendak menyimpan udang lagi,ikan-ikan dan sayur-sayuran ke dalam peti sejuk. Aku tidak jadi menceritakan apa-apa melainkan mendiamkan diri.

      Selesai makan petang itu,baru aku memulakan bicara. Seperti biasa suamiku sukar untuk membuat keputusan. Untuk pulang agak mustahil katanya, di dalam peti sejuk penuh dengan barang mentah yang tidak habis di jual. Kalau tidak dijual dengan cepat nanti barangan itu akan rosak. Lagi pun Aqlima dan Zulaiqha bersekolah pada petang itu. Aku terdiam mendengar semua alasan yang aku sudah makluminya sebelum ini. Lagipun esok hari sabtu, lusa hari ahad dah tentu ramai pelanggan. Duit yuran anak-anak masih banyak yang tertunggak. Bayangkan 4 orang anak aku masih di asrama menuntut wang yang banyak saban bulan. Aku terdiam terus. Segalanya kuserahkan pada Allah untuk menentukannya. Aku kesedihan dan berperang dengan perasaanku sendiri.

     "Janganlah bimbang, adik-adik awak kan ramai, tentu ada yang menjaga emak dan apak tu". Aku cuma mengangguk lemah. Kalau ikutkan hati ini mahu sahaja aku terbang pulang sekarang juga. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama, suamiku ke bukit pula berkebun. Aku tenggelam dalam dilema. Aku berdoa agar kedua ibu bapaku selamat. Ya Allah aku serahkan semuanya padaMu. Dalam kesedihan itulah telefon berdering lagi. Aku terkejut dari lamunanku. Cepat sahaja aku mencapai ganggang. Di hujung talian terdengar suara adikku Ismail memberitahu keadaan ayahku makin tenat. "Apak dah tak boleh jalan, tak boleh bercakap". Semua kenyataan itu sangat memedihkan hati kerana aku tidak dapat menjenguk mereka.

       Dengan penuh pasrah aku menefon telefon bimbit suamiku yang ketika itu berada di bukit. Bergegas dia pulang. Aku sudah mula menangis. Tak tahu apa yang hendak aku suarakan lagi. Suamiku merenung ke wajahku dan sepatah kata terloncat dari bibirnya. "jom kemas kain baju kita balik Pahang". Tangisanku terhenti, rasa terharu sangat. Aku apa lagi terus bersiap, tetapi terpaksa menanti waktu persekolahan anak-anakku tamat kerana mereka masih di sekolah agama. Aku ke rumah ibu mertuaku untuk memaklumkan hal yang sebenar, sedang suamiku asyik menelefon para pelanggannya untuk memberitahu percutian yang mengejut itu.

      Sepanjang perjalan pulang ke Pahang tidak banyak yang kami bualkan. Aku termenung jauh, terbayang wajah emak dan apak. Teringat segala kebaikan mereka. Teringat mimpi yang bertamu dan semua itu bagaikan bersambung dengan alam nyata. Aku menekan perut tiba-tiba, terasa mahu buang air besar. Masuk kali ini sudah 3 kali aku tercirit. Kasihan suamiku yang terpaksa memberhentikan kenderaannya tiba-tiba bila perutku asyik buat hal. Perjalanan kami jadi lambat. Berkali-kali aku meminta maaf tetapi ditenangkan oleh suamiku.

      Mungkin perasaanku yang tertekan menyebabkan aku tercirit-cirit. Suamiku cukup simpati denganku  dengan sabarnya dia melayan kerenahku. Sampai di hospital Temerloh, hari sudah larut malam, mustahil kami boleh masuk melawat. Aku cuma merenung bangunan hospital itu dari jauh. Kami terus menuju ke rumah emak di tanah rancangan felda.. Di rumah emak adik-adik dan kakakku sudah ada di sana. Masing-masing sudah lena dibuai mimpi. Kebetulan kami sudah makan di bandar Temerloh tadi jadi, sesusai solat kami semua masuk tidur. Esok pagi-pagi kami akan melawat emak dan apak. Di tengah malam aku masih berulang ke tandas. Subhanallah... ciritku masih belum hilang. Agaknya semua makanan dan cairan badanku sudah habis terbuang. Aku sudah lemah jadinya. Namun perasaanku lega bila sudah sampai di rumah emak  lantaran dapat berkumpul adik beradik.

     Awal pagi lagi aku sudah masakkan kanji untuk dibawa ke hospital nanti. Sebelum itu aku bergegas ke bandar Maran mencari penganan sarapan pagi. Jumpa pula teman lama yang mengusahakan restoran roti canai. Alhamdulillah dapat juga aku dan suami membawa balik ke rumah roti canai teman baikku itu. Tiba di rumah kami makan beramai-ramai. Sedih pula kerana selalunya kami makan bersama emak dan apak tetapi pagi ini kami cuma makan bersama adik beradik. Pilu pula rasanya. Keadaanku masih lagi tidak berubah masih cirit birit. Beberapa kali aku berlari ke tandas.

       Tiba di perkarangan hospital pagi itu, sudah sesak dengan para pelawat yang masing-masing mahu melawat pesakit. Aku tiba ke katil emak bersama adik-adikku yang lainnya. Kakakku sudah pun pulang ke Kelantan setelah melawat emak awal pagi tadi. Aku menghampiri katil emak, doktor sedang memeriksa emak. Kami memerhati dari jauh untuk memberi ruang kepada doktor.Selesai sesi pemeriksaan perlahan-lahan aku hampiri emak. Wajah emak nampak pucat sekali macam... "Mak, pucatnya", perkataan pertama yang terhambur dari mulutku. Tiba-tiba aku sedari yang dialogku tadi persis mimpiku. Aku terkesima sambil menyalami tangan emak yang agak sejuk dan mencium pipi emak yang pucat itu. Emak cuma tersenyum lemah sambil bersalaman dengan semua anak cucunya yang hadir.

       Lama juga aku bersembang-sembang dengan eamk sambil anak mataku melilau mencari pintu tandas. Rupanya emak perasan dengan sikap pelik aku dan bertanya kenapa aku sedemikian. Aku berlari ke tandas. Belum pun sempat apa-apa di dalam tandas yang tidak sebesar mana itu aku tercirit lagi. Sangat dahsyat rasanya, paling teruk bila melihat najisku berserakan di merata lantai tandas. Aku tersenyum sendiri bila tiba-tiba teringatkan kisah seorang ustaz yang menceritakan tentang budaya orang Arab yang berak sambil melompat. Sambil membersihkan segala kotoran itu aku tersenyum-senyum entah kenapa segala ingatan itu membawa kelucuan buatku. Tidak dapat kubayangkan bagaimana orang-orang Arab melompat-lompat sambil membuang air besar kerana menurut ustaz itu lagi di dinding tandas terdapat merata-rata najis manusia.

       Aku mengadap wajah emak dengan setenang mungkin. syukurlah petang itu emak sudah boleh keluar hospital, tetapi petang itu juga aku kena bergegas pulang ke Perak kerana suamiku akan berniaga keesokannya. Aku terpaksa akur walaupun terasa berat hati. Harap-harap emak akan memahamiku. Aku kelegaan bila doktor memberitahu keadaan emakku yang stabil. Syukurlah... debaranku berakhir juga, namun keadaanku pula masih belum stabil. Emak menyarankan aku membuat pemeriksaan dengan doktor di situ. Aku menggeleng takut juga elok-elok emak dapat keluar wad aku pula yang kena tahan. Oh! tidak!!

      Selesai melawat emak kami melawat apak pula. Ketika kami sampai ke katil apak, apak sedang lena. Pada mulanya kami tidak mahu mengejutkannya, tetapi teman sebelah katilnya yang mengejutkan apak. Apak tersenyum seperti biasa. Wajah apak nampak ceria bila melihat kedatangan kami. Menurut doktor ada darah beku dalam kepala apak dan doktor sedang merawat apak denagan memberi ubat mencairkan darah beku tersebut. Aku kelegaan sangat bila mendapat tahu yang apak juga boleh keluar pada hari itu bersama dengan emak. Dalam diam-diam aku mula menyedari yang emak dan apak sehati dan sejiwa kerana sama-sama masuk wad dan sama-sama boleh keluar. Syukurlah. Sepanjang berbual dengan apak yang kelihatan sebegitu payah bertutur itu mataku masih mencari-cari tandas. Aduh! sudah tidak larat aku menanggungnya. Entah bilalah aku akan bebas dari ciritku ini.

       Sepanjang perjalanan pulang aku keletihan. Aku cuma mendiamkan diri sambil memandang dua puteriku yang nyenyak di belakang. Suamiku juga terdiam mungkin kepenatan dari semalam memandu kemudian hari ini terpaksa menyambung pemanduan lagi. Aku mencari ruang untuk beristirehat sebaik mungkin. Alhamdulillah... kerana perutku tidak meragam lagi. Aku cuba melelapkan mata namun wajah pucat emak dan wajah apak tadi masih silih berganti dibenakku. Syukurlah kerana aku punya ramai adik beradik. Merekalah yang banyak meluangkan masa bersama emak dan apak. Ketika aku pulang tadi masih ramai lagi adik-adikku yang belum pulang. Maklumlah esok hari minggu, mereka masih bercuti.      

       Aku terasa seperti berada di dalam kelas 5 Sains. Di hadapan kelas sedang berlangsung permainan "Language Games" Dalam permainan tersebut tidak boleh berkata "yes" dan "no". Sesiapa yang berkata yes dan no secara automatik gagal dan tersingkir. Aku begitu asyik memerhatikan kawan-kawanku bermain. Kumpulanku sudah beberapa kali gagal.
   
        Tiba-tiba namaku terpacul dari mulut salah seorang budak lelaki. Lambat-lambat kakiku melangkah ke depan kelas. Pelbagai pertanyaan diasakkan kepadaku. Alhamdulillah aku dapat menjawab semuanya. Kumpulanku hampir menang. Belum pun sempat hendak merasa lega, tiba-tiba salah seorang budak lelaki yang nakal  bangun mengajukan soalan dalam bahas Inggeris kepadaku. Aku terkesima.
       'Do you like me?". Semua mata terarah padaku. Murid lelaki itu tersipu tunduk memandang mejanya. Aku terdiam. Cikgu Gobi selaku guru Bahasa Inggeris itu tersenyum padaku. Aku buat-buat tidak nampak.
       "I dont like you", jawabku bersahaja diikuti dengan sorakan mengejek. Tidak kusangka murid pendiam sepertiku ini akan diajukan soalan yang begitu. Paling tragis sekali murid lelaki itu adalah murid yang paling handsome dalam kelasku dan paling ramai peminat. Oh!...

      Aku tersipu lagi bila tiba-tiba namaku dipanggil. Selesai permainan tadi semua murid boleh pulang kecuali aku. Aku terpinga. Wajah guru India di depanku nampak serius. 
       "Apa yang aku dah buat?, ada apa-apa kesalahan ke yang telah aku lakukan?", pelbagai pertanyaan bermain dimindaku. Aku berdiri di tepi dinding sementara cikgu itu mundar mandir di depanku. Aku menanti penuh gugup.Aku merenung hujung kasutku. Rasa semacam sedang menunggu keputusan mahkamah sahaja.
       "Do you have a problem?". Aku mengangkat muka. Cikgu Gobi didepanku masih mundar mandir. Aku menggeleng lemah. Baru aku teringat semasa language game tadi Junaidah ada membuat pertanyaan samada aku ada masalah. Aku selamba menjawab "I have many problem".. tak sangka rupanya diambil perhatian sebegini rupa. Sebenarnya aku ada masalah kewangan. Akhir-akhir ini emak tidak dapat ke ladang kerana melahirkan adik aku yang kelapan?. Oleh sebab itulah aku tidak dapat membayar duit yuran SPM. Sedangkan sudah beberapa kali guru kelasku memintanya dan waktu akhir bayarannya pun sudah hampir tamat.

       "Awak ada masalah duit ke?" macam tahu-tahu sahajalah cikgu ni. Bisik hati kecilku.Aku geleng tak tahu kenapa. Dalam hati ini hendak sahaja aku ceritakan semuanya namun perasaan malu masih menebal.
       "Masalah peribadi", aduhai macamana ni,aku angguk pula tiba-tiba. Aduhai memang cari penyakit betullah aku ni.
       "Okey, kalau tak mahu cerita dengan saya tak apa, awak boleh cerita dengan cikgu-cikgu lain. Esok waktu rehat saya nak jumpa". Aku terdiam terus.

       "Aik!... menung apa lagi tu?". Aku tersentak. Suamiku merenung ke mataku mencari jawapan. Aku terkesima lagi. Kubiarkan semua soalan itu berlegar-legar.

      "Emak!, cikgu dah minta yuran SPM,". Emak membuka mata sambil tangannya masih lagi menepuk nepuk punggung si kecil. Kulihat emak bangkit dari baringnya. Rasa kesal pula bila mengganggu emak begitu. Lagi pun emak baru sahaja bersalin beberapa hari lalu. Anak mataku menyoroti emak yang keluar dari pintu belakang. Aku berlari ke tingkap dapur memerhatikan gelagat emak yang di luar dugaanku. Rupanya emak ke rumah Kak Lah jiran sebelah rumahku. Emak duduk di atas tangga rumah Kak Lah. Emak membicarakan sesuatu, kulihat Kak Lah masuk ke dalam rumah seketika dan keluar semula membawa sesuatu di dalam genggamannya.

       "Nah! ambil ni,". Emak menyuakan segumpal duit kertas kepadaku. Aku mengambilnya tanpa sepatah kata. Emak kemudian berbaring semula di sebelah si kecil yang tiba-tiba menguit manja, seolah-olah tahu yang emak sedang berada disisinya.
       "Terima kasih emak", ucapku sepatah sebelum masuk ke bilikku untuk menyimpan wang tersebut. Hatiku berbunga kelegaan kerana tidak payah lagi hendak kujawab segala macam pertanyaan guru kelasku nanti. Alhamdulillah.

       Selang beberapa hari berikutnya kulihat apak sedikit kecoh. Rupanya apak hendak pergi ke sekolahku untuk meminta penangguhan bayaran yuran SPMku. Aku terharu sangat. Apak sudah berpakat dengan jiranku Pak cik Moin untuk ke sana. Kebetulan anak Pak cik Moin sekelas denganku. Hanya kami berdua sahaja yang masih belum membayar yuran SPM.Bila mendapat tahu yang apak hendak pergi ke sekolahku aku terus berlari menuju ke simpang. Selalunya disitulah tempat menunggu kereta sapu. Nasib baik aku sempat sampai pada waktu yang tepat. Apak ketika itu sedang memegang pemegang pintu untuk masuk ke kereta. Setelah aku jelaskan semuanya apak tidak jadi pergi sebaliknya pulang ke rumah bersamaku.

       Setelah emak menjelaskan semuanya pada apak, apak menarik nafas lega. Tanpa kuduga apak bergegas ke rumah jiran sebelah rumahku. Kali ini suaminya Abang Mat yang keluar. Dari tingkap dapur dapat kudengar butir bicara apak yang mengucapkan terima kasih kerana telah sudi memberi pinjaman buat membayar yuran SPMku. Aku terharu kerana fikirku apak sudah lupa akan tanggung jawabnya. Rupanya apak tidak begitu. Aku terharu, bergenang airmataku menyaksikan semua itu di depan mataku.

       "Aik... masih nak nangis lagi?". Aku tersenyum. Airmata yang hendak menitis kutahan dengan hujung jariku. Suamiku memandang aku dengan satu jelingan.
       "Bukan nangislah, habuk masuk mata", aku berdalih. Sebenarnya aku malu kalau suamiku tahu yang aku menangis nanti diajuknya aku.
       "Yelah!.. kereta buruk banyaklah habuk", usiknya melucu.
       "Buruk-buruk pun lepas ke Pahang". Jawabku pula.
       Tiba-tiba aku terjerit kecil apabila suamiku sengaja tidak memegang stereng, ketika itu kereta kami sudah pun melalui Jalan Pahang, sebentar lagi kami akan sampai.
       "Saja, seronok dengar awak menjerit". Selepas itu satu cubitan halus singgah ke pehanya. Dia juga menjerit. Aku memandang ke belakang melihat dua puteriku yang nyenyak.
       "Saja seronok, dengar abang menjerit", balasku. Kami akhirnya sama-sama ketawa kecil. Pokok-pokok yang menghijau di luar kenderaan terasa turut sama tertawa.

   






Isnin, 4 Februari 2013

Sempat possing untuk kenangan.. entah bila nak sampai lagi kat sini.
.












   


        Alhamdulillah... hari ini hari yang indah sekali. Siapa sangka pada hari ini aku dapat pergi jalan-jalan makan angin. Sebenarnya sudah lama sangat aku hendak pergi bercuti jalan-jalan, santai-santai tetapi masa tidak mengizinkan mentelah suamiku sentiasa ada agendanya sendiri, maka terpaksalah aku akur dengan segala macam tugasannya.

       Sebenarnya sejak dua tiga hari yang lepas aku ada mengajak suamiku jalan-jalan. Teruja sungguh aku bila melihat di jalan raya depan rumahku kenderaan bertali arus tiada hentinya.

'Tentu sahaja mereka semua tu nak pergi Cameron
' rungutku cemburu. Yelah seingat aku dah setahun lebih kami tidak pergi Cameron, apalah salahnya jika cuti-cuti begini dapat meluangkan masa ke sana. Suamiku hanya beralasan " kereta banyak", sambil menunjuk ke arah jalan raya. Mahu atau tidak terpaksalah kupendamkan sahaja kemahuan diri.

       Pagi tadi seusai sahaja bersarapan aku mengemas-ngemas ruang tamu, sebentar lagi hendak ke luar untuk menguruskan nurseryku tiba-tiba, suamiku dah tersenyum-senyum di sofa.
" Nak gi jalan tak?" dia menyuarakan sesuatu yang mengejutkan. Aku terdiam sambil menyudahkan kerja-kerja mengemas. "Bila?", soalku cepat. Suamiku terus tergelak melihat gelagat aku yang dah mula teruja. "Sekaranglah... nak pergi siap". Itu arahan atau pertanyaan.  "Kemana?" soalku sedikit ceria. suamiku tidak menjawab sebaliknya menunjuk ke atas arah CH. Aku apalagi macam lipas kudung bersiap. Hari ini hari Isnin, mungkin jalan raya tidak sibuk. Fikirku lagi.

       Tidak sampai beberapa minit aku sudah duduk di dalam van diikuti anak bujangku Muttaqin, dia pun teuja hendak menikmati alam semula jadi di atas sana. Kami bertolak sekitar jam 9:15 pagi. Memang betul tiada banyak kenderaan di atas jalan raya. Perjalanan kami lancar dan sampai di tempat yang hendak di tuju agak awal. Aku sebenarnya bimbang sangat, takut termuntah maklumlah dah lama tak naik Cameron. Selalunya nak menyampaikan di atas sana aku dah lembik, tetapi yang indahnya hari ini aku biasa sahaja macam tiada apa-apa yang berlaku. Yes! seronoknya!!!.

       Sebenarnya tujuan kami ke Ringlet kali ini adalah untuk membeli sedikti bunga-bunga untuk diletakkan di nurseryku, biar nampak ceria. Tauke bunga tu masih mengenali kami. Kali pertama kami menjejakkan kaki ke tempat itu ketika Aqlima dan Zulaiqha masih kecil. Pekerjanya Kak yong wanita Indon itupun masih bekerja di situ. Pernah beberapa tahun kami membawa Aqlima dan Zulaiqha, terharu sekali kerana Kak Yong masih mengenali mereka. Wah! sangat-sangat mengujakan.

       Disaat dikelilingi bunga-bunga pelbagai warna hatiku ceria sungguh. Hari ini hari yang sungguh-sungguh menggembirakan dapatt menikmati keindahan bunga-bungaan. Itu semua sudah cukup membahagiakan aku, kalau selama ini duaniku hanya di sekitar rumah sahaja, hari ini aku terasa bebas-sebebasnya. "Terima kasih sayang kerana sudi membawaku ke sini"....


       Dalam perjalanan pulang aku merengek lagi, mengajak suamiku makan-makan di Batu 14 atau lebih dikenali sebaggai Lata Iskandar. Tempat ini sangat menarik kerana air terjunnya menjadi daya tarikan yang tersendiri. Entah kenapa hari ini hari bertuahku tak sangka mahu pula suamiku menuruti kemahuanku. Seronoknya....

       Sedang menantikan pesanan tiba sekali lagi aku membuat permintaan, wah! banyak betul permintaanku hari ini. Aku minta izin untuk pergi dekat dengan gigi air, aku nak snap beberapa keping gambar buat kenang-kenangan. Suamiku agak keberatan, tetapi bila aku kata Taqin ikut sekali barulah dia setuju. Dah tua-tua macam ni pun masih rasa cemburu. Agaknya takut perkara lama berulang kembali. Malaslah nak kenang perkara lama tuu.. biarlah ia berkubur macam tu saja.

       "Baik-baik jangan sampai terlepas handset tu". Pesanan suamiku itu macam tidak menyenangkan aku. Sayang sangatlah handsetnya tu... cakaplah "hati-hati nanti jatuh", barulah best. Aku tergelak sendiri mengenangkan banyak sangat yang aku minta dan mengada-ngada pula... ah! lantaklah bukannya dengan siapa-siapa my husbands. Seingat akulah baru 2 kali aku betul-betul datang ke sini tempat air terjun yang popular ini. Kali pertama 2 tahun lepas itu pun... sekejap je kerana atas sebab tertentu. Terlanjur dah lalu.. singgah sekejap. Itupun hari dah nak maghrib sangat. Dapat sentuh airnya sahaja ketika itu. Sejuk sangat... airnya kalau mandi boleh menggigil agaknya. Walaupun dah 22 tahun menetap di persekitaran ini baru 2 kali.. memang pelik dan aneh. aduhai nasib badan... Apa apapun mungkin ada hikmah disebaliknya. Hanya Allh jer yang tahu.

       Takjubnya bila melihat air terjun yang memutih dari atas bukit sana. Wah!... terfikir pula dalam fikiran ini dari mana datangnya air yang sebegitu banyak itu. Semua yang terhidang di depan mata ini suatu kekuasaan Allah. Aku terleka sebentar bila tersedar sudah banyak masa yang telah aku habiskan di situ. tidak ramai yang mandi manda ketika itu. Pengunjung pun tidaklah ramai... memang selesa sangat. Betullah telahan suamiku.

       Selesai minum dan makan kami berangkat pulang. Dalam mindaku masih tergambar hijau, kuning, merah, oren dan pelbagai warna warni. Indahnya... bunga-bunga ciptaan Tuhan. Pemandangan di luar van juga membuatkan aku terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang payah untuk di terjemahkan dengan kata-kata. Zuhudnya orang-orang asli dengan kehidupan mereka. Sedar-sedar kami sudah tiba di halaman.