Isnin, 31 Disember 2012

~ Hari ni hantar puteriku Balqis memasuki asrama. Alhamdulillah... tak payah bayar satu sen pun kerana puteriku ada kelebihan iaitu semuanya dibayar menggunakan biasiswa. Lapang rasanya..~
 ~ Dalam perjalanan pulang singgah di PasarayaKu, belilah 2 helai baju t, abang pula sepasang baju. Singgah kat kedai baja lepas tu, tapi tutup pulak. Dalam perjalanan pulang itulah abang teringat nak pergi Teluk Intan mencari plastik kerepek. Aku ikut saja... dalam pada tu teringat masa di PasarayaKu tadi masih ramai yang masih membeli pakaian sekolah, sedangkan esok dah nak mula buka sekolah. Inilah tabiat orang Malaysia suka sangat membuat persediaan di saat-saat akhir.~
~ Rupanya di Teluk Intan juga sama, rata-ratanya masih membeli pakaian sekolah. Ada yang sedang memcuba kasutlah, membelek baju dan kain sekolah. Aku cuma memandang dan melihat fenomena yang sama di mana-mana. Alhamdulillah anak-anakku semuanya sudah siap pakaian sekolahnya. ~
~ Akhirnya kami pulang begitu sahaja kerana kedai yang kami pergi itu tutup, alamak lupalah pulak yang hari ni 1 hb Jan 2013, banyak kedai yang tutup. Apa apapun aku seronok tengok dijalanan bunga-bunga kertas sedang mekar. Warna-warninya sangat mempesonakan aku. Bagai melihat pahlawan perkasa yang setia berdiri di samping rumah dan bangunan.  Diam-diam aku memuji kebesaran Tuhan kerana menghidangkan aku satu senario yang indah dimataku.




Ahad, 30 Disember 2012



Selamat hari jadi buat suamiku....
Dah 47 umur sekarang. Banyak sungguh kenangan yang telah kita lalui bersama. Moga di tahun baru ini akan lebih bermakna, akan lebih banyak kejayaan yang akan kita gapai bersama. Amin.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah mempertemukan kita Bagiku kaulah sumber kekuatanku.. sumber inspirasiku. Selamat hari jadi ....

Sabtu, 29 Disember 2012

~ Seakan tidak percaya bila berat badanku tidak menurun sejak 2 minggu ini. Sebenarnya aku dah lama tidak mengikut jadual yang telah aku aturkan, itulah kan... kalau tidak berdisiplin. Nampaknya kenalah aku buat peraturan baru. Ni dah masuk tahun baru, hai nampaknya usaha kena digandakan lagi tak boleh bermalas-malas lagi. Semua ini demi kesihatanku juga. Mudah-mudahan dapatlah aku capai apa yang aku inginkan. Amin ~
       Saat bertafakur di perkuburan di satu petang aku merasa damai sekali. Alam seakan turut sama merasai kesedihan yang kurasai. Terasakan bagai aku sedang bersatu dengan alam sekeliling. Jauh dan jauh perasaanku dibawa pergi. Terbayangkan kebaikan demi kebaikan arwah bapa mertuaku. Teringat saat kematiannya di Hospital Sungai Buluh. Lautan manusia di perkarangan masjid yang menantikan ketibaan jenazahnya. Semua itu bagaikan satu keinsafan buat insan kerdil sepertiku.

       Dalam kesunyian yang asing itu diriku bagai di bawa pergi jauh ke pendalaman. Kesunyian yang mutlak, sepi dan sepi hanya terdengar hembus nafasku sendiri, serta doa dan bacaanku didalam hati. Suara letupan buah-buah getah di pinggir perkuburan begitu jelas di cupingku. Derap jatuhnya bergesel dengan dedaun kering di lantai kebun getah bagai sedang berbicara dengan jiwaku. Sesekali aku menepis bingit nyamuk di mukaku sendiri sedang puteriku Balqis memegang erat tangan kiriku. Aku tenggelam dalam kesepian yang tiada tandingannya. Aku terlarut di dalamnya.
     
       Batu-batu nesan berceracak di mana-mana. Ada yang senget, ada yang pendek, tinggi dan pelbagai bentuk, gaya dan susunannya. Semua itu adalah pengalaman baru buat aku. Saat aku tenggelam dalam kekusyukan itulah bahuku dicuit. Rupanya suamiku disisi sudah pun berdiri dan dengan anak mata dia mengisyaratkan supaya meninggalkan tanah perkuburan itu segera. Balqis disisi masih memegang tangan kiriku kejap. "Kenapa ni?", soalku seraya berbisik. "seram"... jawabnya sepatah. Aku senyum.

       Cahaya matahari tampak ayun temayun dari celahan daun getah waktu kami mula melangkah meninggalkan kawasan perkuburan itu. Kami melangkah ke kereta dengan nafas yang lega. Tiba di kereta barulah tanganku dilepasakan.Memang ini pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke pusara. Sejujurnya bagi aku ini juga pengalamanku yang pertama.

        Kalaulah diberi peluang aku mahu duduk lama-lama di situ, mungkin banyak ilham yang datang untuk aku menulis sesuatu memandangkan kedamaian yang telah kuperolehi tadi. Mungkin aku akan dapat menghasilkan hasil tulisan yang baik. Namun mampukah aku menghadapinya?.. sendirian!!!

MEMORI JUNE 2004

Tanggal 23 June (Rabu)
7:30 pagi. Aku dan suami agak tergesa-gesa memulakan perjalanan ke Teluk Intan. Satu perjalanan yang penuh debaran buat aku.

8:00 pagi
Kami singgah di sebuah kedai makan. Setelah memesan roti canai dan nasi lemak kami makan dengan penuh tertib. Sambil menikmati teh panas sekali lagi aku lontarkan keresahan kepada suamiku, seperti biasa dia mententeramkan aku.

8:30 pagi
Perjalanan diteruskan sedangkan aku masih diburu bayang-bayang debaran yang menjelma silih berganti. Rasa takut, gementar dan pelbagai rasa bermain difikiran. Ah! lemahnya aku...

Tepat 9:00 pagi
Kami tiba di perkarangan hospital. Serta merta rasa perut memulas. Rupanya bukan aku sahaja yang rasa demikian "abang" pun sama. Setelah agak lama menghilangkan diri di dalam bilik air kami terus menuju ke wad kecemasan. Ketika itu debaran di dada sungguh menggila!!

9:25 pagi
Aku sudah pun duduk di birai katil dengan baju hijau muda sepasang. Abang memerhatikan aku dengan tenang. Aku macam biasa rasa tak tenteram langsung.

Sedang aku cuba mententeramkan jiwaku sendiri kami diterpa oleh seseorang yang tidak kukenali. Setelah dia memperkenalkan diri rupa-rupanya kami sejiran sekampung cuma aku yang tidak mengenalinya.

10:00 pagi
Abang berundur diri untuk pulang. Masa itu hati aku tiba-tiba jadi sayu kerana terpaksa meneruskan detik-detik mencemaskan sendirian. Terasa ada air mata nak menitis. Oh Tuhan!! berilah daku kekuatan.
Sepeninggalan abang, aku di bawa ke sebuah bilik pemeriksaan jantung. Layanan jururawat yang lembut dan mesra menerbangkan sedikit rasa yang memberat di jiwa!. Seterusnya aku dibawa ke bilik x ray.

Sebelum dibawa ke bilik x ray aku didatangi seorang doktor lelaki India namanya Johny. Darahku diambil dan ditanganku sudah terlekat jarum.

Seterusnya aku pulang ke katil semula. Ketika itu aku dah mula berkenalan dengan rakan-rakan di wad 10 tersebut. Katil aku nombor 24. Disebelahku seorang wanita Cina yang telah tua. Katilnya no 23, didepanku gadis India berusia 16 tahun no katilnya 26 dan disudut sana seorang wanita tua 89 tahun bernombor 25.

Jam 3:00 petang
Aku sudah mula gelisah. Lalu keresahan itu terlontar jua apabila kulihat kakak di penjuru katilku keluar dari bilik kelas pertama. Rupanya dia bersolat disitu. Aku bersuara keresahanku keranan di tangan kiriku terpacak jarum. Kakak itu hanya menjawab "entah". Tanpa memperdulikan sesiapa aku berwuduk dan solat biarpun aku tahu air tidak sampai di kulit tangan kiriku yang berplaster. ~ sesudah itu aku puas ~.

Malam terasa amat lambat sekali. Rakan nombor 23 amat bising dengan jeritan dan laungan. Tak padan dengan bisu. fikirku. Kekadang aku terkejut dengan jeritannya yang memanggilku untuk meminta pertolongan. Kekadang dia minta turun dari katil dan seketika kemudian dia minta aku naikkan dia semula ke katil.

Tanggal 24 June (Khamis)
Awal pagi gadis India di depan katilku sudah siap beruniform putih. Dia meminta aku mengikat tali baju belakangnya. Sekitar jam 11 pagi dia kemudiannya ditolak ke bilik bedah. Ibunya kulihat tenang terpaksa melepaskan anak gadisnya. Aku tiba-tiba rasa tidak tentu arah.

Seperti biasa aku kena melayan kerenah wanita cina tua di sebelahku. Kadang-kadang rasa nak marah, tetapi entah kenapa perasaan belas dihatiku makin menebal.

Menanti saat dibedah kurasa amat lambat. Sungguh terdera rasanya...

Jam 2:00 petang
Gadis India ditolak semula ke wad. Wajahnya pucat dan lesu. Pening katanya. Ah! sudah lepas azabnya...

5:30 petang
Ketibaan abang bersama 2 orang puteriku dan juga ibu mertuaku. Terhibur sedikit rasa tertekan. Hilang segala keresahan yang tadinya menyelubungi diri. Katil 25 kosong setelah mak cik tua dibenarkan pulang dan diganti pula dengan mak cik tua yang lain. Seronok bermesra dengan anak-anak. Kami terpaksa berpisah. Aku maklumkan juga besok aku akan dibedah di awal pagi seawal 8:00 pagi. Aku dipagut resah kembali.

Lewat petang
Kekosongan katil sebelahku setelah wanita cina tua itu dibenarkan pulang mula terasa. Tiada lagi jerit pekik. Paling terharu dia menghadiahkan aku sejabir nestum dan milo kampit kecil padaaku. Sebelum berlalu pergi lama dia menggenggam tanganku sambil anak matanya menujah ke dalam anak mataku. Malangnya tiada suara yang kedengaran. Mungkin itu sebagai tanda terima kasih. Oh! terharu sungguh.

Kekosongan tersebut diganti oleh rakyat Indon yang tercedera jari manisnya. Bukan jari manis tetapi anak jari akibat terjatuh dari traktor ketika sedang bekerja "kontrak". Gadis semuda itu telah pun melalui saat segetir itu. Namun yang lebih mengharukan aku ialah kesetiaan kawan yang menjaganya dengan begitu sabar sekali.

Malam datang lagi
Gadis India di depan katilku terbaring lesu. Dia telah ditinggalkan ibunya yang telah pulang tadi. Sesekali dia bangkit ke bilik air yang memang terletak berhampiran dengan katil-katil kami. Aku melihat fenomena itu dengan penuh bermakan sekali.

Malam yang gelisah buat aku. tidurku yang terganggu dek igauan, resah yang mengelilingiku saban malam. jururawat tiba-tiba hampir dan menghulurkan pil tidur. Aku lena hingga jam 4.00 pagi

4.00 pagi
Mataku terkebil-kebil membilang kotak syiling. Kualih ke kanan, budak Indon lena dibuai mimpi, sesekali mengerang kesakitan. Sementara kawannya, terbaring di lantai simen yang dingin tanpa beralas. Kusoroti mak cik tua yang juga lena dibuai mimpi ngeri barangkali dan gadis India di depanku lena sungguh!!. Aku bangkit duduk bersandar di katil. Perasaan takut perlahan-lahan menghampiriku dan menguasaiku terus. Oh! Tuhan berilah daku kekuatan. Amin.

25 Jun yang bersejarah (Jumaat)

Subuh yang dingin
Selesai solat subuh aku bergegas ke bilik air untuk mandi. Kujeling sut putih di atas katil. Itu menandakan sebentar lagi aku akan ditolak ke bilik bedah. Keluar dari bilik mandi jururawat mempersilakan aku naik ke atas troli. aku menelan ludahku sendiri. Paling trajis pakaian dalam semua kena tanggal! oh! tidak!!!...

7.30 pagi
Aku sudah terbaring di atas troli, gadis India tersenyum manis sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya padaku. Ha! giliran akak pulak!!! bisiknya. aku membalas senyuman itu dalam kepahitan.

8.00 pagi
Di bilik bedah yang dingin dan menakutkan aku ditolak ke penjuru bilik yang lebih kecil dari bilik yang lebar dan luas. Aku sungguh takut ketika itu, hanya nama Allah kusebut!!. Tatkala ubat bius disuntik terasa sakit hingga ke tulang lengan. aku disuruhnya sedut gas yang ditekupkan ke hidung dan mulutku. Terdengar sayup suara menyuruhku mengucap dan baca Bismillah. Apabila mataku disuruh pejam aku rasa diriku terus hilang dari dunia ini. Seolah-olah aku tidak wujud lagi di alam nyta ini. Aku sudah mati!!..

9.30 pagi
Pipiku ditepuk-tepuk. Bangun! bangun! sudah selesai. Kita nak balik ke wad ni!!". Aku terpisat. Kucuba buka mata! tetapi amat payah dan pedih. Tiba-tiba rasa denyut, ngeri dan sakit di kaki kanan menerjah diri. Oh tuhan!! segalanya sudah selesai!.. Syukur Alhamdulillah.

Aku ditolak ke wad 1D semula. Sebelum itu 2 kali aku muntah. aku betul-betul tidak bermaya. Kucuba juga membuka mata tetapi masih terasa pedih, berat kepala dan rasa loya yang aneh.

Dalam pada itu hatiku sedikit kembang bilamana aku terlihat kelibat "abang" sama-sama menyusuri tolakan troliku hingga sampai ke wad 1D. Aku terus lemah!!
Syukur Alhamdulillah!!.. segalanya dah selesai. Aku menarik nafas lega!!.. abang memerhatikan aku tidur!! dia menungguku disisi, aku rasa selamat sekarang. Dalam pada itu India dan anak gadisnya mengucapkan selamat tinggal. Mereka sudah dibenarkan pulang. Aku? mungkin besok. Horey!!

11.00 pagi
Keadaanku sudah stabil. Pening dan loya masih ada terasa sikit-sikit. Aku sudah boleh dan minum. Abang temankan aku makan, dia memerhatikan dan menghiburkan aku hingga jam 12.00 tengahari. Kemudian dia minta diri untuk solat Jumaat dan berjanji akan menjenguk aku lagi sesudah itu, aku mengangguk.

1.00 tengahari
Budak Indon disebelahku minta izin dari doktor untuk puylang. Rupanya lama aku terlena tadi. Katil didepanku sudah kosong. Baru aku teringat akan gadis India yang telah dapat pulang!. Mak cik tua pun ada tetamu. Aku?... baru aku teringat lagi abang pergi solat Jumaat. Habis mereka yang melawat itu tak solat Jumaat ke?.. entahlah!...

Terkejut bilamana dapat tahu gadis Indon tu kena bayar bil rawatan RM 395.00. Mahalnya? Aku?

3.45 petang
Abang tiba-tiba munul dari balik dinding. macam "magic show". aku sudah boleh senyum. Abang senang hati. Banyak kali dia tanya "sakit tak?". Tak! tak sakit sangat..." jawabku. Hingga ke jam 6.00 petang baru abang minta diri setelah solat asar di bilik solat berhampiran. Aku ditinggalkan.... bersama handphonenya!!..

Malam menjelma
Tidurku amat lena hingga ke pagi. Sesekali jururawat datang untuk membuat pemeriksaan malah tidak jadi menyuntik ubat tahan sakit bila aku beritahu yang aku tidaklah sakit sangat, masih boleh bertahan!! pelikkan?..

26 Jun yang indah
Doktor wanita berjubah dan bertubuh kecil terpacul di depan katil. Dia memeriksa, mak cik tua datang ke arahku. Doktor kemudian memeriksa laporan-laporan di fail. Kemudian terloncat perkataan "hari ni awak boleh balik". Aku tersenyum dalam hati. Rasa membunga kegembiraan di dalam dada. Lalu balutan dibuka. Agak terkejut kerana kesan jahitannya amat panjang. Cepat-cepat doktor itu menutupnya semula dengan balutan yang baru. Aku menghubungi abang menyatakan berita gembira itu.

Lebih kurang jam 10.00 pagi
Abang sudah tercegat di samping katilku. Ketika itu aku sedang mengait sesuatu dengan benang nilon yang halus. Itu menandakan hatiku sedang gembira!!.
Saat abang datang membawa resit bil hospital, aku tertanya-tanya berapa bayaran agaknya. Selamba sahaja abang menyatakan "mahal!". aku terkesima... dalam perkiraanku mungkin lebih RM 300.00.  Kalau terlalu mahal aku menyuruh suamiku membuat rayuan. Abang selamba sambil menunjukkan bil tersebut kepadaku. "Ha...". aku tergamam melihat angka yang tertera.

Selesai urusan pembayaran kami berlalu dengan tolakan kerusi roda. Manis sangat kenangan ketika itu buatku. Sebelum itu aku berjabat tangan dengan mak cik tua yang sempat menyampaikan salam buat ibu mertuaku. Tak lupa sempat berpelukaan dengan kakak yang begitu setia menjaga ibunya di katil 22. Aku terharu sungguh. Detik yang singkat ini telah mengajar aku erti kemesraan.

2.00 petang
Kami makan di bandar Teluk Intan di Menara Condong. Selesai makan kami terus pulang ke rumah. Disambut jerit sorak anak-anak yang kerinduan. Dalam pada itu aku bersyukur sangat kepada Allah kerana telah menyempurnakan pembedahan itu dengan sebaiknya yang mungkin. Terima kasih atas kasih sayang abang. Aku terharu sebenarnya, dalam jejakku sentiasa ditemani dengan kasih sayang yang berpanjangan. Aku bersyukur atas segalanya. Oh!!....

 


                                                                                             



Ahad, 23 Disember 2012



BAYANG HITAM DI TENGAH LAMAN


       Aku berdiri di tepi jendela kaca menyaksikan air hujan yang berjuntaian kemudian jatuh ke bumi dalam suasana yang indah. Bunyi titisan itu membangkitkan segala kenangan yang bukan sedikit. Kebahagiaan yang kulalui seakan hilang dibawa kedinginan hujan. Aku menyingkap langsir biru itu, kelihatan air hujan kian lebat mewarnai pandanganku. Terasa jiwaku basah dan ada airmata yang ingin turut serta.

       Dari kejauhan nampak pemandangan di luar berbalam-balam. Suara rengekan hujan sungguh membingitkan, pohon-pohon nampaknya meliuk-liuk dipuput angin. Pemandangan yang selalunya indah itu hanya kelihatan suram, terasa bagaikan alam turut sama meraikan kesedihanku.Entah kenapa pula dalam hujan yang lebat menggila itu aku bagaikan melihat sesuatu di laman. Seakan-akan ada bebayang hitam yang berdiri merenungku, aku terkesima,berderau darahku antara percaya dengan tidak, mungkin itu cuma ilusiku yang sedang kesedihan. Lagi pun kalau difikirkan manalah ada orang yang sanggup berdiri dalam hujan selebat itu. Namun naluriku mengatakan sebaliknya, kunantikan makhluk itu berganjak dari tempatnya. Malangnya rengekan hujan yang bingit itu membuatkan aku tidak selesa. Langsir biru bilikku kukuak kembali ke asalnya. Nyanyian merdu dari radio kecilku di meja kedengaran lunak biarpun sesekali tenggelam dalam rengekan hujan yang entah bila kan berhenti.

       "Percayalah emak!... takkan saya nak buat semua tu". Rayuan abang sebulan yang lalu masih bermain dibenakku. Emak menangis dengan hibanya, Sementara ayah pula sudah bercekak pinggang, aku cuma terkesima, semua itu bagaikan sedang menyaksikan sebuah drama tv. Ayah membuka tali pinggangnya dan libasan dari tali pinggang itu kedengaran sangat menggerunan. Aku memejamkan mata, tidak sanggup untuk kusaksikan adegan ngeri itu. Abang tidak menjerit cuma terdiam mengetap bibir menahan kepedihan yang amat sangat.
       "Sudahlah", jerit emak sambil menolak badan ayah ketepi, aku meraung melihat semua itu. Badan emak kupeluk erat.

       Telefon bimbitku berdenyit lagi, cepat kucapai dan dadaku terasa berdebar. Hari ini sahaja aku telah menerima 5 sms yang sama Pasti ianya dari orang yang sama juga. Kata-kata yang tertera itu membingungkan aku. Selama ini tidak pernah aku menyakitkan hati orang lain. Apa yang membelengguku kini sangat menderakan. Mahu sahaja aku terbang bebas seperti burung, biar masalah itu kucampak keluar dari tingkap, biar ianya larut dibawa hujan. Biar ianya cair dibawa angin.

       Terasa aku bagaikan sedang berdiri di kantin. Aku terselit di celah-celah kebingitan itu. Tidak jauh dari tempatku itu terlihat Kak Ijan sedang menjamu selera. Entah mengapa saat mata kami bertembung seolah-olah ada api membakar. Aku bingung bila memikirkan antara kami tiada kemesraan, biarpun puas kucuba memesrainya namun aku gagal. Kak Ijan sering mempamirkan kebenciannya. Ketika aku sedang duduk makan bersama Rozana, bila tiba-tiba Wafa datang menerpa mencari aku, aku terpana bila namaku dipanggil. Nasi lemak di atas meja tidak habis kusuap ke mulut. Rupanya dia mahu memberitahu yang abangnya mahu berkenalan denganku. Abangnya kirim salam kepadaku. Suaranya agak kuat sehingga menarik perhatian murid-murid di situ.

       Aku tersenyum malu ketika itu bila diusik Rozana, terasa duniaku berbunga indah. Tidak kusangka murid sepertiku yang pendiam ini ada insan yang mahu mendekati. Namun... baru sahaja hendak kugapai keindahan itu, aku terlupa ada sepasang mata sedang memerhatikan aku dengan muka yang mencuka. Sebenarnya secara tidak sengaja aku terserempak dengan abang Wafa ketika aku ke rumahnya untuk memulangkan buku Wafa. Tidak kusangka dalam diam ada sepasang mata memerhatikanku.
Siapa sangka abang Wafa ingin berkenalan denganku. Jauh disudut hati, aku telah mengambil keputusan untuk menolaknya secara baik. Pelajar sepertiku belum layak untuk masuk ke kancah perkenalan begitu. Bagiku biarlah kutumpukan kepada pelajaranku sahaja. Aku bimbang jika kedua orang tuaku tahu mereka pasti tersalah faham. Belum pun sempat aku membuat apa-apa keputusan aku dikejutkan dengan tindakan Kak Ijan selaku pelajar yang lebih senior dariku itu.

       Pulang dari sekolah aku ditahan di luar pagar. Tudungku ditarik menyebabkan aku hampir rebah. Dia mengugut aku supaya menjauhkan diri dari Razak. Pada mulanya aku tidak mengenali siapa gerangan yang disebut Kak Ijan itu, tetapi bila nama Wafa dikaitkan barulah kusedari semua itu berpunca dari perbuatan Wafa di kantin tadi. Aku terpana dan tidak menyangka yang aku akan terlibat dalam situasi yang memalukan itu. Bagi aku, aku tiada siapa-siapa dengan Razak, mengenalinya pun tidak. Apalagi nak jatuh cinta. Jijiknya aku dengan perkataan cinta. Kata-kata kesat Kak Ijan masih kuingat sampai kini. Terasa hatiku terluka dan buat keberapa kalinya aku menjauhkan diri dari namanya lelaki. Terlalu pahit untuk aku menelannya.
Ah!.. aku mengeluh, terasa amat berat untuk aku menanggungnya. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi aku masih belum dapat melupakannya. Terasa ada sahaja bayangan Kak Ijan disepanjang hidupku. Mahu sahaja aku lari dari bayangannya namun gagal.

       Aku melirik kepada potret wajah di mejaku. Wajah emakku manis disisi ayahku. Mereka berdua tersenyum, emak sedang meriba anak perempuan kecil yang comel. Rambutnya ditocang dua. Disebelah ayahku berdiri budak lelaki yang kelihatan nakal. Aku tersenyum pada gambar itu. Kepiluanku datang lagi bertamu. Entah bila aku akan bebas dari permasalahan yang datangnya bertimpa-timpa. Aku mengeluh. Rintik hujan di luar bagaikan nyanyian pilu buatku. Kurenung kembali keluar tingkap. Suasana petang terasa sunyi mengheret perasaanku untuk merasai kesedihan. "Emak!... ayah!... abang!...."

       "Setiap apa yang dijadikan Allah ada hikmahnya. Kalau kita tolong Allah, Allah akan tolong kita", kata-kata keramat itu bermain-main dimindaku.
"Apa sahaja kejadian di dunia ini telah ditentukan Allah". Aku memetik kata-kata itu. Biarpun cuma mengenali di laman muka buku terasa hubungan kami sangat akrab. Kekadang aku jadi rindu pada empunya kata-kata itu. Terlalu banyak nasihat yang diberikan, aku terpesona dengan setiap tutur katanya. apakah aku sudah jatuh cinta padanya. Oh! tidak... masakan boleh aku jatuh cinta dengan insan yang tidak kukenali. Mustahil, mungkin aku hanya meminati kata-katanya sahaja bukan dirinya. Begitu aku mememujuk diriku.

       "Apa?... ada lembaga hitam merenung kau?", Nani tergelak.. air oren digelas itu tidak jadi dihirupnya, aku mengangguk.
"Itu tandanya... ada insan yang sedang cuba mendekati kau"... aku mencebik. Cepat sahaja aku memancung cakapnya.
"Berdiri dalam hujan lebat?"....
"Emmm... nak cari perhatian kaulah tuuu"... kali ini aku tergelak. Mustahil.
Angin petang terasa membuai-buai perasaan. Meja kecil di bawah pokok ketapang itu sudah menjadi tempat kami untuk bersua muka sejak dulu lagi.
Andai sahaja dapat kuluahkan semuanya akan aku lakukan tetapi terasa seperti... ada satu misteri yang mesti aku ungkapkan sendiri.
"Apa kata kalau kita menyiasat, mungkin sms tu ada kaitan dengan lembaga hitam tu". Aku cuma mengangkat bahu, tiada jawapan yang pasti akan kutemui melainkan kebuntuan.
"Jangan-jangan yang merenung kau, dalam hujan lebat tu... emm..", kunantikan kata-kata seterusnya dengan sabar. Kutelan ludahku sendiri.
"Apa?", sergahku tiba-tiba. air oren yang sedang dihirupnya tumpah ke meja. Dia terkenyit-kenyit mata menahan kepedihan. Aku tertawa gelihati melihat aksinya itu.

       Di bawah pokok ketapang inilah aku dan teman-teman selalu menghabiskan waktu bersama. Kami selalu menyanyi lagu kegemaran kami ketika itu, yang paling seronok sekali apabila Zana membawa adik kecilnya untuk bermain denganku. Itulah saat yang paling indah didalam hidupku. Yelah.. anak bongsu seperti aku yang tidak pernah punya adik tentulah gembira bila dapat bermain dengan adik kecil Zana, malah aku sering menyuruhnya membawa adiknya lagi dilain ketika. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Buaian yang ada pada dahan ketapang itu juga selalu menjadi rebutan. Ah!, banyaknya kenangan pokok ketapang ini buat aku.

       Nani baru sahaja kelihatan pulih, rasa bersalah pula bila aku memperlakukannya begitu tadi. Berkali-kali aku meminta maaf darinya. Sebelum pulang petang itu aku mengajak Nani menjamu selera di rumahku. Sudah tentu emak telah memasakkan sesuatu bila sahaja ada temanku yang datang. Benar dugaanku petang itu kami dijamu dengan laksa kegemaranku. Sebelum pulang emak membekalkan sedikit buat ibu Nani. Sempat Nani mengusik aku sebelum melangkah pulang."Hati-hati Maria... jangan sampai makhluk hitam itu mencolek kau nanti". Aku cuma tersenyum tawar sambil jari telunjukku kuletakkan di bibir. Kalau boleh aku tidak mahu emak tahu apa-apa.

       Saat aku melangkah masuk ke bilik hari sudah jauh malam. Selesai solat Isyak dan makan malam tadi aku menemankan emak menonton cerita P.Ramlee. Terkekek-kekek emak ketawa walaupun cerita yang ditontonnya itu sudah berulang kali ditontonnya.

       Langsir bilik kukuak sedikit. Cahaya bulan melimpah ke bumi tenang dan nyaman. Bebayang pohon bercantum dengan rumput-rumput di laman. Aku memerhatikan seluruh laman dari jendela bilikku. Tiada apa-apa yang ada di situ melainkan hanya suasana malam yang sepi. Terngiang-ngiang suara Nani yang ceria tadi.
"Jangan sampai dicolek makhluk hitam tuuu"... Makhluk hitam?, apakah yang sebenarnya kulihat. Betulkah wujudnya makhluk hitam di dalam hujan lebat itu? atau cuma hayalanku sahaja?
Kurenung ke langit, nampak bulan di celah awan mengintaiku bagai sedang mengucapkan selamat malam. Telefon bimbitku berdenyit lagi seperti rengekan bayi yang haus. Pantas sahaja kusambar dan kutatap mesej yang sama seperti sebelumnya.
"Kalau kail panjang sejengkal, janganlah lautan hendak diduga!". Aku terhenyak, rasanya aku perlu menghentikan seseorang daripada terus mengangguku. Cepat sahaja jari kurusku menaip sesuatu....
"Andai ada seribu lautan pun akan aku kail, biarpun tiada siapa yang akan menduganya".cepat sahaja kubalas sms mesteri itu. Harap-harap ada secebis pengertian buat aku fahaminya. Namun hingga ke dinihari tiada sebarang balasan.

        Petang itu aku membantu emak di laman, menyusun pasu-pasu bunga, memberus pasu-pasu lama yang sudah mula berlumut dan mencabut rumput yang meliar tumbuh di dalam pasu. Aku mula berfalsafah sendiri... rumput-rumput itu ibaratnya pengaruh jahat yang semulajadi ada didalam diri kita. Ianya perlu di buang agar tidak terus menguasai diri.

       Walaupun emak cuma suri rumah sepenuh masa, masa emak tidak terbuang begitu sahaja, ada sahaja aktiviti yang dilakukannya. Tengok tu, di tepi bilikku ada 3 pasu bunga ros yang subur. Bukan sahaja bunganya lebat, daunnya pun turut merembang. Sesekali ditiup angin malam baunya sampai masuk ke bilikku. Ia juga menyumbang pewangi yang asli..

      "Maria!!... tempat kau mengajar tu, tak ada ke yang sangkut?", tiba-tiba suara emak memecahkan lamunanku. Aku tergamam, rumput yang telah kucabut tadi kucampak ke sudut. Aku cuba memahamkan pertanyaan emak.
"Sangkut?.. apa yang sangkut?", dahiku berkerut.
"Hai budak ni... tak ada ke yang berkenan?". Aku tersenyum gelihati. Ah! ingatkan apa tadi.
"Emmm... kan emak pesan, kalau mengajar tu buatlah cara mengajar, jangan gatal nak cari jantan". Aku beralasan dan sekaligus memulangkan paku buah keras. Tiba-tiba emak tergelak, suara gelak emak sangat indah dimataku. Sebenarnya sudah lama aku tidak mendengar suara gelak emak. Sejak peristiwa abang dibelasah ayah, emak jadi murung. Wajah emak sentiasa sedih. Aku tahu kerisauan yang ada dihati emak. Umurku sudah menganjak tinggi tetapi sampai sekarang belum ada tanda-tanda yang aku telah ada seseorang yang istimewa.Dalam diam aku sebenarnya mentertawakan diriku sekali.

       "Lurus betullah budak ni, dah besar panjang macam ni... bila lagi nak cari?", aku pura-pura tidak mendengarnya. Tanah di dalam pasu kugores-gores dengan mata tiga. Sarung tangan kutanggalkan.
"Hai.. Maria, takkan bila tanya macam tu, dah nak berhenti kerja".
"Tak.. Mar nak masuk rumah kejap, nak minum air... haus, emak nak Mar ambilkan?". Aku berjalan pantas kulihat emak menggeleng. Sambil itu aku terkenangkan beberapa minggu yang lalu ada seorang pemuda yang menghampiri keretaku. Dia cuma melemparkan senyuman dan tidak lebih dari itu.

       "Maria!... cepatlah tolong emak habiskan ni". Aku menarik nafas, terasa air kosong itu mengalir deras ke kerongkongku.

       "Alah mak, Nani tu pun belum apa-apa, emak dia tak bising pun". Aku menyuakan sebotol air kosong, emak menyuruhku meletakkan ke tepi.
"Bukan tak ada.. dia tu memilih sangat". Tidak pula kutahu kerana selama ini Nani belum pernah menceritakan apa-apa padaku mengenai dirinya. Tak apalah!, lagi pun aku yakin lambat laun akan ada jodoh kami nanti.

       Ingat pula aku kepada teman baikku Nurin. Dalam waktu persekolahan lagi dia sudah bertunang. Gadis berwajah mirip Norkumalasari itu akhirnya mendirikan rumah tangga sebaik sahaja habis tingkatan 5. Zana pula gadis berkaca mata dan pendiam itu pun sama tetapi ironisnya dia berkahwin dengan orang yang tidak pernah dikenalinya. Mungkin diketika ini dia sedang mengelek anak. Kalau dulu adiknya lah yang selalu dikeleknya kesana-kemari. Ramai juga kawan-kawanku yang sudah berumah tangga. Aku dan Nani masih di sini menghitung hari. Setakat ini belum ada seorang jejaka pun yang berani mendekatiku.

       "Maria!,.. tuangkan emak air". Aku tersentak, keri terlepas dari tanganku. Sejak akhir-akhir ini aku banyak mengelamun. Lepas itu terperanjat. Nasib baik emak tidak perasan tadi kalau tidak teruk aku dileterinya. Penat juga aku hendak meghabiskan kerja itu, tetapi hasilnya tidak mengecewakan, nampak kemas, bersih dan teratur. Di tepi pagar kelihatan pokok cili berbuah lebat. Tentulah kerana emakku yang rajin, ada-ada sahaja petua yang dicubanya. Air beraslah, air ikanlah, tahi ayamlah. Seronok tengok hasil tangan emak... kalaulah ayah ada tentu dia bangga punya isteri serajin emak. Namun sampai sekarang ayah pergi tanpa khabar berita dan aku masih tidak faham kenapa ayah berbuat demikian.

       "Sudahlah tu, Maria!.. jom masuk". Aku akur, perkakas kebun itu kukumpul dan kusimpan. Emak sudah menghilangkan diri ke dalam rumah. aku masih mahu menikmati udara petang yang nyaman. Cicipan burung yang hinggap di pohon ciku cukup menghiburkan. Ibu ayam dan anak-anaknya kelihatan gembira sekali. Bunyi serangga di pinggir dusun juga cukup mempesonakan. Sepasang rama-rama saling berkejaran, aku jadi asyik.Seekor tupai melompat ke dahan nyiur dan dengan pantas membuat aksi spiderman.Semua itu cukup "mawaddah" bagiku. Namun hati kecilku merasakan ada sesuatu yang perlu ditambah tetapi aku tidak pasti apakah yang sebenarnya kumahu. Ruang laman itu terpaksa kutinggalkan juga bila jeritan emak mula kedengaran memanggilku. Lagi pun aku mula terasa seperti ada seseorang sedang memerhatikan aku.

       Aku menyusuri sungai di belakang rumahku dengan pelbagai rasa.Terkenang sms yang saban hari kuterima. Ada denyut rasa yang tidak kufahami sedang menderaku. Ayah yang pergi meninggalkan kami begitu sahaja dan lagi abangku yang ke bandar tanpa khabar berita. Alangkah andai semua permasalahan itu dapat kuselesaikan dengan mudah. Alangkah indahnya andai ayah dan abang tiba-tiba pulang dan kehidupan kami seperti dulu. Alangkah indahnya andai si pengirim sms itu muncul dan menyatakan apa yang sebenarnya yang tersirat. Ah! aku mengeluh, seketul batu aku lontarkan ke dalam sungai. Airnya berkocak.
Sikap ayah terlalu optimis terhadap emak. Ada-ada sahaja yang emak lakukan salah dimata ayah. Hal-hal yang sebegitu kecil pun akan diungkit-ungkit oleh ayah menyebabkan emak hilang sabar. Perang dingin itu membuatkan aku rasa terpinggir, terasa tidak dipedulikan. Jarang sekali emak membalas semua tomahan ayah, jarang sekali emak peduli setiap kekasaran ayah tetapi petang itu kesabaran emak tergugat. Ayah tiba-tiba berang bila desas desus memburukkan nama abang. Abang yang masih tidak punya kerja tetap itu dituduh mencuri getah buku jiranku. Abang bermatian menafikan, emak turut meyakinkan ayah tetapi ayah lebih mempercayai desas desus itu. Ayah menuduh emak yang tidak pandai mengajar anak.Tidak kusangka ayah sanggup menampar emak yang penyabar dimataku. Sedar-sedar pagi esoknya ayah sudah meninggalkan kami. Bila kutanya pada emak, emak cuma membisu. Malah ketiadaan ayah sungguh membuat emak tenang. Namun dapat kurasakan emak masih mengharapkan kepulangan ayah. Aku berharap semoga satu saat nanti ayah akan pulang untuk membetulkan keadaan.

       "Hai!", aku jadi kaget, sebuah senyuman terselit dibibir jejaka yang tidak kukenali itu. Dia berdiri betul-betul didepanku. Aku terkesima antara mahu lari atau membiarkan dia merenung aku yang sudah merasa serba salah. Entah sejak bila dia muncul di depanku.Adakah ini hayalanku atau cuma ilusi. Aku memejamkan mata dan berharap bila mata kubuka nanti jejaka itu akan ghaib. Walaupun begitu dari hatiku ini berharap juga biarlah ianya satu kenyataan. Saat mataku dibuka terlihat Nani berlari-lari mendapatkan aku. Aku tergamam terasa bagai mimpi disiang hari.

       "Setiap yang terjadi di dunia ini adalah suratan, tentu ada penyebabnya".
"Allah berhak berbuat apa sahaja kerana kita ni cuma hambanya".
"Hidup ini umpama roda, sekejap di atas, sekejap di bawah,"
"Setiap permulaan akan ada penamatnya".
"Allah bersama dengan orang-orang yang sabar".

       Aku terpampan, sepertinya kata-kata itu selalu kudengar. Aku terfikirkan sesuatu, Nani menyeringai. Wajah manis Nani kutatap. Wajahnya yang bujur sirih, berkulit kuning dan tinggi lampai itu cukup ayu berbaju kurung biru, bertudung kelabu. Aku tidak mengerti mengapa gadis periang dan secantik Nani masih belum lagi diminati oleh sesiapapun. Aku jadi tidak faham apa yang seorang lelaki mahukan dari seorang perempuan sebenarnya.

       "Ini Razaklah!, jerit Nani menyentakkan aku dari hayalan kecilkku. Aku cuba mengerutkan dahi, mencari sesuatu.
"Maaf saya tak pernah kenal sesiapa pun yang bernama Razak". Aku menjeling lelaki di depanku. Pemuda itu tersenyum sumbing.
"Memanglah kau tak kenal dia,..". Nani menyikuku. Pasti dia ni buah hati Nani, lihat sahaja betapa cerianya dia hari ini, siap memperkenalkannya kepadaku. Aku juga yang kekosongan.
"Saya... Laxmana Dzun Nun". Aku bagai dipanah. Tiada kata-kata . Patutlah ayat-ayat yang diucapkan tadi seperti biasa kubaca dimana.? Dilaman muka buku. Tetapi gambarnya cuma seorang lelaki perkasa memegang lembing. Mukanya bersalut kostum besi.
"Apalah ada padanya pertemuan, andai ianya kan jadi perpisahan". Aku makin terdera dengan trade mark itu. Inilah jejaka yang berjaya mencuri hatiku.
"Adakah di depan hamba ini, Puteri Semalu?", kali ini aku tersipu.
"Apalagi tuan puteri, baik mengaku aja!", Nani menyinggungku. Aku tidak berdaya berdalih lagi.
"Inilah abang Wafa, orang yang mahu mengenali kau waktu kau berhingus dulu tu". Tidak kusanga akhirnya terjawab satu persoalan. Ini mungkin permulaan, akan ada lagi jawapan kepada persoalan yang lain. Aku mula berharap.

       Saat aku melangkah pulang, ada 2 pasang kasut lelaki di luar rumah. Aku tertanya-tanya... dan sebaik aku menerjah masuk wajah emak kelihatan sugul. 2 pasang mata memandangku. Seketika aku terkejut, "Ayah!", jeritku separuh gembira tanpa mempedulikan sepasang mata lagi yang juga merenungku. "Abang!", jeritku. Sungguh! doaku dimakbulkan Tuhan. Semoga hari ini segala penantianku tamat dan berkesudahan dengan kegembiraan.

       "Tahniah!", ucap Nani sambil menggosok bahuku. Aku masih tidak memahami situasi yang sebenarnya itu terus mendapatkan emak. Dengan lemah emak menerangkan semuanya. apa yang aku mampu lakukan hanyalah menjadi pendengar yang baik. Aku akhirnya memeluk emak dan melepaskan satu tangisan kesyukuran.

        "Inilah yang dinamakan kesudahan yang indah", bisik Nani. Aku tersenyum panjang sambil merenung wajah ayah dan abang. Apa-apa pun aku berharap inilah satu penghijrahan yang terbaik dari keluargaku. Dalam pada itu masih ada satu lagi yang belum terjawab, jauh disudut hatiku aku tidak mahu lagi memikirkannya biarkanlah ia berlalu dari hidupku. Terima kasih Tuhan.

       Akhirnya aku dapat ketenangan. Semua permasalahanku akhirnya terlerai. Ayah sudah pulang menunaikan tanggung jawabnya. Abang juga telah insaf dan berjanji untuk menjadi anak yang baik. Kutinggalkan emak dan ayah menyelesaikan masalah mereka. Biar apa pun alasan ayah aku hormati. Apa pun yang kulihat di dalam hujan lebat itu biarlah terus menjadi misteri buatku. Tidak payahlah untuk aku menemukan jawapannya kerana aku sebenarnya sudah tahu akan jawapannya. Biar aku sendiri yang tahu.

Sabtu, 22 Disember 2012


        Sememangnya dalam kehidupan ini banyak benda yang kita kena lalui, mahu atau tidak itulah fenomena kehidupan. Ada kalanya ianya sangat manis dan menggembirakan. Ada kalanya juga menyakitkan sekali. Antara perkara-perkara yang dilalui itu ada juga yang menakutkan. Begitu juga dengan aku kerana terpaksa melaui perkara yang menakutkan hingga menyebabkan aku berdepan dengan fobia.
       Satu hari seperti biasa aku menjalani rutin hidupku. Selesai menyiram bunga-bunga di kebun bungaku aku masuk ke rumah untuk berehat sebentar. Anak-anak sudah ke sekolah semuanya, suami pula sudah ke tempat kerja manakala rumahku memang sangat hampir dengan rumah ibu mertuaku betul-betul bersebelahan. Kalau aku menjerit memang akan didengarilah suaraku.
       Aku duduk di kerusi di dapur, ada tv di tepi dinding., sebelahnya ada meja lama. Suasana pagi itu masih gelap. Aku terus memasang tv, tanpa sempat membuka tingkap dan pintu dapur. Aku bercadang untuk berehat sebentar sebelum meneruskan kerja-kerja lagi di luar rumah. Dalam pada itu dengan kuasa Allah aku terlihat sesuatu di bawah meja. Sesuatu yang amat aku takuti. Namun benda itu pegun tidak bergerak langsung. Mungkin aku salah pandang. Aku menapak setapak sambil membongkokkan badan. Ya Allah! Memang betul itu adalah ular!. Aku berlari keluar dari rumah terus ke rumah ibu mertuaku sambil menjerit-jerit memanggil ibu mertuaku.
       Namun kelibatnya tidak kelihatan mujurlah adik iparku ada ketika itu. Dia mententeramkan aku, dengan beraninya dia masuk ke dalam rumahku untuk melihat kalau-kalau ular itu masih ada di situ. Memang apa yang aku nampak itu ular katanya, tetapi ular itu sedang bergerak keluar melalui bawah pintu dapurku yang tertutup. Itu yang dikatakan oleh Linda padaku. Aku hanya di luar rumah. Beberapa ketika ibu mertuaku pula yang datang. Dia memeriksa keadaan dapurku untuk memantau keadaan dan untuk memastikan keselamatanku. Aku mengikut ibu mertuaku dari belakang. Dia mengesahkan yang ular itu betul-betul sudah keluar. Aku menarik nafas lega.
       Akhirnya perkara yang menakutkan berlaku sekali lagi kerana hari sudah meninggi, bermakna aku akan duduk di dapur untuk memasak . Sebentar sahaja lagi anak-anak dan suamiku akan pulang untuk makan tengahari. Dalam ketakutan itu aku masuk ke dapur memulakan tugasanku. Emak dan Linda sudah pun balik kerumah. Syukurlah kerana anak-anakku sudah pulang dari sekolah, tetapi mereka pelik kerana aku masih belum menyediakan makan tengahari. Salah seorang anakku masuk ke bilik air dan seorang lagi berada di ruang tamu. Aku mula menggoreng ikan sambil asyik memandang ke lantai. Entak mengapa dalam mindaku ini asyik terbayangkan ular yang berwarna hitam itu. Sedang aku tertoleh-toleh ke lantai itulah aku terasa ada sesuatu menyentuh betisku. Ada sesuatu dalam kain batikku. Periuk di tanganku terlepas. Aku menjerit sekuat hati. Aku dah kena patuk! , entah bagaimana kuatnya jeritanku aku sendiri tidak pasti. Berlari anak-anakku yang dua orang itu ke arahku. Mukaku pucat, ditoreh tidak berdarah.
       “Kenapa umi? Kenapa umi?”, mungkin mereka terkejut bunyi periuk yang jatuh tadi beserta jeritan mautku. Aku menyeringai sambil mataku terbeliak melihat kucingku si Domok sedang menggesel-geselkan badannya ke kakiku. Ekornya yang tersimpul itu menyentuh betisku. Aku menarik nafas lega namun jantungku masih berdegup kencang. Nasib baik bukan minyak yang di dalam kuali itu yang tumpah, kalau tidak aku sendiri tidak tahu apa nasibku. Selepas peristiwa itu aku sangat berhati-hati ketika masuk ke rumah. Ku pasang lampu dan kuintai di bawah meja dahulu sebelum membuat apa-apa pekerjaan. Namun jauh disudut hati aku masih dihantui fobia, masih dalam dilema. Entah bila aku akan dapat lari dari ketakutan ini. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha melindungi telah melindungiku dari segala mara bahaya. Aku bersyukur kerana sampai ke saat ini aku masih dapat meneruskan kehidupan.     
      

Khamis, 20 Disember 2012

AKIBAT NAK BUAT KEJUTAN

       Kejadian ini berlaku ketika aku baru berkahwin. Rumah sewa aku berhampiran dengan paya. Boleh dikatakan sekeliling rumahku banyak pokok keladi, semuanya kelihatan subur merimbun. Entah macam mana teringin pula aku nak makan sayur gulai keladi masak asam. Sebelum berumah tangga aku memang selalu masak gulai keladi masak asam. Keladi itu aku selalu ambil dari belakang rumah jiran.

       Mengenangkan gulai keladi itu, aku jadi teruja sangat mentelah lagi apabila melihat banyaknya keladi di sekeliling rumahku. Aku pun apa lagi mulalah mencabut keladi yang tumbuh meliar di tepi dapur rumahku. Hairan juga kerana keladi itu berwarna agak merah daunnya berbanding keladi yang selalu aku ambil untuk dibuat gulai. Lantaklah!!!, fikirku yang ini tentu lebih sedap kerana ubinya pun agak kemerahan berbanding keladi biasa yang putih. Selesai memasaknya, aku sudah tidak sabar untuk meratahnya. Hari pun masih awal, suamiku belum balik dari kerja. Tanpa membuang masa aku menyeduk ke dalam mangkuk kecil.

       Tidak dapat aku bayangkan betapa sedapnya kuah dan isinya apabila dimakan bersama suami nanti, tentu suami aku suka dan memuji-muji keenakan masakanku. Tanpa berlengah aku hirup gulai keladi itu penuh selera, ubi dan batangnya kukunyah dengan seleranya. Tiba-tiba... kunyahanku terhenti bila rasa sesuatu yang begitu aneh dikerongkongku. Gatal dan merenyam yang luar biasa. Aku berlari kesana kemari tidak tahu apa yang hendak dibuat. Mataku terbeliak sementara memegang batang leher yang terasa bagai nak terkoyak. Cukup seksa untuk dibayangkan. Aku mula panik, suamiku belum pulang.

       Syukurlah dalam kegawatan itu aku teringatkan ibu di kampung. Teringat pesanannya kalau tangan gatal terkena getah keladi basuh dengan air asam jawa. Aku meluru ke dapur, asam jawa kuramas segera dan airnya kuhirup lahap. Namun masih tidak hilang gatalnya. aku tidak berputus asa kuminum air lagi dan lagi sampai rasa nak kembung perut. Akhirnya dalam kepenatan... sedikit demi sedikit kegatalan di tekak beransur hilang. Aku lega sangat dan tengahari itu seperiuk gulai keladi aku tuang ke dalam longkang belakang rumah. Selamat tinggal gulai keladi!!!.

        Sampai saat ini 20 tahun berlalu baru aku berani menceritakan peristiwa tersebut, seperti jangkaanku suamiku marah betul denganku kerana memandai-mandai. Aku lega sangat kerana tiada kejadian buruk berlaku selepas itu. Sampai sekarang aku fobia memakan keladi. Aku terkesima bila diberitahu keladi yang kumasak dulu adalah keladi yang paling gatal. Namanya keladi kemahang.

Rabu, 19 Disember 2012

INDAHNYA KENANGAN LALU

      Peristiwa lalu begitu payah untuk dilupakan. Kenangan itu teramat manis buatku.  Beberapa tahun yang lalu sedang aku mengendalikan nursery bungaku yang tidak sebesar mana itu disamping 3 gadis kecilku disisi, aku didatangi oleh seorang mak cik berbangsa melayu. Entah dari mana datangnya aku sendiri tidak menyedarinya. Tahu-tahu dah muncul didepanku. Orangnya peramah dan kelihatan menyenangkan hati. Wajahnya ceria dengan senyuman yang sentiasa terukir dibibirnya. Dari butir bicaranya dia sedang mencarikan calon isteri buat anak bujangnya. Di hari itu banyak juga bunga yang dibelinya sampai aku tertanya-tanya dengan apa dia datang tadi kerana aku tak nampak pun sebarang kenderaan. Terkejut aku bila diberitahu dia datang dengan bas. Aku dapat merasakan ada keanihan pada diri mak cik ni.

       Minggu berkutnya dia datang lagi, juga dengan menaiki bas. Kami berbual-bual panjang, sekali lagi dia menyuarakan hasrat mahu mencari calon isteri anak lelakinya. Peramah sungguh mak cik ini fikirku. Aku cuma menjadi pendengar yang setia. Sesekali aku tersenyum dan tertawa melayan bual bicaranya yang sangat mesra. Kali ini dia pulang dengan teksi. Sempat melambai mesra kepadaku.

       Minggu seterusnya kedatangannya bersama anak menantunya pula. Luar biasa sekali minat mak cik ni pada bunga fikirku. Aku tetap melayan perbualannya dengan semesra mungkin, terasa inilah pelangganku yang cukup setia, mesra dan peramah. Anak dan menantunya berbisik sesuatu di depanku. "Cantik".. sahut salah seorang dari mereka sambil mengangguk-angguk dan tersenyum penuh makna. Mungkin dia memuji-muji pokok bungaku cantik yang ada disekitar nurseryku.

       Minggu berikutnya lagi, mak cik tu muncul lagi kali ini dia berseorangan. Aku gembira kerana dia masih sudi membeli bunga-bungaku. Aku melayannya seperti biasa, sesekali aku melayan anak-anak kecilku yang sedang gembira bermain sesama sendiri. Mak cik tu tersenyum melihat kemesraan kami. Kali ini ibu mertuaku ada bersama anak-anakku. Selesai pembelian seperti biasa aku masuk ke dalam rumah untuk menukar baki wang. Waktu aku mahu keluar dari pintu rumahku itulah aku terdengar perbualan mereka yang rancak. Nama aku disebut-sebuat.
       "Dia tu dah ada anak berderet, bukannya anak dara. Merepek betullah... takkan tak nampak yang kecil-kecil tu semuanya anak dialah". Nyaring bunyi suara ibu mertuaku. Aku terkesima. Saat aku menghulurkan wang bakinya air muka mak cik itu berubah. Tiada senyum di wajahnya mungkin terasa malu dan terkejut kerana tersalah sangka.
       "Ingat saya, dia ni anak dara... yang kecil-kecil tu sangka saya adik dia". aku menarik nafas dalam-dalam. Patutlah mak cik tu mesra semacam, rupa-rupanya ada hati nak buat aku menantu dia. Terkejut badak aku dibuatnya. Selepas kejadian itu mak cik tu tak pernah datang lagi ke nurseryku. Terkilan pula kerana tidak mengenalinya dengan rapat lagi. Nama dia pun aku tak tahu, yang pasti semua itu amat manis buat aku.

       Menurut suamiku aku ni ada aura. Aura? soalku kebingunagan. Bila orang tua-tua tengok aku mereka akan suka kat aku. "Takkan orang tua je... orang muda?".... soalku menyakat. Entah betul entah tidak. Apa-apapun semua itu hanyalah kebetulan. Lagipun aku rasa pelik dengan sikap mak cik tu asyik menceritakan yang dia ada anak lelaki yang belum kahwin dan sedang mencari isteri untuk anaknya. Barulah aku sedar apa yang sebenarnya... jauh disudut hati terasa malu yang amat sangat. Namun gembira juga kerana dah beranak enam masih kelihatan seperti anak dara. Aduhai!...                      

Selasa, 18 Disember 2012

       Hari ini sahaja ada keluhan yang terbit dari bibirku. Seakan ada rasa terkilan. Entah mengapa susah rasanya hendak kupujuk hati yang tidak keruan. Adakah aku yang bersalah membiarkan semua itu terjadi padaku.
       Wanita didepanku itu merayu-rayu dengan suara yang sungguh sedih. Sambil itu dia menyebut-nyebut tentang kisah hidupnya, tentang suaminya yang sampai sekarang masih belum membeli pakaian dan buku sekolah anaknya. Atas semua sebab itu dia mahu membeli pokok yang paling aku sayang itu dengan separuh harga dari yang telah kutawarkan tadi. Aku terkesima ... kekadang malas nak kulayan karenah pelanggan yang pelbagai ragam. Dia terus merayu dan merayu. Dia minta aku kasihankan dia yang sedang mengandung itu. Aduh!!... sukarnya nak kupertahankan harga pokok bungaku.
       Biarpun aku sudah turunkan harganya dia masih berkeras, akhirnya aku kalah lagi, kerana dalam situasi ini seperti dia yang mengawal keadaan. Aku tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya bila aku menurut sahaja arahannya untuk menerima sejumlah wang yang diletakkan atas tapak tanganku. Sesudah itu dia mengarahkan aku memasukkan  pokok tersebut ke dalam keretanya yang berwarna putih itu. Aku melakukannya dengan sedikit terpaksa. Namun jauh disudut hati aku sebenarnya redha sajalah, ia menyedarkan aku bahawa berbagai kemungkinan bakal terjadi tanpa diduga. Aku tewas lagi kali ini. Walaupun rasa bayaran itu tidak setimpal dengan apa yang telah aku buat untuk pokok bunga kesayangnku aku mula menyedari yang hasil tanganku amat bernilai dan dihargai. Alhamdulillah.
     
~ Hari ini adalah hari penterjemahan kepada segala usahaku selama seminggu. Biarpun minggu ini tiada kejayaan yang mengiringiku namun aku puas, kerana dapat menyaksikan yang diriku sedang berada dalam garisan yang betul. Mungkin belum cukup usahaku selama ini. Entah mengapa berat badanku di minggu ini tidak menurun seperti minggu yang sudah.~
~ Bermakna aku kena susun strategi yang baru mungkin lebih agresif, kedengarannya kejam tetapi... inilah realiti yang terpaksa kutanggung.~
-  minum air 3 botol
-  no more minyak
-  no more santan
-  gandakan senaman minggu ni selama 10 minit
-  sit up 10 kali
~ InsyaAllah... minggu depan lihat hasilnya. adakah aku berjaya harungi atau tidak. Ya Allah hanya padaMu aku bermohon dan berserah diri. Hadirlah... kejayaan aku menanti dengan penuh harapan.

Jumaat, 14 Disember 2012

        Perjalanan yang panjang membuatkan aku merasakan seperti adanya kemaruk rindu pada sebuah ikatan. Bagaikan tersimpan dan termetrinya disudut hati kebimbangan dan keresahan yang mana takut pula tidak dapat kunikmati bersama insan-insan yang kusayangi.
       Sebenarnya ada satu butir mutiara yang kusayangi telah kehilangan warna asalnya.Serpihannya menyakitkan mata malah sering melukaiku. Aku cuba merawat keretakannya tetapi apa yang aku dapat hanyalah kelukaan di jariku sendiri. Ianya amat menyakitkan sekali.
       Ya Allah Kau pulihkan dirinya, berilah kesempatan untuknya berubah. Kau siramilah hatinya dengan cahayaMu. Kau rawatlah hatinya ya Allah... hanya padaMu aku berserah diri. Moga masih ada cahaya yang bakal menerangi kami. Moga sinarannya kan lebih terang dari sebelumnya.... Amin.

Aku Dan Sebuah Kehidupan: ~ Alhamdulillah.... bermula lagi rutin hidup,,,, a...

Aku Dan Sebuah Kehidupan: ~ Alhamdulillah.... bermula lagi rutin hidup,,,, a...: ~ Alhamdulillah.... bermula lagi rutin hidup,,,, aku obses sangat nak kurus.....buat sit up sebanyak 5 kali. Aduh! sakit-sakit badan. Minum ...

Khamis, 13 Disember 2012

~ Alhamdulillah.... bermula lagi rutin hidup,,,, aku obses sangat nak kurus.....buat sit up sebanyak 5 kali. Aduh! sakit-sakit badan. Minum air yang banyak minggu ni kena habiskan 2 botol dulu. Pagi-pagi buta sebelum sarapan minum air yang bercampur habbatussaudak... Harap-harap akan ada perubahan yang mendadak. Malam-malam tak makan apa-apa cuma minum jer. Ya Allah berilah kejayaan buatku. Amin... Dalam pada tu bunga kertasku laku sejak akhir-akhir ni. Syukur ya Allah atas segala rahmat dan kurniaanmu. Aku kena lipat gandakan usahaku, moga akan ada kejayaan yang menjelma. Amin.

Selasa, 11 Disember 2012

AKU ORANG KAMPUNG

 ~ ALHAMDULILLAH.... kehidupan di kampung ni memberi banyak keistimewaan buatku. Hari ni jer... sambil membantu tersayang di bukit tadi sempat aku memetik pucuk paku di bawah rumpun buluh ditepian sungai untuk digulai tengahari ni. Cabai burungnya dipetik berhampiran pohon sukun di tepi sungai. Puteraku Hang Taqin leka memetik buah langsat di bukit. Sesekali dia memanggil aku untuk menurunkan bakul biru yang dipenuhi buah. Buah manggis juga sudah ranum nampaknya dipokok. Duku langsat sudah memutih menandakan hampir masak. Belum lagi buah dokongnya dan rambutannya... semua itu adalah nikmat dari yang Maha Esa. ~

~ Alhamdulillah hari ni hari selasa... bermakana dah lebih seminggu aku jalani proses untuk menurunkan berat badan. Agak berdebar bila naik penimbang tadi. Macam tak sangka... rupanya usahaku yang kecil tu membuahkan hasil. Walaupun cuma 1kg jer dah cukup membahagiakan aku. Bermakna minggu ni dan minggu-minggu seterusnya aku kena lebih banyak buat latihan jasmani. Aku sebenarnya nak sangat berjaya menurunkan berat badan.~
~ Target aku sebenarnya mahu menurunkan 10kg. Buat masa terdekat ni... apa yang perlu diteruskan ialah minum air kosong 2 botol 1 hari, kerana sebelum ni aku cuma minum 1 botol jer sehari dan lagi banyak yang perlu digandakan. Mudah-mudahan akan ada lagi penurunan di minggu akan datang. Aduhai tak sabarnya nak tengok hasilnya. Ya Allah... berilah kejayaan padaku. Aminn..




Ahad, 9 Disember 2012

Alhamdulillah.... duniaku berseri, hari ni jer banyak peluh membasahi diri. Menyangkul di bukit untuk membuat batas lagi. Sedang asyik menyangkul itu puteraaku berlari-lari, dari seberang sungai dia menggamit aku, memberitahu ada orang nak beli bunga. Terpaksa aku menuruni 24 mata anak tangga sebelum dapat menyeberangi jambatan sungai yang sesak dengan sampah sarap itu. Bagaikan terdengar suara tangisannya. Rupanya sudah menanti seorang perempuan tua dengan anaknya. Banyak juga mereka beli, terubat juga keletihanku. Biarpun begitu wanita tua itu memanggil aku kakak. Gelihati pulak sebab kalau tengok dari rupanya memang dia jauh lebih tua dariku. Lebih tua dari emakku sendiri.
Namun ada juga pembeli yang keliru nak panggil apa aku ni. Macam-macam gelaran diberi padaku. Kebanyakannya memanggilku mak cik, yelah sesuai dengan umurku kini. Namun ada juga yang suka panggil aku opah. Anak-anak aku itu disangkanya cucu aku. Aduh! sakitnya perasaanku. Namun inilah dia kenyataan yang perlu kutelan. Dalam usia dah menganjak senja ini terpukul dengan kenyataan yang satu ni. Sebenarnya dari dulu kusedari rupaku lebih tua dari umurku yang sebenar.
Pernah ada yang suka-suka tanya aku... samada aku ni orang asli. Lagilah parah rasanya. Bila aku selidiki secara halus... memanglah aku ni tak ada kearah hendak menonjolkan diri. Bermake up.... tak pernah pun. Fobia sangat nak make up sebab ada tragedi ngeri buatku. Pakaianku lagilah.... melobos dan lusuh. Lantaklah janji aku tahu siapa diriku yang sebenarnya.
Kadang-kadang rasa macam nak mencabar diri dengan melakukan perubahan drstik, namun belum ada kekuatan. Apa yang boleh aku buat kini ialah berfikiran positif.... perbaiki diri dan perbaiki akhlak. Mungkin lambat aku nak terima perubahan. Aku selesa begini....
Ada lagi... ada juga yang menganggap aku ni orang Indon. Pekerja Indon... aduhai suka-suka jer mereka ni nak lebel aku. Mungkin betul... rupa aku tidak menggambarkan diriku yang sebenar. Mungkin aku banyak dosa maka rupa luaranku nampak macam ni. Ingat lagi antara kata-kata teman baik aku, wajah aku nampak tak berseri sebab aku banyak dosa. Satu tempelak yang hebat tu, aku kena muhasabah diri ni. Puas aku mencari kebenaran dalam kata-katanya. Sampai sekarang aku takut sangat nak berdepan dengan dunia kecantikan. aku terpinggir dari kenyataan hidup. Aku terdera sendiri, mungkin aku kena lebih bermuhasabah mencari kelemahan diri dan memperbaikinya. Semua ni aku kena telan sendiri....

Sabtu, 8 Disember 2012

KEHIDUPANKU SEORANG WANITA

~ Alhamdulillah… syukur sangat kerana masih dapat melakukan tugasanku dengan baik. Baby begonvilla itu kutatang ke bawah rumah persalinan. Baju kecilnya kubuka untuk digantikan dengan baju yang lebih besar dan baru. Ketika melalui lorong itu di kiri, kanannya atuk dan neneknya cuma memerhati. Mungkin bangga melihat anak cucunya yang sudah bercambah itu. Secepatnya baby yang sudah disalin bajunya kuhantar ke rumah lain untuk bersama abang-abang dan kakak-kakaknya. Disitu mereka direhatkan sementara aku terpaksa memantau kesihatan mereka.2 minggu lagi mereka akan diberi vitamin yang special dan minuman yang berkala.~
~ Sambil itu yang sudah besar panjang perlu diasingkan ke rumah lain iaitu rumah penantian yang lebih terang supaya senang proses fotosintisis terjadi. Disinilah kerjaku akan bertambah lagi mereka perlu diberi sokongan lain supaya tidak rebah. Mereka akan dibawa menyeberangi anak sungai dan melintasi kolam dan mendaki bukit dan kemudian barulah tiba ke rumah penantian itu. Semua ini meletihkan tetapi bagai mendapat suntikan semangat bila boganvilla ku berbunga lebat mewarnai lamanku bagai menggamit pengunjung yang lalu lalang. ~

PERJALANAN PULANG

~ Alhamdulillah.. siapa sangka dalam waktu yang terdekat ini akan ada sebuah pertemuan dengan insan-insan yang kusayangi. Seakan ada rindu yang mengunyah diri.... berdiri di bawah langit yang menghitam tetiba sahaja bagai terasa ingin terbang.....biarpun begitu sempat kugenggam rindu yang terdera. Ingin aku berlari mencipta kejayaan dalam kuatnya ribut melanda... namun saat tiba ke destinasi aku tersenyum puas berjaya juga aku menamatkan perjalananku tanpa sedikit pun bertemu kebasahan hujan. Bila kudongak langit hitam terasa ada sesuatu disitu... itulah satu keajaiban... mentari seakan-akan melemparkan senyuman menepis bisikanku..... ribut telah pun pergi membiarkan aku mencipta ilusi. ~
~ Alhamdulillah... melewati perjalanan yang jauh sungguh menyeronokkan. Pada mulanya bagaikan ada hujan yang mahu menemani sepanjang perjalanan kami tetapi sebaik kereta yang dinaiki memebelok dari batang kali ke Genting hujan seakan-akan mengalah... dari kejauhan kelihatan bagai ada hembusan di celah-celah gunung. Masih terbayang warna putih kabus yang terawang-awang di banjaran laksana seekor na
ga yang baru keluar dari pertapaan. Wah! sangat cantik dan mempesonakan. Ianya bagai hidup berlarian di banjaran semakin tinggi dan berserakan dimana-mana. Tatkala kereta kami melanggar kabus itu pandangan menjadi kabur, kami bagai tenggelam didalamnya. Apa-apapun kami selamat tiba ke destinasi dalam basah hujan yang mendamaikan. Semuanya ini adalah laluan kehidupan yang tidak pernah jemu hadir bagai berbisik di telinga yang esok masih ada... mentari masih indah masih mahu mempersembahkan cahaya sinarannya yang mempesonakan. aku bagaikan terlarut didalam ilusiku sendiri. ~.. :)


~ Alhamdulillah... berada di kampung bersama emak dan ayah adalah terapi rehat yang sangat bermakna. Disinilah aku menikmati percutian yang sebenarnya tanpa memikirkan bunga-bunga kesayanganku, batas-batas yang ditinggalkan di kebun dan sememangnya disini aku merasa bebas dari semua kesibukan. Pertemuan dengan adik-adik tersayang sudah cukup membuatkan aku rasa senang. Memasak bersama emak sambil berbual tentang apa sahaja... makan bersama di rumah adik di kuantan sambil ditemani hujan lebat di luar rumah mensantaikan diri. Namun masa terasa cepat sangat berlalu dimana... terpaksa jua melangkah pulang. ~


~ Alhamdulillah... perjalanan diteruskan lagi melewati bandaraya KL yang sentiasa sibuk dengan deruan kenderaan. Perjalanan diteruskan. Ketika itu matahari sudah nampak kekuning-kuningan diufuk barat,sebentar sahaja lagi malam akan menjelma seolah-olah sedang mengekori kenderaan kami. Lawatan ke MAHA tadi sungguh memenatkan sekali, tidak kuduga begitu ramai sekali pengunjungnya, apatah lagi kender
aan melaut. Bagai tidak percaya yang kami telah berjalan sebegitu jauh untuk sampai ke dalam. Kini aku seperti mahu cepat sampai ke rumah untuk merehatkan diri. Suasana di dalam kenderaan sunyi sepi masing-masing sudah lena kepenatan cuma... tinggal aku dan suami melayani perasaan masing-masing. Rasa seperti terkilan kerana lawatan kali ini tidak menyeluruh banyak lagi tempat yang tidak sempat dilawati. Ye lah bila si bongsu sudah mula merungut keletihan dan bila kakak-kakaknya juga merungut sama, tiada apa yang dapat kami lakukan lagi melainkan mengundurkan diri dari pameran yang sangat hebat itu.. Walau bagaimanapun aku yakin mungkin di lain masa dan ketika kami akan ke sana. Saat kereta melewati pekan Tapah aku seakan berbisik "Tapah aku datang, menyerahkan diri padamu".....

PENAT TETAPI SERONOK

 ~ Semalam yang memenatkan... pagi-pagi lagi dah berada di tepi sungai untuk mengambil buluh. Rupanya ibu mertuaku telah mendahuluiku. Kami sama-sama menebang buluh, adalah beberapa tips dari emak mertuaku. Walaupun umurnya sudah menjangkau 70 tahun tetapi kekuatannya mengalahkan aku yang bolehlah dikatakan muda ni.... hehehe. Kami sempat  bersembang dalam semak itu... .
~ Selesai menebang buluh, dipikul pula buluh itu ke belakang rumah berhampiran kolam. Alamak berat juga buluh tu... hampir rebeh bahuku, namun berkat semangat yang berkobar-kobar macam senang jer aku membawanya. Malulah pada emak yang bersahaja sahaja mengangkatnya. Buluh tersebut dikerat dengan gergaji selepas diukur panjangnya. Dibelah-belahlah pulak buluh tuu supaya menjadi lebih kecil. Sesudah itu barulah boleh dipasang kepada bunga kertas polibag. Sedang asyik itu;lah tiba-tiba ada sepasang suami isteri mahu membeli bungaku. Akhirnya siaplah proses memasang buluh. Alamak! sedar-sedar hari dah tinggi. Bergegas ke dapur untuk memasak. Nasib baik ada anak dara yang menolong. Bolehlah tarik nafas sikit.~
~ Lepas solah Asar dan makan tengahari tolong anak bujang yang menjual buah langsat dan manggis. Aku menggantikan tempatnya untuk dia balik mandi, solat dan makan. Aduhai sesudah itu aku ke rumah emak mertuaku untuk menolongnya menumbuk beras pulut. Rumahnya cuma sebelah rumahku sahaja. Esok emak nak buat dodol durian. Dalam pada tu... suamiku sedang sibuk menangkap ikan keli dikolam untuk dipindahkan. Emak menyuruh aku menolong suamiku pula. ~
~ Selesai menolong suami aku sudah kepenatan. Surrender tak larat nak buat apa-apa lagi melainkan mandi dan solat Asar. Jam dah berganjak ke pukul 6.00 ptg ketika aku santai. Tepat jam 7.00 malam dapat panggilan dari adik lelakiku di Alor Star, katanya nak singgah. Lepas solat maghrib buatlah apa-apa yang patut. Hampir pukul 11.00 malam barulah adik-adikku tiba. Mereka terus makan durian, langsat dan manggis. Selepas itu mereka terus meneruskan perjalanan ke Pahang. Entah pukul berapa agaknya mereka tiba ke rumah emak. Apa-apa pun semalam adalah hari yang padat. Best juga menerima tetamu, sebab dah lama tidak menerima kunjungan sesiapa. Macam-macam perkara dibualkan. Namun terpaksa menerima hakikat yang mereka kena meninggalkan rumahku. Apa-apa pun mereka pulang dengan perut yang penuh. ~

Jumaat, 7 Disember 2012

AKU DAN BULUH

~ Alhamdulillah hari ni jadi orang kuat. Tebang buluh dan bawa balik untuk dibuat sokongan bunga kertas. Buluh yang hari tu... dah kena rendam, harap-harap bila dah rendam nanti tak adalah bubuk lagi. Namun buluh yang baru ni nak letak pada bunga yang tak ada buluh, kesiannya tengok dahan bunga yang terkulai itu. Hmm perlulah buat sesuatu." Never give up"... usaha mesti diteruskan. Jalan penyelesaian mesti dicari. Begitulah kalau nak berjaya kan?.....
~ Alhamdulillah... senaman diteruskan lagi, kerja-kerja rumah juga jangan dilupa. Penambahan aktiviti juga kena dirancang. Semuanya menyemarakkan semangat yang ada didalam diri. Hari ni jer aku dah lalukan senaman pagi, melompat-melompat setempat selama 5 minit. Wah! teruja juga nak tahu perubahan diri ni tapi tunggu dulu.... seminggu lagi kita lihat hasilnya adakah berjaya atau kecundang. Emmm.. kalau kecundang, mengapa? kena siasat ni.... kalau berjaya seronoklah kenalah diteruskan lagi. Dalam pada tu tersayang dah janji nak bagi someting. Hai kenalah tunggu... nampaknya ramai yang tak sabar nak tengok aku membuat perubahan diri. Ya Allah hanya padaMu aku berserah diri. Kau yang Maha Pemberi, berilah daku kejayaan. Amin

Khamis, 6 Disember 2012

KEMBARA DAMAI

~ Hari ini hari permulaan bagiku memulakan senaman. Langkah pertama berjalan pantas sebanyak 3 round dari jambatan kebun hinggalah ke jambatan bukit. Wah! segar rasanya dibasahi peluh. Susulan kedua pula ialah makan tomato mentah, emmm... sedap juga rasanya. Susulan ketiga pula ialah minum air kosong sebanyak mungkin. Bangun pagi jer tadi aku terus je togok air kosong siap baca fatihah dan ayat qursi lagi. Mudah-mudahan amalanku ini akan berkesan. Dan lagi aku tidak mengambil sebarang makanan di sebelah malamnya, cuma air kosong sahaja. Ya allah.. aku serahkan diriku ini padaMu. Berilah daku kesihatan agar dapat kujalani hidupku dengan lebih bermakna lagi. Aminnn.
merumput di kebun yang sebelum ini semak





Rabu, 5 Disember 2012

~ Alhamdulillah... hidup ini mesti diteruskan, dengan berat badan yang begini banyak yg perlu aku lakukan. Makan ubat-ubatan yang melambak di pasaran.. oh Tidak! aku tak mahu ambil risiko. Apa yang boleh aku buat ialah positifkan minda.. minum air banyak-banyak, makan nasi 1 kali sehari, lepastu senaman lebih. Ada yang lebih mujarab lagi ialah doa. Yakinlah.... Allah sentiasa mendengar doa hambanya. Lagi... aku kena amalkan ayat-ayat Quran. Pasti akan membuah hasilnya nanti. Nantikanlah.Ya Allah bantulah aku dalam menangani masalahku ini. Ada lagi.. aku kena yakin bahawa makanan penyembuh iaitu habbatussauda... akan aku amalkan dalam waktu terdekat ini. Tak sabar rasanya nak lihat hasilnya...

Selasa, 4 Disember 2012

hari ini hari jadi puteri bongsuku diam tak diam dah 11 tahun umurnya. Bermakan tak lama lagi aku bakal kehilangannya... aduhai..




~Hari ini aku mengikut suamiku ke kebun... sebenarnya, dah lama aku tidak menyangkul di kebun. Apalagi peluhku gugur menitis ke bumi. Rupanya bukan senang hendak membuat batas yang lurus. Atas tunjuk  ajar suami aku dapat juga menyudahkannya. Sangat mencabar rasanya.
~ Hari ini bertungkus lumus aku membawa parang untuk menebang buluh. Apalagi kalau bukan untuk pokok-pokok bunga kertasku. Sayangnya kali ini buluh-buluh berkenaan yang telah aku belah kecil-kecil terpaksa direndam dulu. Sebelum ini semua buluh-buluh yang telah dipasang di pokok bunga berdebu. Ianya mencacatkan pandangan. Entahlah mungkin ini yang terbaik untuk permasalahan ini. Dalam pada itu aku yakin pasti ada jalan penyelesaiannya. Doaku semoga bunga-bungaku akan mekar kembali mewarnai lamanku.

Isnin, 3 Disember 2012

~ Alhamdulillah.. perjalanan hidupku diteruskan. Semalam adalah hari yang cukup istimewa kerana dapat juga aku melarikan diri dari aktiviti harianku. Berada di keramaian seperti itu merupakan sesuatu yang baru buatku, jarang betul aku dapat berada di keramaian seperti itu. Semasa aku melakukan pemeriksaan kesihatan, ketika itulah peraduan mewarnan sedang berlangsung. 2 orang puteriku terlibat sama. ~
~ Sangat mengejutkan bilamana beratku melonjak ke angka 69kg. Tekanan darahku juga agak tinggi, aku disarankan melakukan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan. Tidak boleh jadi ni, aku perlu melakukan sesuatu untuk diriku. Dalam pada itu salah seorang puteriku diumumkan sebagai pemenang pertama dalam peraduan mewarna itu. Dalam diam baru kusedar anak-anakku punya bakat dalam mewarna. Bangga juga aku sebagai ibu mereka . Apa-apa pun aku tidak boleh melupakan pada  permasalahan kesihatanku yang perlu kuutamakan. Aku mula merumuskan tindakan yang bakal kuambil untuk menanganinya. Memang agak sukar untuk mengubah tabiaat lama tetapi akan ada perubahan... aku janji pada diriku sendiri.

Ahad, 2 Disember 2012

                                                            Red Nanas
~ Dalam hati ini berbagai rasa yang susah untuk diluahkan. Hari ini ada tetamu datang berkunjung ke rumahku. Tetamu itu adalah teman baik suamiku ketika di Mekah. Seronok nampaknya mereka bersembang di beranda rumah sambil menikmati durian. Aku meminta izin dari suami untuk turut serta pada mulanya tetapi bila ditegah suami aku tidak jadi berbuat demikian. Hati kecilku menjerit untuk bertanya tentang ibunya yang pernah sebilik denganku di Mekah. Bila tetamu itu pulang aku menyuarakan hasratku yang tidak kesampaian itu kepada suamiku. Rupanya dia pun sependapat denganku , memang sepatutnya aku keluar tadi menanyakan ibunya yang sangat akrab denganku di Mekah. Dalam diam aku merasakan aku ni sombong biarpun bukan itu maksudku. Suamiku juga mentaksirkan begitu... aduh!, sombongnya aku. Tetamu itu juga ada bertanyakan aku. Untuk melupakan peristiwa itu aku menyibukkan diriku. ~ 

Jumaat, 30 November 2012

Bila dah minat...

~ Alhamdulillah apabila sudah menjadi minat... apa yang kita lakukan amat menyeronokkan biarpun ianya susah dan sukar. Apa yang penting ialah keikhlasan dalam melakukannya. ~