Khamis, 1 Ogos 2013





       Assalamualaikum, salam Raamadan dan salam Aidilfitri, dah tak sabar rasanya nak rayakan?.. tak lama lagi nak balik kampung. Hmmm... ada-ada sahaja ingatanku singgah bila mengenangkan kampung halaman. Mana lagi nak tumpah ingatan kalau tak kepada tempat kita dibesarkan kan?

       Masih kuingat lagi 20 tahun yang lalu.. waa lamanya tu, masa tu aku sedang sarat mengandungkan anak sulung. Ketika itu umur aku 24 tahun. Biasalah kan... mengandung sulung mestilah nak berpantang di rumah emak.

       Siapa sangka aku akan menyaksiikan satu pengalaman yang tidak akan dapat aku lupakan sampai kini. bila mengingatkan itu ngeri sungguh rasanya tetapi ingin aku kongsikan supaya kita semua dapat sama-sama manfaatnya.

       Selesai menonton cerita P Ramlee malam itu, tiba-tiba satu jeritan yang kuat kedengaran, aku yang baru nak melelapkan mata terganggu. Sebaik aku membuka pintu bilik, adik-adik sudah berkumpul semuanya, emak sudah pun duduk bersila mengadap adikku Ismail yang ketika itu sedang mengerang kesakitan sambil memegang tangannya sendiri. 


       Rupanya dia baru sahaja digigit kala jengking. Entah macam mana bisanya agaknya, mendengar jeritannya tadi sudah cukup menakutkan aku. "Ambil mancis", arah Mail pada emak. Bingkas emak bangun menuju ke dapur sambil membawa sekotak mancis. "pisau", arahnya lagi.. emak bergegas lagi ke dapur semula. Adik-adikku yang lain terdiam bagaikan sedang menyaksikan satu pertunjukan. Aku pula cuma tercegat di pintu bilik, memikirkan apa yang akan dibuat seterusnya. Dalam hati berdebar-debar nak dipotongnya ke... jarinya yang terkena gigitan itu., mancis itu nak buat apa pula, apa yang nak dibakarnya. Aku menjadi semakin panasaran. Adik-adik kelihatan sabar semuanya.

       "kikis mata mancis tu.. cepat!!", arah Mail lagi, terketar-ketar tangan emak mengikis belerang pada anak mancis itu. "Lagi... banyak-banyak", emak hanya menurut. Wajah Mail sudah berkerut-kerut menahan kesakitan yang amat sangat. "Letak kat sini", arahnya cemas. Terketar-ketar tangan emak meletakkan belerang itu di tempat sakit. "Nyalakan cepat!!...", arahnya cemas. "Biar betul budak ni", emak seperti enggan melakukannya.     "Cepat!!", jerit Mail. Kami yang menyaksikan tambah ngeri. Dengan penuh ketakutan emak menyalakan belerang di tangan Mail serentak dengan itu satu jeritan yang amat dahsyat kedengaran. Aku memejamkan mata, melihat api menyala sekilas di jari Mail.


       Peroses itu diulang beberapa kali dan setiap kali api di nyalakan setiap kali itulah suara jeritan Mail membelah kesunyian malam itu.

       Akhirnya suasana menjadi tenang. Dari bekas gigitan kala jengking itu keluar air bisa yang berbuih-buih. Agaknya api mancis tadi tu telah menarik bisa kala itu keluar. Hmmm... Mail sudah kelihatan tenang, apak tiba-tiba muncul bersama lampu picit ditangan. "Tulah, Mail... kau menjerit kuat sangat, kala jengking tu bukan main cepat larinya tak sempat apak nak kejar"... Patutlah dari tadi tak nampak kelibat apak rupanya diam-diam apak pergi buru kala jengking yang tiba-tiba lesap macam tu sahaja. Mail cuma tersengeh.

       Lepas kejadian itu aku pula yang fobia. Sebelum tidur malam beberapa kali aku tengok bawah katil, manalah tahu kalau-kalau ada kat situ. Rupanya adikku Mail pernah melihat perawat tradisional menjalankaan proses perubatan terhadap pesakit yang telah terkena gigitan kala jengking. Rumah perawat tu, tak jauh dari rumahku. Patutlah... dia yakin sangat semasa memberi arahan pada emak tadi... Apa-apapun malam itu Mail tidur dengan tenang, keesokannya jarinya langsung tidak membengkak seolah-olah tiada apa yang pernah terjadi. Aku menjadikan semua itu sebagai satu perkara yang sungguh bermakna dalam hidupku.

       
       Agak lama juga aku berada di rumah emak sehingga selesai berpantang, sampai aku terlupa tentang kala jengking tersebut. Hinggalah suatu hari ketika aku sedang melakukan sedikit tugas di belakang rumah tiba-tiba.... terasa kaki kananku digigit sesuatu. Bila aku tunduk melihat ke bawah.. Alangkah!! seekor kala jengking yang besar, hitam berkilat sedang meletakkan ekornya pada kakiku. Aku apalagi menghayun kakiku sekuat hati. Terpelanting makhluk hitam itu, sempat aku berlari masuk ke rumah sambil memberitahu emak yang ketika itu kebetulan ada di dapur.

       Nasib baik dia belum menyuntikkan air bisanya, aku mencari minyak untuk disapu ditempat yang hampir nak digigit itu. Emak rupanya telah pergi mendapatkan kala jengking tersebut bersama parang di tangan. Dari jauh dapat kudengar suara emak... "Ha, nak gigit anak aku yea, ambik kau, ambik kau..." entah berapa kali emak menghayun parang, aku pun tak pasti.. apa yang aku tahu kala jengking tu, naik hancur di tetaknya.



       Tidak dapat aku bayangkan seandainya aku digigit tadi...entah macam mana kuatnya jeritan aku, apabila setiap kali emak mencucuh api mancis di kakiku... agaknya mahu bergegar tanah felda ni dibuatnya. Hihihi... apa-apapun kasih emak dan apak sentiasa dapat kurasa sepanjang aku berada di sisi mereka. Terbayang di ruang mata senyum emak yang sentiasa manis dan wajah apak yang selalu mesra itu. Aduh!.. semua itu membangkitkan rinduku pada semuanya yang ada di kampung. Emak, apak, adik-adik nantikanlah kepulangan kak ngah di Aidilfitri ini ya..



~ Assalamualaikum semua... selamat berpuasa dan selamat melakukan amal ibadah di bulan yang mulia ini ~

       Entah kenapalah pulak pagi-pagi macam ni teringat pulak tentang buah durian, hmmm... sedapnya kalau dapat makan. Namun disebalik semua itu ada nostalgia indah yang ingin kukongsikan.

       Siapa sangka aku yang dilahirkan di Melaka bandaraya bersejarah ni, kan bertemu jodoh dengan orang Perak jati. Hmmm... bila musim durian tiba, ada sebatang pokok durian di belakang rumah atas bukit sana. Buahnya dahlah lemak manis , isinya kuning dan tebal tetapi bijinya sangat kecil. Bentuk buahnya pula umpama sebiji epal... cantik sungguh.

       Namun setiap kali memakannya suamiku akan memuji buah tersebut "kisit" katanya. Aku faham maksud "kisit" tersebut tetapi sengaja nak berlawan llidah dengannya, kerana seingat aku emak dan apak akan menggelar durian yang sebegitu dengan istilah yang seakan-akan sama iaitu "keset".

       Bila aku menyebut istilah "keset" tu, apalagi berderailah ketawanya sambil berkata "keset" tu.. yang pasang kat radio. Aduh!! sakit betul hati aku. Nantilah balik rumah emak nanti akan aku adukan pada emak. Namun kerana merasa diriku betul aku terus mempertahankan istilah "keset" itu. "Kalau sebut "kisit" lagi tak nak kawan.." ugut aku main-main. Dalam hati ada gelak. Ok.. ok, ok "keset.. kesetlah", balas suamiku mengalah. Indahnya kan?...

       Dek kerana musim durian kali itu menjadi kami membawa pulang ke rumah emak durian yang sedap itu. Apalagi apak yang baru sembuh dari sakitnya itu kelihatan sungguh ceria. Terus sahaja dia membelah dan memakannya.. perkataaan pertama yang keluar dari mulutnya ialah perkataan yang kutunggu-tunggu untuk membuktikan yang selama aku ni betul.


       "Waah durian Perak ni sedap sungguh, "keset".." ucap apak sambil mengunyah durian yang telah dibelahnya itu. Aku tersenyum panjang, suamiku yang ada disisi hanya tersenyum nipis. "Ha kan betul", kataku menyakinkan. Emak yang kebetulan ada di situ terpinga-pinga dan bertanya ingin tahu. Setelah aku jelaskan emak dan apak turut ketawa gelihati.. yelaa kan bukan jauh beza bunyinya pun. Tiba-tiba emak berkata "biau lee". Kan indah kalau kita berkahwin lain negeri.. banyak yang dapat kita pelajari bahasanya. Namun banyak lagi memori-memori yang indah mengenai bahasa ini. Lain kali akan kukongsikan lagi.

       Bila melihat duria-durian di jalanan teringatlah aku akan semua istilah itu, aku tersenyum sendiri sambil mencarii-cari manisnya semua pengalamanku.


Sabtu, 13 Julai 2013

Malam tadi bila terdengar sahaja alunan suara Misyari Al Rasyid, ingatanku jadi singgah pada emak di kampung. Harap-harap emak sihat sekarang ni.

2 tahun yang lalu aku menerima berita yang emak dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Cemas aku dibuatnya...
Sesampai di hospital, aku lihat emak sedikit ceria, bermulalah episod baru dalam hidupku. Ketika aku sampai di hospital hari sudah senja. Perjalanan yang panjang itu amat meletihkan sekali. Namun aku sangat gembira kerana hajat aku hedak menjaga emak di hospital kesampaian juga.

Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata kerana ada sesuatu yang menganggu perasaanku. Bukannya apa... aku teruja sangat bila mendengar alunan suara Misyari Rasyid memperdengarkan surah al Mulk. Sebenarnya aku dah lama jatuh hati dengan suaranya.
Siapa sangka di wad tersebut ada seorang mak cik, sebelah katil emak asyik memasang surah tersebut,,,, diulang-ulangnya sampai ke pagi. meremang-remang bulu romaku kerana terlalu asyik ketika menghayatinya. Secara tak langsung aku mengikuti bacaannya dalam hati sampai terlupa nak tidur.


Sepanjang malam itu juga aku asyik menemani emak ke bilik air. Tubuh emak yang lemah itu kupapah. Seronok sangat kerana dapat berbakti pada orang yang kita kasihi.

Alhamdulillah keesokan harinya... hampir kesemua pesakit di wad itu dibenarkan pulang. Gembira sangat rasanya, kerana keadaan emak dah mula pulih mungkin berkat ayat-ayat suci yang dipasang sepanjang malam. Apa-apapun pengalaman di hospital itu cukup memberi seribu pengajaran buat aku.
Alhamdulillah... malam tadi berterawih kat masjid yang telah menyimpan begitu banyak kenangan terutama sekali buat arwah bapa mertuaku. Ketika mendengar ayat-ayat suci dikumandangkan oleh budak-budak tahfiz yang menjadi imam aku jadi ingat pula kepada putera sulungku yang juga seorang tahfiz. Malah sejak form 4 lagi dia dah berjinak-jinak menjadi imam terawih di merata surau dan masjid di sekitar Perak ini.

Namun ada satu pengalaman yang tidak mungkin akan aku lupakan sampai kini. Bila mendengar dia akan menjadi imam di sebuah kawasan pendalaman hatiku melonjak-lonjak ingin menziarahinya. Lagipun ketika itu dia masih belajar dan menelefon meminta sedikit wang belanja. Kami tiba di perkarangan surau itu tepat pada masanya. Ketika kami tiba terdengar suara azan yang merdu dari teman anakku.

Paling mengharukan hampir semua jemaah surau itu adalah di kalangan orang-orang tua. Mereka semua begitu bersemangat untuk bersolat terawih. Ada yang sembahyang sambil duduk, ada yang hanya bersolat di kerusi. Ada yang sudah bongkok tiga, tetapi masih mahu meneruskan hingga 20 rakaat. Rata-rata jemaah yang muda angkat kaki selepas 8 rakaat, tetapi yang tua semuanya masih tidak berganjak. Jemaah macam tidak berkurang pun sewaktu aku minta diri untuk pulang setelah selesai 8 rakaat. yela kan nak balik jauh...


Ketika meminta diri untuk pulang itulah sempat pula seorang kakak tu, bertanya aku nak pergi rumah siapa, maklumlah tidak pernah melihat aku sebelum ini. Setelah aku terangkan tujuanku ke situ, dia memanggil aku dengan gelaran "emak ustaz", yela.. putera aku tu, walaupun masih belajar sebelah paginya, tetapi sebelah petang dia mengajar di sekolahnya. Dia melayan aku sebaiknya.. menjemput aku menikmati juadah more, aku terpaksa menolaknya kerana terpaksa meneruskan perjalanan yang jauh.

Akhirnya dia membuungkus sejumlah kuih muih yang ada berserta pulut kuning berlaukkan rendang daging. Tak habiis-habis dia memanggilku emak ustaz. Aku tersenyum gelihati sambil melihat ketangkasannya membungkus juadah tersebut. Akhirnya aku terpaksa meninggalkan surau itu dengan satu perasaan yang amat terharu sekali.


Dalam perjalanan yang boleh tahan jauhnya itu, kami pun membuka bekalan yang diberi tadi. Terkejut sangat....kerana semua kuih yang dibekalkan tadi semuanya sangat sedap. Bengkangnya, karipapnya dan aku dah lupa kuih apa lagi.. yang aku ingat suamiku tak henti-henti memuji kesedapan semua kuih tersebut. Sesampai di rumah pula kami menikmati pulut kuning beserta rendang.. ya Allah... punyalah sedap. Aku mula berfirasat sendiri, mungkin masakan orang tua sangat sedap kerana mereka sangat berpengalaman. Masih terbayang di mindaku beriya-iyanya kakak itu menjemput aku supaya datang lagi minggu depan kerana akan diadakan more lagi. Aku cuma tersenyum rasanya sangat seronok dipanggil "emak ustaz", hatiku berbunga-bunga sampai kini.
       Saat aku membuka peti sejuk tadi, terlihat buah peria di situ, tiba-tiba sahaja kenangan lalu menerjahku. Entahlah sejak akhir-akhir ini aku menjadi terlalu ingat dengan kenangan silam. Mungkin juga kerana semua kenangan itu terlalu mahal buat aku. 

       Perjalanan yang jauh itu membuatkan perutku lapar, yelah kan, sepanjang perjalanan itu tiada apa yang kami makan melainkan mengunyah pemandangan di luar jendela. Pohon-pohon di tepi jalan seakan-akan turut berlari sama. Segala percaturan dari Tuhan aku terima dalam kepasrahan. Terbayang lagi kesedihan yang emak dan ahli keluargaku tunjukkan saat aku mahu meninggalkan rumah tadi. Hmmm... melihat airmata emak menitis tadi, aku bagai hanyut dalam kepiluan. Sempat emak berbisik sesuatu padaku dan kata-kata keramat itulah yang menghebatkan lagi kepiluanku yang sejak tadi telah mula menguasaiku. Sepanjang perjalanan tiada sepatah kata pun yang terbit dari mulutku melainkan suara esak tangisku yang perlahan. Tiada sesiapa pun di dalam kereta itu yang cuba untuk bersuara, melainkan membiarkan sahaja aku berilusi dengan emosiku.


Alhamdulillah, akhirnya kami singgah di sebuah kedai makan di Tanjung Malim. Tempat itu terlalu asing buat aku. Semasa menjamu selera di tengahari itu, tiada banyak yang kami bualkan. Apa yang kami makan ketika itu siap dihidang seolah-olah meraikan aku yang baru pertama kali berkunjung ke situ. Antara lauk yang dipilih ialah gulai peria bersama udang besar masak cili padi. Wah! sungguh menyelerakan sekali. Namun aku mula musykil bila suami aku langsung tidak menyentuh gulai peria itu. Padahal tadi dia yang beriya-iya mengatakan "Sedap, sedap", semasa aku memilihnya. Namun aku tidak jadi bertanya biarlah, mungkin dia ada sebab untuk semua itu.

Terlalu kekok rasanya makan bersama lelaki yang baru beberapa hari menjadi suamiku. Apatah lagi antara kami belum pernah kenal dan belum pernah bersua muka sebelum berkahwin. Malah masa bertunang pun kami belum saling kenal meliankan sekeping gambar yang diberinya. Ketika makan itulah aku mencuri-curi pandang ke wajah suamiku. Hmmm... agak kacak juga orangnya, nampak kebaikan yang ada pada dirinya dan yang penting dia sangat berbudi bahasa dengan kedua orang tuaku. Tiba-tiba aku tersipu bila tiba-tiba si dia menyedari yang aku merenungnya dan seulas senyuman dilemparkan padaku. 

Inilah percaturan Allah buat aku, siapa sangka yang aku akan berkahwin dengan orang yang langsung tidak kukenali. Siapa sangka sebentar sahaja lagi aku akan menjadi sebahagian hidup suamiku, sebentar sahaja lagi aku akan sampai ke perkarangan rumah suamiku. Paling tragis sekali ialah tiada seorang pun ahli keluargaku yang turut sama menghantar aku ke rumah pengantin lelaki. Suara sedih emak tadi bermain-main dibenakku, emak minta maaf sebab tidak dapat menghantar aku, mungkin di majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki pun emak tidak dapat menghadirkan diri. Itulah, yang telah emak bisikkan padaku tadi. Aku melepaskan keluhan, terlalu besarnya dugaan Allah kurasa. Mungkin emak ada agenda lain yang tidak dapat dielakkan... tiba-tiba aku merasa jauh hati.



Selasa, 30 April 2013

       Alhamdulillah... hari ini ada temujanji dengan doktor di Poliklinik Jalan Damai. Yelah dah 12 tahun aku tidak mengandung. Kali ini rasa teruja sekali nak mendengar segala kata-kata doktor tentang kandunganku. Selepas diambil darah, ditimbang, keadaanku nampaknya baik-baik sahaja, tidak ada perkara yang luar biasa. Setelah itu aku berjumpa doktor, aku dengar semua butir bicara doktor dengan penuh teliti. Mudah-mudahan kandunganku kali ini tiada bermasalah. Ya Allah... Kau berilah daku kekkuatan untuk mengharungi semua cabaran ini. Dalam keterujaan masih berbaur rasa bimbang yang terkadang cuba menghasutku dengan jahat sekali. Namun aku yakin Allah sentiasa bersamaku. Malaikat sentiasa mendoakan aku dari setiap penjuru. Ya Allah... berikan daku kelapangan hati.
       Ketika doktor memberitahu tentang scan itu, aku rasa teruja sangat. Dalam lewat usia begini aku terbayang di dalam rahimku sedang ada janin. Ya Allah gembiranya aku, dah lama sangat kunantikan detik ini. Semua ini rezeki dari Allah. Aku pasrah ya Allah. Besar sungguh anugerahMu ya Allah.

Khamis, 7 Mac 2013

Birunya warna bulan purnama

       Setelah seharian aku dikurung, dengan pelbagai peristiwa yang aku alami... akhirnya aku dibebaskan. Ketika di dalam tahanan itu pelbagai dugaan terpaksa kutempuhi sendirian. Namun berkat kesabaranku dapat kujalaninya dengan cukup tenang sekali. Rasanya tidak payahlah kuceritakan semuanya kerana ianya sungguh dahsyat.

       Aku menanti-nanti saat untuk dibebaskan. Sebaik pintu dibuka aku pun menapak keluar. Di luar buah hatiku sudah sedia menunggu dengan seulas senyuman yang sungguh mempesonakan. Kami bergandingan berjalan melewati tepi pantai yang sungguh indah ketika itu yang masih awal, waktu subuh pun masih belum masuk lagi.

       Kami menikmati satu panorama alam yang sangat indah. Cahaya bulan yang kebiruan nampak jelas dimataku, membirukan warna langit dan air laut yang terbentang dimataku. Beberapa anak kecil sedang mandi manda di bawah sinaran bulan yang biru. Jerit pekik mereka tambah menceriakan pagi yang dingin dan segar itu. Aku memeluk tangan suamiku disisi. Satu ciuman nakal singgah dipipiku. aku menepis.
       "Nanti orang nampak!", bingkasku.
       "Mana ada orang, cuba tengok!", ujarnya sambil tidak henti-henti tersenyum. Aku rasa romantik sangat. Bila aku memandang sekeliling memang tiada sesiapapun di situ, yang ada suara ombak dan jeritan anak-anak kecil yang sedang mandi. Hanya suara yang kedengaran tetapi tiada sesiapapun.

       Cahaya bulan yang tadinya kebiruan beransur-ansur menjadi warna putih pula. Aku terpesona. Aku memejamkan mataku, terasa nyaman dan segar, dibelai udara pagi yang masih suci.

       Apabila aku membuka mata ada satu cahaya terik yang menyakitkan mataku. Aku terpinga, di depanku ada wajah suamiku. Lampu kalimantang di bilk tidurku menyakitkan mata. Suamiku memandangku aneh. Baru aku teringat hari ni hari Jumaat yang mana pagi ini suamiku bertugas di masjid sebagai bilal. Dia agak tergesa-gesa sambil membetulkan butang jubahnya kemudian mencapai kopiah dan hilang terus di balik pintu bilikku. aku terus tersenyum sambil anak mataku menyorotinya.

       Aku menyapu muka. Ya Allah!.. aku bermimpi rupanya. Ya Allah!... rupanya dalam setiap kepayahan itu ada kemanisan yang menunggu di penghujungnya. Masih terbayang kemesraan yang kucipta tadi walaupun cuma di dalam mimpi. Ohhhh.... indahnya.

     

Rabu, 6 Mac 2013

       Alhamdulillah.. akhirnya apa yang kuduga terjadi juga. Doktor telah mengesahkan kehamilanku. Kali ini aku benar-benar gembira, dalam pada itu rasa gementar juga kerana sudah 12 tahun aku tidak laluinya, bermakna cabaran telahpun bermula dalam hidupku.... aku dijangka bersalin pada 26hb 10. 2013 nanti. Apa-apapun aku kenalah menjaga diriku sebaiknya. Ya Allah! bantulah aku... amin.

Selasa, 26 Februari 2013

       Entahlah, bulan ni rasa macam pelik pula, yelah kan rasa mual-mual dan loya. Jangan... jangan... geli pula hati ni bila memikirkan semua itu. Manalah tahu kalau semua sangkaanku tepat. Apa-apapun aku bersyukur kalau itu yang terjadi. Masih aku ingat lagi sekembali aku dari menunaikan ibadah haji 6 tahun yang lalu, aku teringin sangat hendak anak Mekah. Siang malam berdoa di depan kaabah tetapi masih belum ada rezeki. Tahun lepas pun aku mengandung sekejap tetapi dek kerana lasak sangat pegang cankul, angkat pasu, pindah bunga dan pelbagai aktiviti lasak akhirnya aku keguguran. Sedih sangat tetapi tiada siapa yang tahu hanya aku dan suami jer.. yang tahu.
       Kali ni, aku jaga diriku betul-betul. Hmmm.. itupun kalau betul. Aku ada bercadang nak pergi buat pemeriksaan dengan doktor peribadi. Ewah... kononnya, tetapi suamiku menegah menurutnya biar sampai sebulan dulu, masuk hari ni dah 10 hari aku lewat period. Kepala dah pusing-pusing, tekak dah mual-mual, tetapi tak tentu juga kerana ada juga beberapa kali periodku lambat tapi 2 hingga 3 hari jer. Apa-apapun aku redha dengan ketentuanNya. Akan bergembiralah puteri-puteriku yang kemaruk nak adik tu.
       Mungkin semua terjadi kerana doaku pada suatu hari ketika hari pertama si kecil datang mengaji denganku. Menatap wajahnya sahaja dah membuatkan aku kepingin mengandung lagi. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Hai berdebar pula nak pergi periksa... entah-entah cuma perasaanku sahaja padahal tiada apa-apa, oleh itu aku tidak boleh berharap sangat. Hanya sekadar berharap....
       Bimbang juga nanti ada yang salah sangka. kalau betul aku ada baby, berkemungkinan ada yang menganggap babyku nanti cucu aku. Aduhai, sedang selama ini pelbagai gelaran disuakan padaku. Lantaklah... janji hati aku ni bahagia. Oh Tuhan kuserahkan diriku padaMu... ohhh!

Sabtu, 16 Februari 2013

MEMBUNUH KEMESRAAN



Saat aku berdiri di depanmu
dapat kudengari bicara jiwamu
menerobosi mindaku
kau mendakap sesiapa sahaja di ribamu
penuh lembut dan manja
kau membiarkan dirimu dipermainkan
kau senang melayani setiap tetamumu
yang sudi menikmati layananmu
kau tertawa saat dibuai ketenangan
kau senyum tika kau dibelai
kau biar dirimu dimesrai penuh sopan.

Aku termenung...
seakan terdengar jeritan
kala kau menghempas diri
membunuh kemesraan
kau merintih dan merayu
tanpa ada sesiapa mendengarkan.
namun sampai satu masa
kau memuntahkan kemarahan
menendang segala ranting dan dahan
yang tajam mencucuk dirimu
mencederakan alammu
menghilangkan kesucianmu.Aku termenung...
seakan terdengar jeritan
kala kau menghempas diri
membunuh kemesraan
kau merintih dan merayu
tanpa ada sesiapa mendengarkan.

Kau tercedera dalam kerakusan
insan yang sering melontar sisanya
kau meraung hebat
membunuh jiwa yang sentiasa alpa
tersepit dicelah keganasanmu
merentap kemesraan
kau seakan lupa pada nyanyian asalmu
saat salam terakhir berkubur
di pusara yang melemaskan satu nafas
dalam tangisanmu sendiri.

siti zaiton ahmad
lata iskandar bt 14

Sabtu, 9 Februari 2013


                       
             DISEBALIK MIMPI


      Suasana hening sekali hanya kedengaran derap kaki si Domok kucing kesayanganku yang mundar mandir di luar bilik. Suara air di kolam dan kocakan ikan yang bermain percikan air di pancuran sangat jelas kedengaran di cupingku. Ah!, aku membuka mata hanya cahaya lampu tidur samar-samar menemaniku sedang suamiku sedang lena dibuai mimpi. Aku bangun dan duduk lalu bersandar di kepala katil. Berbagai perasaan datang menghambat membuatkan aku tercungap-cungap. Dapat kudengar degup jantungku dengan jelas sekali.Aku beristighfar sendiri, mahu sahaja kukejut suamiku dari lenanya tetapi terpaksa kubatalkan niat tersebut, memandangkan betapa nyenyaknya dia dan terkenang betapa penatnya dia siang tadi di kebun.

       Aku mencapi handset yang ada di kepala katil. Aku tatap angka jam di situ dan satu keluhan terbit dari bibirku sambil memeluk handset itu ke dadaku. Bunyi detik jam di dinding juga semacam menemaniku di lewat malam begini. Ya Allah, mimpi apa aku tadi?. Sangat menakutkan sekali terasa seperti dalam kenyataan. Sambil itu aku beristighfar lagi dan lagi. Aku menarik nafas dalam-dalam. Baru sebentar tadi telefon berdering, aku bergegas mendapatkannya. Suara garau adik lelakiku Ismail kedengaran sedih di hujung talian. Aku seperti tidak percaya.

       Sesampai sahaja di rumah emak, aku meluru ke muka pintu tetapi hampa kerana pintu depan tertutup rapat. Aku berlari ke belakang, begitu juga. Semua pintu rumah emak terkunci rapat. Aku kecewa tetapi tidak berputus asa. Sambil mengelilingi rumah emak aku menangis. "Emak!... emak!", namun tiada langsung kelibat emak dan tanda-tanda emak ada di rumah. Jiran-jiran juga tidak kelihatan. Hari itu seperti hari yang paling sunyi dalam hidupku. Aku berlari ke pintu bilik air, mungkin tidak berkunci siapa tahu. Di depan pintu bilik air itu aku memanggil emak dengan sayu sekali. "Emak bukalah pintu ni, ni.. kak ngah balik nak tengok emak.". Aku menangis di situ, sudah tidak tertahan rasanya kepiluan yang kutanggung. Dinding pintu yang diperbuat dari zink itu kuketuk berulang kali.

       Tiba-tiba... tanpa di duga pintu bilik air terbuka luas. Wajah emak terjongol di situ. Senyum emak masih macam selalu, manis dan mesra. Aku kelegaan tetapi, kenapa wajah emak sangat pucat seperti .... oh tidak!! "pucatnya muka emak"Akhirnya aku bersuara juga. Airmata ku kesat, tangan emak kucium "sejuknya", bisik hati kecilku. Pipi emak kucium lembut. Emak masih tersenyum sambil mempelawa aku masuk melalui pintu bilik air.
       "Kenapa lambat?, dah tak dapat nak ambil gambar". tiba-tiba emak bersuara agak pelik. Aku kebingungan. Sebenarnya sebelum aku sampai ke rumah emak tadi aku telah pun mendapat panggilan telefon dari adikku Ismail. Dalam telefon dia memberitahu yang emak sudah meninggal, tetapi yang berdiri di depanku ini siapa?. Emak tersenyum padaku, wajah emak nampak sedikit  pelik. Dia melirik aku tajam. Di dalam rumah emak suasana sepi sungguh, tiada kelihatan sesiapa pun hanya aku dan emak.

       Tanpa di sangka tiba-tiba emak rebah, nasib baik aku sempat menyambut badan emak lalu mendukungnya ke dalam rumah. Aku baringkan emak, kepala emak berada di pangkuanku. Emak sudah mula kelihataan sesak nafas, aku terkesima kerana baru sahaja tadi emak kelihatan sihat bugar tiba-tiba sahaja emak boleh rebah. Aku mengurut-ngurut dada emak. "mengucap mak!.. mengucap', emak kelihatan susah untuk bernafas. Kurenung wajah emak dengan penuh kesayuan. Adakah sudah sampai masanya emak hendak pergi meninggalkan aku. Dalam penuh kesedihan itu emak akhirnya mengucap dengan sebegitu lancar sekali padahal kalau dilihat keadaan emak ketika itu cukup sukar untuk dibayangkan tetapi aku gembira bila sebentar tadi emak boleh mengucap selancar itu. Ya Allah syukurlah emak meninggal dengan mudah di depan mataku di ribaku.

       Tentu nanti kak long akan cemburu, yelah selama ini dia merupakan anak kesayangan emak. Apa-apa mesti emak akan lebihkan dia. Ketika kami kecil dulupun ketika nak tempah baju, emak akan tanya kakak dulu mana pilihan dia, emak akan utamakan pilihan kak long terlebih dahulu. Mana sahaja pilihan kak long aku kena terima, selebihnya yang kak long tidak suka akan jadi milikku secara total. Namun aku tidak pernah merungut. Begitu emak mendidik aku supaya sentiasa beralah dengan kak long. Namun hari ni pasti kak long akan cemburu sangat kerana emak meninggal atas ribaku. Dalam kesedihan yang menguasai diri aku terdengar suara orang lelaki sedang membaca ayat suci al Quran. Suaranya sangat lunak di cupingku. Aku hayati bait-bait bacaannya, sungguh merdu dan menepati segala bacaannya. Aku rasa terpukau, makin lama makin kuat dan makin ramai yang mengaji. Ayat yang dibaca ketika itu cuma surah Al Ikhlas. Makin lama makin ramai suara yang megikutinya.

       Aku menoleh melihat ke ruang tamu, namun tidak kelihatan seorang lelaki pun kecuali kelibat para wanita yang sedang sibuk menyiapkan alat-alat untuk mengapan. Aku rasa terkejut sangat, entah dari mana datangnya para wanita yang sudah pun memenuhi ruang rumah emak. Sedangkan tadi suasananya cukup hening. Aku terkesima lagi, aku kebingungan. Ada seseorang menghulurkan bantal untuk aku letakkan kepala emak. Aku menurut, dengan penuh kasih sayang aku mengangkat kepala emak untuk diletakkan di atas bantal. Sementara itu suara orang lelaki mengaji masih lagi menjadi latar belakang suasana. Aku bertafakur menatap wajah emak sambil menghayati surah Al ikhlas yang sungguh menusuk kalbu itu.

       Tiba-tiba bahuku dicuit. Aku mendongak dan terlihat seraut wajah yang amat kukenali....Aku membuka mata. Ya Allah rupanya aku bermimpi lagi, aku menggosok mataku beberapa kali, terlihat wajah suamiku yang segak berpakaian baju melayu dan berkain pelekat. Dia sedang berdiri di depan cermin sambil menyisir rambutnya dan kemudian membetulkan kopiah putih di atas kepalanya. Aku termenung jauh, masih terlarut di dalam mimpiku sebentar tadi, masih terdengar suara bacaan ayat suci yang sangat indah. Aku masih terpinga merenung seraut wajah di depanku.

     "Bangun yang..., anak-anak nak sekolah, kejutkan anak-anak, mandi, solat dan buat sarapan.". Aku masih terdiam hanya memerhati suamiku yang tergesa-gesa hendak ke surau. Selepas itu kelibatnya hilang dari balik pintu bilikku dan tidak lama selepas itu  disertai bunyi enjin kereta kancilnya. Aku beristighfar terus sambil lambat-lambat bangun menuju ke bilik anak-anakku.
     
       Ketika anak-anakku bersarapan aku pun menceritakan tentang mimpiku yang sungguh mendebarkan itu.
       "Kata kawan Kima, kalau kita mimpi orang mati... kita panjang umur". Sampuk Aqlima menceriakan suasana pagi itu.
       "Bukanlah...", sampuk Zulaiqa.
       "Bukan orang yang mimpi panjang umurlah, orang yang kita mimpi tu, yang panjang umur", bidasnya membuatkan Aqlima tersipu.Aku cuma tersenyum pahit menelan resahku sendiri.Selesai bersarapan aku menghantar anak-anakku ke laman rumah kerana sebentar lagi kereta jiranku Kak Pah akan berhenti untuk mengambil anak-anakku ke sekolah.

      Dari balam-balam waktu pagi yang masih muda terlihat ibu mertuaku sedang menyiram pokok-pokok bunganya di sudut halaman. Kami cuma berbalas senyum, mahu sahaja aku luahkan semua mimpiku tetapi tugasan rumah yang masih banyak menghalangku. Aku terfikir-fikir untuk mencari masa terluang agar dapat kuluahkan semua mimipiku. Sekurang-kurangnya dapatlah aku berkongsi cerita dengan ibu mertuaku. Selama ini pun pada ibu mertuakulah yang banyak mendengar cerita-ceritaku, orang yang kupanggil emak itu sudah menjadi pendengar setiaku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, banyak lagi kerja-kerja rumah yang terbengkalai.

     Setiap apa yang aku lakukan aku bagai ternampak-nampak wajah pucat emak. Aku bagaikan masih berada di dalam mimpi. Sungguh susah untuk aku mengusir semua mimpi itu. Aku menyiram bunga di laman, di kebun dan berlari ke bukit menyiram pula sayur-sayuran yang ada. Semua kesibukan itu melupakan aku sebentar pada mimpiku. Selesai semuanya kerja-kerja seharianku aku kepenatan. Peluang yang ada itu, aku gunakan mengheret kakiku ke rumah ibu mertuaku. Ketika aku masuk ke dalam rumah ibu mertuaku dia sedang santai-santai di depan tv. Rasanya inilah peluang aku yang paling sesuai. Aku duduk dengan sopan di depan ibu mertuaku yang sedang asyik menonton tv.

       Banyak benda yang kami bualkan hinggalah pada saat-saat yang ditunggu. Dengan lancar sekali aku menuturkan tentang mimpiku itu. Seperti yang kuduga emak mertuaku yang kupanggil emak itu begitu kusyuk mendengar ceritaku. Tanpa sedar ada airmata yang bergenang di kelopak mataku.Tanpa kuduga airmata ibu mertuaku juga bergenang.

       "Alah, Ton, kalau dah nak ajal, mimpi ke tak mimpi ke meninggal juga". Dia cuba menghiburkan aku. Aku termenung jauh mencari ayat yang paling sesuai untuk aku luahkan. Sebenarnya bukanlah aku takut kehilangan emakku kerana aku yakin setiap insan pasti akan pergi juga, tetapi aku sekadar ingin berkongsi rasa.
       
       Ibu mertuaku pun menceritakan pula detik-detik kematian seorang wanita di depan matanya tatkala dia pergi ke pekan Khamis beberapa hari yang lalu. Sangat mengerikan, mendengarnya pun sudah cukup ngeri untuk aku membayangkannya, belum lagi menyaksikannya. Wanita itu berdiri di tepi jalan sementara ada kenderaan sedang berhenti kerana lampu isyarat merah sedang menyala. Wanita itu pun melintas jalan namun tiba-tiba sahaja lampu isyarat bertukar hijau, pemandu lori itu tidak menyedari yang wanita itu sedang menyeberangi jalan kerana lori itu tinggi. Dia tidak nampak akan wanita itu. Apa lagilah wanita itu terperonyok di bawah lori dengan raganya sekali. Bertaburanlah segala macam barangan yang baru dibelinya itu. Wanita itu meninggal di tempat kejadian. Aku beristighfar beberapa kali. Dapat aku bayangkan betapa ngerinya.
       "Tengok tu, tak ada mimpi-mimpi pun mati juga. Lagilah..." Aku terkedu, bagaikan mendapat satu suntikan. Seolah-olah semua penceritaan emak mertuaku itu dapat melenyapkan kegusaranku. Aku bagaikan dapat melupakan sedikit mimpi itu secara beransur-ansur.

        Selesai memasak tengahari itu telefon di ruang tamuku berdering. Mataku terbeliak bunyinya seperti di dalam mimpiku sahaja. Cepat aku melangkah ke meja telefon dan mengangkatnya.
      "Assalamualaikum,ini aku Mail". Aku tersentak. Ada apa agaknya adikku menelefon kalau tidak ada perkara penting tak mungkin dia menelefonku di waktu tengahari begini.
       "Kak ngah, emak dan apak masuk hospital semalam". Aku bagai terkena renjatan. Mulut aku ternganga. Baru sahaja aku hendak lupakan kisah mimpi malam tadi aku sudah dikejutkan dengan berita ini lagi-lagilah aku terkejut.
       "Kenapa?", akhirnya aku bertanya.
       "Apak kena strok, emak pula cirit birit dan muntah-muntah". Aku mengurut dada. Selepas telefon kuletak aku terduduk di lantai. Pelbagai kemungkinan bermain di mindaku. Perlahan-lahan mimpiku datang menguasaiku. Pantas aku mendail nombor telefon suamiku. Agak lambat diangkat. Aku akur dalam waktu sebegini tentu dia dalam kesibukan melayan pelanggannya.
      Seperti yang kuduga, di dalam talian, dapat kutangkap bunyi riuh rendah suara pembeli yang menanyakan itu dan ini. Rasa bersalah pula.
       "Abang sibuk ke?, tak apalah balik nantilah kita cakap". aku meletakkan ganggang dengan penuh debaran.

       Hampir jam 2:00 petang suamiku pulang. Kasihan pula aku melihat kesibukannya. Mana hendak menyimpan udang lagi,ikan-ikan dan sayur-sayuran ke dalam peti sejuk. Aku tidak jadi menceritakan apa-apa melainkan mendiamkan diri.

      Selesai makan petang itu,baru aku memulakan bicara. Seperti biasa suamiku sukar untuk membuat keputusan. Untuk pulang agak mustahil katanya, di dalam peti sejuk penuh dengan barang mentah yang tidak habis di jual. Kalau tidak dijual dengan cepat nanti barangan itu akan rosak. Lagi pun Aqlima dan Zulaiqha bersekolah pada petang itu. Aku terdiam mendengar semua alasan yang aku sudah makluminya sebelum ini. Lagipun esok hari sabtu, lusa hari ahad dah tentu ramai pelanggan. Duit yuran anak-anak masih banyak yang tertunggak. Bayangkan 4 orang anak aku masih di asrama menuntut wang yang banyak saban bulan. Aku terdiam terus. Segalanya kuserahkan pada Allah untuk menentukannya. Aku kesedihan dan berperang dengan perasaanku sendiri.

     "Janganlah bimbang, adik-adik awak kan ramai, tentu ada yang menjaga emak dan apak tu". Aku cuma mengangguk lemah. Kalau ikutkan hati ini mahu sahaja aku terbang pulang sekarang juga. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama, suamiku ke bukit pula berkebun. Aku tenggelam dalam dilema. Aku berdoa agar kedua ibu bapaku selamat. Ya Allah aku serahkan semuanya padaMu. Dalam kesedihan itulah telefon berdering lagi. Aku terkejut dari lamunanku. Cepat sahaja aku mencapai ganggang. Di hujung talian terdengar suara adikku Ismail memberitahu keadaan ayahku makin tenat. "Apak dah tak boleh jalan, tak boleh bercakap". Semua kenyataan itu sangat memedihkan hati kerana aku tidak dapat menjenguk mereka.

       Dengan penuh pasrah aku menefon telefon bimbit suamiku yang ketika itu berada di bukit. Bergegas dia pulang. Aku sudah mula menangis. Tak tahu apa yang hendak aku suarakan lagi. Suamiku merenung ke wajahku dan sepatah kata terloncat dari bibirnya. "jom kemas kain baju kita balik Pahang". Tangisanku terhenti, rasa terharu sangat. Aku apa lagi terus bersiap, tetapi terpaksa menanti waktu persekolahan anak-anakku tamat kerana mereka masih di sekolah agama. Aku ke rumah ibu mertuaku untuk memaklumkan hal yang sebenar, sedang suamiku asyik menelefon para pelanggannya untuk memberitahu percutian yang mengejut itu.

      Sepanjang perjalan pulang ke Pahang tidak banyak yang kami bualkan. Aku termenung jauh, terbayang wajah emak dan apak. Teringat segala kebaikan mereka. Teringat mimpi yang bertamu dan semua itu bagaikan bersambung dengan alam nyata. Aku menekan perut tiba-tiba, terasa mahu buang air besar. Masuk kali ini sudah 3 kali aku tercirit. Kasihan suamiku yang terpaksa memberhentikan kenderaannya tiba-tiba bila perutku asyik buat hal. Perjalanan kami jadi lambat. Berkali-kali aku meminta maaf tetapi ditenangkan oleh suamiku.

      Mungkin perasaanku yang tertekan menyebabkan aku tercirit-cirit. Suamiku cukup simpati denganku  dengan sabarnya dia melayan kerenahku. Sampai di hospital Temerloh, hari sudah larut malam, mustahil kami boleh masuk melawat. Aku cuma merenung bangunan hospital itu dari jauh. Kami terus menuju ke rumah emak di tanah rancangan felda.. Di rumah emak adik-adik dan kakakku sudah ada di sana. Masing-masing sudah lena dibuai mimpi. Kebetulan kami sudah makan di bandar Temerloh tadi jadi, sesusai solat kami semua masuk tidur. Esok pagi-pagi kami akan melawat emak dan apak. Di tengah malam aku masih berulang ke tandas. Subhanallah... ciritku masih belum hilang. Agaknya semua makanan dan cairan badanku sudah habis terbuang. Aku sudah lemah jadinya. Namun perasaanku lega bila sudah sampai di rumah emak  lantaran dapat berkumpul adik beradik.

     Awal pagi lagi aku sudah masakkan kanji untuk dibawa ke hospital nanti. Sebelum itu aku bergegas ke bandar Maran mencari penganan sarapan pagi. Jumpa pula teman lama yang mengusahakan restoran roti canai. Alhamdulillah dapat juga aku dan suami membawa balik ke rumah roti canai teman baikku itu. Tiba di rumah kami makan beramai-ramai. Sedih pula kerana selalunya kami makan bersama emak dan apak tetapi pagi ini kami cuma makan bersama adik beradik. Pilu pula rasanya. Keadaanku masih lagi tidak berubah masih cirit birit. Beberapa kali aku berlari ke tandas.

       Tiba di perkarangan hospital pagi itu, sudah sesak dengan para pelawat yang masing-masing mahu melawat pesakit. Aku tiba ke katil emak bersama adik-adikku yang lainnya. Kakakku sudah pun pulang ke Kelantan setelah melawat emak awal pagi tadi. Aku menghampiri katil emak, doktor sedang memeriksa emak. Kami memerhati dari jauh untuk memberi ruang kepada doktor.Selesai sesi pemeriksaan perlahan-lahan aku hampiri emak. Wajah emak nampak pucat sekali macam... "Mak, pucatnya", perkataan pertama yang terhambur dari mulutku. Tiba-tiba aku sedari yang dialogku tadi persis mimpiku. Aku terkesima sambil menyalami tangan emak yang agak sejuk dan mencium pipi emak yang pucat itu. Emak cuma tersenyum lemah sambil bersalaman dengan semua anak cucunya yang hadir.

       Lama juga aku bersembang-sembang dengan eamk sambil anak mataku melilau mencari pintu tandas. Rupanya emak perasan dengan sikap pelik aku dan bertanya kenapa aku sedemikian. Aku berlari ke tandas. Belum pun sempat apa-apa di dalam tandas yang tidak sebesar mana itu aku tercirit lagi. Sangat dahsyat rasanya, paling teruk bila melihat najisku berserakan di merata lantai tandas. Aku tersenyum sendiri bila tiba-tiba teringatkan kisah seorang ustaz yang menceritakan tentang budaya orang Arab yang berak sambil melompat. Sambil membersihkan segala kotoran itu aku tersenyum-senyum entah kenapa segala ingatan itu membawa kelucuan buatku. Tidak dapat kubayangkan bagaimana orang-orang Arab melompat-lompat sambil membuang air besar kerana menurut ustaz itu lagi di dinding tandas terdapat merata-rata najis manusia.

       Aku mengadap wajah emak dengan setenang mungkin. syukurlah petang itu emak sudah boleh keluar hospital, tetapi petang itu juga aku kena bergegas pulang ke Perak kerana suamiku akan berniaga keesokannya. Aku terpaksa akur walaupun terasa berat hati. Harap-harap emak akan memahamiku. Aku kelegaan bila doktor memberitahu keadaan emakku yang stabil. Syukurlah... debaranku berakhir juga, namun keadaanku pula masih belum stabil. Emak menyarankan aku membuat pemeriksaan dengan doktor di situ. Aku menggeleng takut juga elok-elok emak dapat keluar wad aku pula yang kena tahan. Oh! tidak!!

      Selesai melawat emak kami melawat apak pula. Ketika kami sampai ke katil apak, apak sedang lena. Pada mulanya kami tidak mahu mengejutkannya, tetapi teman sebelah katilnya yang mengejutkan apak. Apak tersenyum seperti biasa. Wajah apak nampak ceria bila melihat kedatangan kami. Menurut doktor ada darah beku dalam kepala apak dan doktor sedang merawat apak denagan memberi ubat mencairkan darah beku tersebut. Aku kelegaan sangat bila mendapat tahu yang apak juga boleh keluar pada hari itu bersama dengan emak. Dalam diam-diam aku mula menyedari yang emak dan apak sehati dan sejiwa kerana sama-sama masuk wad dan sama-sama boleh keluar. Syukurlah. Sepanjang berbual dengan apak yang kelihatan sebegitu payah bertutur itu mataku masih mencari-cari tandas. Aduh! sudah tidak larat aku menanggungnya. Entah bilalah aku akan bebas dari ciritku ini.

       Sepanjang perjalanan pulang aku keletihan. Aku cuma mendiamkan diri sambil memandang dua puteriku yang nyenyak di belakang. Suamiku juga terdiam mungkin kepenatan dari semalam memandu kemudian hari ini terpaksa menyambung pemanduan lagi. Aku mencari ruang untuk beristirehat sebaik mungkin. Alhamdulillah... kerana perutku tidak meragam lagi. Aku cuba melelapkan mata namun wajah pucat emak dan wajah apak tadi masih silih berganti dibenakku. Syukurlah kerana aku punya ramai adik beradik. Merekalah yang banyak meluangkan masa bersama emak dan apak. Ketika aku pulang tadi masih ramai lagi adik-adikku yang belum pulang. Maklumlah esok hari minggu, mereka masih bercuti.      

       Aku terasa seperti berada di dalam kelas 5 Sains. Di hadapan kelas sedang berlangsung permainan "Language Games" Dalam permainan tersebut tidak boleh berkata "yes" dan "no". Sesiapa yang berkata yes dan no secara automatik gagal dan tersingkir. Aku begitu asyik memerhatikan kawan-kawanku bermain. Kumpulanku sudah beberapa kali gagal.
   
        Tiba-tiba namaku terpacul dari mulut salah seorang budak lelaki. Lambat-lambat kakiku melangkah ke depan kelas. Pelbagai pertanyaan diasakkan kepadaku. Alhamdulillah aku dapat menjawab semuanya. Kumpulanku hampir menang. Belum pun sempat hendak merasa lega, tiba-tiba salah seorang budak lelaki yang nakal  bangun mengajukan soalan dalam bahas Inggeris kepadaku. Aku terkesima.
       'Do you like me?". Semua mata terarah padaku. Murid lelaki itu tersipu tunduk memandang mejanya. Aku terdiam. Cikgu Gobi selaku guru Bahasa Inggeris itu tersenyum padaku. Aku buat-buat tidak nampak.
       "I dont like you", jawabku bersahaja diikuti dengan sorakan mengejek. Tidak kusangka murid pendiam sepertiku ini akan diajukan soalan yang begitu. Paling tragis sekali murid lelaki itu adalah murid yang paling handsome dalam kelasku dan paling ramai peminat. Oh!...

      Aku tersipu lagi bila tiba-tiba namaku dipanggil. Selesai permainan tadi semua murid boleh pulang kecuali aku. Aku terpinga. Wajah guru India di depanku nampak serius. 
       "Apa yang aku dah buat?, ada apa-apa kesalahan ke yang telah aku lakukan?", pelbagai pertanyaan bermain dimindaku. Aku berdiri di tepi dinding sementara cikgu itu mundar mandir di depanku. Aku menanti penuh gugup.Aku merenung hujung kasutku. Rasa semacam sedang menunggu keputusan mahkamah sahaja.
       "Do you have a problem?". Aku mengangkat muka. Cikgu Gobi didepanku masih mundar mandir. Aku menggeleng lemah. Baru aku teringat semasa language game tadi Junaidah ada membuat pertanyaan samada aku ada masalah. Aku selamba menjawab "I have many problem".. tak sangka rupanya diambil perhatian sebegini rupa. Sebenarnya aku ada masalah kewangan. Akhir-akhir ini emak tidak dapat ke ladang kerana melahirkan adik aku yang kelapan?. Oleh sebab itulah aku tidak dapat membayar duit yuran SPM. Sedangkan sudah beberapa kali guru kelasku memintanya dan waktu akhir bayarannya pun sudah hampir tamat.

       "Awak ada masalah duit ke?" macam tahu-tahu sahajalah cikgu ni. Bisik hati kecilku.Aku geleng tak tahu kenapa. Dalam hati ini hendak sahaja aku ceritakan semuanya namun perasaan malu masih menebal.
       "Masalah peribadi", aduhai macamana ni,aku angguk pula tiba-tiba. Aduhai memang cari penyakit betullah aku ni.
       "Okey, kalau tak mahu cerita dengan saya tak apa, awak boleh cerita dengan cikgu-cikgu lain. Esok waktu rehat saya nak jumpa". Aku terdiam terus.

       "Aik!... menung apa lagi tu?". Aku tersentak. Suamiku merenung ke mataku mencari jawapan. Aku terkesima lagi. Kubiarkan semua soalan itu berlegar-legar.

      "Emak!, cikgu dah minta yuran SPM,". Emak membuka mata sambil tangannya masih lagi menepuk nepuk punggung si kecil. Kulihat emak bangkit dari baringnya. Rasa kesal pula bila mengganggu emak begitu. Lagi pun emak baru sahaja bersalin beberapa hari lalu. Anak mataku menyoroti emak yang keluar dari pintu belakang. Aku berlari ke tingkap dapur memerhatikan gelagat emak yang di luar dugaanku. Rupanya emak ke rumah Kak Lah jiran sebelah rumahku. Emak duduk di atas tangga rumah Kak Lah. Emak membicarakan sesuatu, kulihat Kak Lah masuk ke dalam rumah seketika dan keluar semula membawa sesuatu di dalam genggamannya.

       "Nah! ambil ni,". Emak menyuakan segumpal duit kertas kepadaku. Aku mengambilnya tanpa sepatah kata. Emak kemudian berbaring semula di sebelah si kecil yang tiba-tiba menguit manja, seolah-olah tahu yang emak sedang berada disisinya.
       "Terima kasih emak", ucapku sepatah sebelum masuk ke bilikku untuk menyimpan wang tersebut. Hatiku berbunga kelegaan kerana tidak payah lagi hendak kujawab segala macam pertanyaan guru kelasku nanti. Alhamdulillah.

       Selang beberapa hari berikutnya kulihat apak sedikit kecoh. Rupanya apak hendak pergi ke sekolahku untuk meminta penangguhan bayaran yuran SPMku. Aku terharu sangat. Apak sudah berpakat dengan jiranku Pak cik Moin untuk ke sana. Kebetulan anak Pak cik Moin sekelas denganku. Hanya kami berdua sahaja yang masih belum membayar yuran SPM.Bila mendapat tahu yang apak hendak pergi ke sekolahku aku terus berlari menuju ke simpang. Selalunya disitulah tempat menunggu kereta sapu. Nasib baik aku sempat sampai pada waktu yang tepat. Apak ketika itu sedang memegang pemegang pintu untuk masuk ke kereta. Setelah aku jelaskan semuanya apak tidak jadi pergi sebaliknya pulang ke rumah bersamaku.

       Setelah emak menjelaskan semuanya pada apak, apak menarik nafas lega. Tanpa kuduga apak bergegas ke rumah jiran sebelah rumahku. Kali ini suaminya Abang Mat yang keluar. Dari tingkap dapur dapat kudengar butir bicara apak yang mengucapkan terima kasih kerana telah sudi memberi pinjaman buat membayar yuran SPMku. Aku terharu kerana fikirku apak sudah lupa akan tanggung jawabnya. Rupanya apak tidak begitu. Aku terharu, bergenang airmataku menyaksikan semua itu di depan mataku.

       "Aik... masih nak nangis lagi?". Aku tersenyum. Airmata yang hendak menitis kutahan dengan hujung jariku. Suamiku memandang aku dengan satu jelingan.
       "Bukan nangislah, habuk masuk mata", aku berdalih. Sebenarnya aku malu kalau suamiku tahu yang aku menangis nanti diajuknya aku.
       "Yelah!.. kereta buruk banyaklah habuk", usiknya melucu.
       "Buruk-buruk pun lepas ke Pahang". Jawabku pula.
       Tiba-tiba aku terjerit kecil apabila suamiku sengaja tidak memegang stereng, ketika itu kereta kami sudah pun melalui Jalan Pahang, sebentar lagi kami akan sampai.
       "Saja, seronok dengar awak menjerit". Selepas itu satu cubitan halus singgah ke pehanya. Dia juga menjerit. Aku memandang ke belakang melihat dua puteriku yang nyenyak.
       "Saja seronok, dengar abang menjerit", balasku. Kami akhirnya sama-sama ketawa kecil. Pokok-pokok yang menghijau di luar kenderaan terasa turut sama tertawa.

   






Isnin, 4 Februari 2013

Sempat possing untuk kenangan.. entah bila nak sampai lagi kat sini.
.












   


        Alhamdulillah... hari ini hari yang indah sekali. Siapa sangka pada hari ini aku dapat pergi jalan-jalan makan angin. Sebenarnya sudah lama sangat aku hendak pergi bercuti jalan-jalan, santai-santai tetapi masa tidak mengizinkan mentelah suamiku sentiasa ada agendanya sendiri, maka terpaksalah aku akur dengan segala macam tugasannya.

       Sebenarnya sejak dua tiga hari yang lepas aku ada mengajak suamiku jalan-jalan. Teruja sungguh aku bila melihat di jalan raya depan rumahku kenderaan bertali arus tiada hentinya.

'Tentu sahaja mereka semua tu nak pergi Cameron
' rungutku cemburu. Yelah seingat aku dah setahun lebih kami tidak pergi Cameron, apalah salahnya jika cuti-cuti begini dapat meluangkan masa ke sana. Suamiku hanya beralasan " kereta banyak", sambil menunjuk ke arah jalan raya. Mahu atau tidak terpaksalah kupendamkan sahaja kemahuan diri.

       Pagi tadi seusai sahaja bersarapan aku mengemas-ngemas ruang tamu, sebentar lagi hendak ke luar untuk menguruskan nurseryku tiba-tiba, suamiku dah tersenyum-senyum di sofa.
" Nak gi jalan tak?" dia menyuarakan sesuatu yang mengejutkan. Aku terdiam sambil menyudahkan kerja-kerja mengemas. "Bila?", soalku cepat. Suamiku terus tergelak melihat gelagat aku yang dah mula teruja. "Sekaranglah... nak pergi siap". Itu arahan atau pertanyaan.  "Kemana?" soalku sedikit ceria. suamiku tidak menjawab sebaliknya menunjuk ke atas arah CH. Aku apalagi macam lipas kudung bersiap. Hari ini hari Isnin, mungkin jalan raya tidak sibuk. Fikirku lagi.

       Tidak sampai beberapa minit aku sudah duduk di dalam van diikuti anak bujangku Muttaqin, dia pun teuja hendak menikmati alam semula jadi di atas sana. Kami bertolak sekitar jam 9:15 pagi. Memang betul tiada banyak kenderaan di atas jalan raya. Perjalanan kami lancar dan sampai di tempat yang hendak di tuju agak awal. Aku sebenarnya bimbang sangat, takut termuntah maklumlah dah lama tak naik Cameron. Selalunya nak menyampaikan di atas sana aku dah lembik, tetapi yang indahnya hari ini aku biasa sahaja macam tiada apa-apa yang berlaku. Yes! seronoknya!!!.

       Sebenarnya tujuan kami ke Ringlet kali ini adalah untuk membeli sedikti bunga-bunga untuk diletakkan di nurseryku, biar nampak ceria. Tauke bunga tu masih mengenali kami. Kali pertama kami menjejakkan kaki ke tempat itu ketika Aqlima dan Zulaiqha masih kecil. Pekerjanya Kak yong wanita Indon itupun masih bekerja di situ. Pernah beberapa tahun kami membawa Aqlima dan Zulaiqha, terharu sekali kerana Kak Yong masih mengenali mereka. Wah! sangat-sangat mengujakan.

       Disaat dikelilingi bunga-bunga pelbagai warna hatiku ceria sungguh. Hari ini hari yang sungguh-sungguh menggembirakan dapatt menikmati keindahan bunga-bungaan. Itu semua sudah cukup membahagiakan aku, kalau selama ini duaniku hanya di sekitar rumah sahaja, hari ini aku terasa bebas-sebebasnya. "Terima kasih sayang kerana sudi membawaku ke sini"....


       Dalam perjalanan pulang aku merengek lagi, mengajak suamiku makan-makan di Batu 14 atau lebih dikenali sebaggai Lata Iskandar. Tempat ini sangat menarik kerana air terjunnya menjadi daya tarikan yang tersendiri. Entah kenapa hari ini hari bertuahku tak sangka mahu pula suamiku menuruti kemahuanku. Seronoknya....

       Sedang menantikan pesanan tiba sekali lagi aku membuat permintaan, wah! banyak betul permintaanku hari ini. Aku minta izin untuk pergi dekat dengan gigi air, aku nak snap beberapa keping gambar buat kenang-kenangan. Suamiku agak keberatan, tetapi bila aku kata Taqin ikut sekali barulah dia setuju. Dah tua-tua macam ni pun masih rasa cemburu. Agaknya takut perkara lama berulang kembali. Malaslah nak kenang perkara lama tuu.. biarlah ia berkubur macam tu saja.

       "Baik-baik jangan sampai terlepas handset tu". Pesanan suamiku itu macam tidak menyenangkan aku. Sayang sangatlah handsetnya tu... cakaplah "hati-hati nanti jatuh", barulah best. Aku tergelak sendiri mengenangkan banyak sangat yang aku minta dan mengada-ngada pula... ah! lantaklah bukannya dengan siapa-siapa my husbands. Seingat akulah baru 2 kali aku betul-betul datang ke sini tempat air terjun yang popular ini. Kali pertama 2 tahun lepas itu pun... sekejap je kerana atas sebab tertentu. Terlanjur dah lalu.. singgah sekejap. Itupun hari dah nak maghrib sangat. Dapat sentuh airnya sahaja ketika itu. Sejuk sangat... airnya kalau mandi boleh menggigil agaknya. Walaupun dah 22 tahun menetap di persekitaran ini baru 2 kali.. memang pelik dan aneh. aduhai nasib badan... Apa apapun mungkin ada hikmah disebaliknya. Hanya Allh jer yang tahu.

       Takjubnya bila melihat air terjun yang memutih dari atas bukit sana. Wah!... terfikir pula dalam fikiran ini dari mana datangnya air yang sebegitu banyak itu. Semua yang terhidang di depan mata ini suatu kekuasaan Allah. Aku terleka sebentar bila tersedar sudah banyak masa yang telah aku habiskan di situ. tidak ramai yang mandi manda ketika itu. Pengunjung pun tidaklah ramai... memang selesa sangat. Betullah telahan suamiku.

       Selesai minum dan makan kami berangkat pulang. Dalam mindaku masih tergambar hijau, kuning, merah, oren dan pelbagai warna warni. Indahnya... bunga-bunga ciptaan Tuhan. Pemandangan di luar van juga membuatkan aku terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang payah untuk di terjemahkan dengan kata-kata. Zuhudnya orang-orang asli dengan kehidupan mereka. Sedar-sedar kami sudah tiba di halaman.

Khamis, 31 Januari 2013

        Selamat petang semua,,, entahlah kenapa agaknya hari ni rasa nak demam jer. Kepala pusing semacam, badan pun sekejap panas sekejap sejuk. "Mungkin demam anak masuk asrama", usik suamiku. Yelah kan semalam kami menghantar seorang lagi puteriku masuk asrama. Terasa macam hatiku dibawa juga bersama
        
        Pada mataku puteriku ini masih kecil dan masih lagi manja denganku. Bila waktu terluang,,, dia masih suka duduk diribaku. Selalu mengurut kakiku yang kebas-kebas diwaktu malam.
Ah! bila ingatkan itu... memanglah rasa kehilangan. Tapi terpaksa lepaskan demi sebuah perjalanan untuk menimba ilmu. Aku doakan dia dalam doaku sentiasa. Biarpun begitu malam tadi tidurku sering terjaga dan bagaikan ternampak wajahnya yang manis,,,... sebenarnya aku yang lebih-lebih kan??
        
       
       Alhamdulillah... setelah seminggu puteriku Aqlima masuk asrama barulah aku berpeluang menjengoknya, rasa macam dah lama betul dia meninggalkan rumah ini. Sunyi sangat semasa ketiadaannya. Selalunya dialah yang bermulut becok setiap kali pulang dari sekolah. Ada ada sahaja cerita yang dibawa balik. Kini tinggallah adiknya Zulaiqha menemani sunyiku. Setiap malam merengek minta aku temankan dia tidur. Hmmm... terpaksalah kulayani kerenahnya.
       

       Semasa aku membertitahu Aqlima yang aku nak datang ke sekolahnya melalui telefon, amboi bukan main seronoknya dia "" Yey! yey!... umi nak datang""... aduhai terharu apabila mendengar suaranya yang seronok itu.
Tiba di perkarangan aspuri dari jauh dah nampak kelibatnya,, dia apa lagi terus berlari menuruni asramanya. Wah!... seronok benar rupanya dia. Apa-apapun syukurlah yang dia dah dewasa sekarang. Apalagi macam berteh goreng... macam-macam pengalaman yang dibualkan. Sampai naik lemah aku dibuatnya... mendengar pelbagai kisah menariknya.Esok adalah hari pertama dia akan balik dari asrama. Mudah-mudahan puteriku ini akan menjadi anak yang solehah.... amin.


        Baru-baru ini puteriku Aqlima pulang dari asrama... seperti biasa bermacam cerita yang dibawa balik. Aku sesekali tersenyum mendengar pelbagai kisah darinya, hingga ada ketikanya aku menyuruhnya untuk berhenti, hmmm... tetapi kasihan pula bila melihat dia seakan merajuk. Yelah dengan siapa lagi mahu disampaikan semua kisah-kisahnya itu pada adiknya,,,, Zulaiqha agak mustahil kerana bukan sahaja dia kurang berminat mendengarnya, lagi pun puteri bongsuku itu amat-amatlah pendiam seperti uminya ini.... (perasan)
nak bercerita dengan kakaknya lagilah... bagi aku kakaknya itu saling tak tumpah seperti Kak Ros dalam cerita upin dan ipin sangat-sangatlah pendengus. Maka terpaksalah aku menjadi tempatnya untuk menceriakan pelbagai kisah pahit manisnya....

       
       Sememangnya mendengar cerita-cerita dari Aqlima dapat membangkitkan rasa gembira dihati ini. Pelbagai pengalaman pertamanya bila berjauhan dari keluarga. Banyak sungguh!!....  Antaranya yang mencuit hatiku ialah bilamana di asramanya ada seorang budak yang mirip wajahnya,,, selalu sahaja penghuni asrama tersilap menyangkakan yang Aqlima adalah budak tersebut, ada yang menganggap mereka berdua kembarlah, adik beradiklah... dan macam-macam lagi.... tak mampu aku ceritakan sepenuhnya. Apa-apapun aku senang dengan semua penceritaannya.Dalam diam-diam sedikit kerinduanku padanya terubat juga, dah lama tidak dihidangkan dengan cerita-ceritanya.Selalunya pulang dari sekolah dialah yang paling banyak mulut.

        Alhamdulillah apabila melihat kemesraan Aqlima dan adiknya itu membuatkan jiwaku tenang. Mungkin seminggu Aqlima tiada di rumah membuatkan mereka bertambah mesra bila berjumpa, tadi sahaja mereka duduk dekat-dekat berkongsi satu bangku di depan komputer sambil tergelak-gelak bermain game kesukaan mereka. Aku menarik nafas lega... selalunya ada-ada sahaja bahan yang dikelahikan, ejek mengejek. Kekadang sampai menangis pun ada. Namun semua dugaanku meleset... belum sampai seminit, mereka berantakan semula. Aku cuma menggeleng kepala sementara kakak mereka Balqis yang asyik membuat kerja sekolah di meja tulisnya sesekali terjerit kecil... "diamlah... ",. Apa-apapun seronok juga aku,, inilah dunia kanak-kanak. Bisik aku sambil meninggalkan ruang tamu.
     
       Alhamdulillah... akhirnya setelah 4 hari bercuti di rumah kami menghantar Aqlima pulang ke asramanya. Di dalam kenderaan semuanya terdiam, mungkin sedang melayan perasaan masing-masing. Setelah menolong Aqlima membawa barang-barangnya ke biliknya kami bersalaman. Seusai bersalaman denganku terus sahaja aku masuk ke kereta, yang tinggal cuma Balqis yang asyik menarik tangannya setiap kali Aqlima cuba untuk bersalam dengannya. "Umi!.. tengoklah Balqis ni tak nak salam dengan kita", aku menoleh kelihatan Balqis masih cuba menarik-narik tangannya tetapi setelah aku memarahinya barulah dia menyuakan tangannya itupun seperti ibu tiri lagaknya. Aku ketawa kecil entah apa yang menggelikan hatiku sangat.


      Zulaiqha pula sudah lama menyembunyikan kedua tangannya ke belakang. Dia awal-awal lagi sudah masuk ke kereta. "Salam cepat.." suruhku. Akhirnya dia hanya menyuakan jari telujuknya yang halus kepada kakaknya Aqlima, aku menggeleng... terpaksalah Aqlima juga menghulurkan jari telunjuknya juga. Hanya jari-jari mereka sahaja yang menguit-nguit. Suami aku dah mula tersenyum melihat gelagat puteri-puterinya yang pelbagai ragam itu.

        Semasa kenderaan kami meninggalkan aspuri itu kelihatan Aqlima masih melambai mesra ke arah kami, masih belum berganjak sehinggalah hilang dari pandangan. Sebelum itu... sempat pula Zulaiqha menjulurkan lidahnya kepada Aqlima. Aqlima membalasnya dengan penumbuk. Aku tersengeh melihat semua itu. Aduhai mengapalah mereka semua ini tidak boleh mesra sedikit. Ada-ada sahaja... Namun jauh disudut hati ini berfikir, mungkin itu adalah cara mereka menunjukkkan kemesraan. Apa-apapun sepanjang perjalanan aku berdoa terus untuk kebaikan mereka dan aku mengaminkannya sendiri.