Sabtu, 13 Julai 2013

       Saat aku membuka peti sejuk tadi, terlihat buah peria di situ, tiba-tiba sahaja kenangan lalu menerjahku. Entahlah sejak akhir-akhir ini aku menjadi terlalu ingat dengan kenangan silam. Mungkin juga kerana semua kenangan itu terlalu mahal buat aku. 

       Perjalanan yang jauh itu membuatkan perutku lapar, yelah kan, sepanjang perjalanan itu tiada apa yang kami makan melainkan mengunyah pemandangan di luar jendela. Pohon-pohon di tepi jalan seakan-akan turut berlari sama. Segala percaturan dari Tuhan aku terima dalam kepasrahan. Terbayang lagi kesedihan yang emak dan ahli keluargaku tunjukkan saat aku mahu meninggalkan rumah tadi. Hmmm... melihat airmata emak menitis tadi, aku bagai hanyut dalam kepiluan. Sempat emak berbisik sesuatu padaku dan kata-kata keramat itulah yang menghebatkan lagi kepiluanku yang sejak tadi telah mula menguasaiku. Sepanjang perjalanan tiada sepatah kata pun yang terbit dari mulutku melainkan suara esak tangisku yang perlahan. Tiada sesiapa pun di dalam kereta itu yang cuba untuk bersuara, melainkan membiarkan sahaja aku berilusi dengan emosiku.


Alhamdulillah, akhirnya kami singgah di sebuah kedai makan di Tanjung Malim. Tempat itu terlalu asing buat aku. Semasa menjamu selera di tengahari itu, tiada banyak yang kami bualkan. Apa yang kami makan ketika itu siap dihidang seolah-olah meraikan aku yang baru pertama kali berkunjung ke situ. Antara lauk yang dipilih ialah gulai peria bersama udang besar masak cili padi. Wah! sungguh menyelerakan sekali. Namun aku mula musykil bila suami aku langsung tidak menyentuh gulai peria itu. Padahal tadi dia yang beriya-iya mengatakan "Sedap, sedap", semasa aku memilihnya. Namun aku tidak jadi bertanya biarlah, mungkin dia ada sebab untuk semua itu.

Terlalu kekok rasanya makan bersama lelaki yang baru beberapa hari menjadi suamiku. Apatah lagi antara kami belum pernah kenal dan belum pernah bersua muka sebelum berkahwin. Malah masa bertunang pun kami belum saling kenal meliankan sekeping gambar yang diberinya. Ketika makan itulah aku mencuri-curi pandang ke wajah suamiku. Hmmm... agak kacak juga orangnya, nampak kebaikan yang ada pada dirinya dan yang penting dia sangat berbudi bahasa dengan kedua orang tuaku. Tiba-tiba aku tersipu bila tiba-tiba si dia menyedari yang aku merenungnya dan seulas senyuman dilemparkan padaku. 

Inilah percaturan Allah buat aku, siapa sangka yang aku akan berkahwin dengan orang yang langsung tidak kukenali. Siapa sangka sebentar sahaja lagi aku akan menjadi sebahagian hidup suamiku, sebentar sahaja lagi aku akan sampai ke perkarangan rumah suamiku. Paling tragis sekali ialah tiada seorang pun ahli keluargaku yang turut sama menghantar aku ke rumah pengantin lelaki. Suara sedih emak tadi bermain-main dibenakku, emak minta maaf sebab tidak dapat menghantar aku, mungkin di majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki pun emak tidak dapat menghadirkan diri. Itulah, yang telah emak bisikkan padaku tadi. Aku melepaskan keluhan, terlalu besarnya dugaan Allah kurasa. Mungkin emak ada agenda lain yang tidak dapat dielakkan... tiba-tiba aku merasa jauh hati.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan