Sabtu, 13 Julai 2013

Malam tadi bila terdengar sahaja alunan suara Misyari Al Rasyid, ingatanku jadi singgah pada emak di kampung. Harap-harap emak sihat sekarang ni.

2 tahun yang lalu aku menerima berita yang emak dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Cemas aku dibuatnya...
Sesampai di hospital, aku lihat emak sedikit ceria, bermulalah episod baru dalam hidupku. Ketika aku sampai di hospital hari sudah senja. Perjalanan yang panjang itu amat meletihkan sekali. Namun aku sangat gembira kerana hajat aku hedak menjaga emak di hospital kesampaian juga.

Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata kerana ada sesuatu yang menganggu perasaanku. Bukannya apa... aku teruja sangat bila mendengar alunan suara Misyari Rasyid memperdengarkan surah al Mulk. Sebenarnya aku dah lama jatuh hati dengan suaranya.
Siapa sangka di wad tersebut ada seorang mak cik, sebelah katil emak asyik memasang surah tersebut,,,, diulang-ulangnya sampai ke pagi. meremang-remang bulu romaku kerana terlalu asyik ketika menghayatinya. Secara tak langsung aku mengikuti bacaannya dalam hati sampai terlupa nak tidur.


Sepanjang malam itu juga aku asyik menemani emak ke bilik air. Tubuh emak yang lemah itu kupapah. Seronok sangat kerana dapat berbakti pada orang yang kita kasihi.

Alhamdulillah keesokan harinya... hampir kesemua pesakit di wad itu dibenarkan pulang. Gembira sangat rasanya, kerana keadaan emak dah mula pulih mungkin berkat ayat-ayat suci yang dipasang sepanjang malam. Apa-apapun pengalaman di hospital itu cukup memberi seribu pengajaran buat aku.
Alhamdulillah... malam tadi berterawih kat masjid yang telah menyimpan begitu banyak kenangan terutama sekali buat arwah bapa mertuaku. Ketika mendengar ayat-ayat suci dikumandangkan oleh budak-budak tahfiz yang menjadi imam aku jadi ingat pula kepada putera sulungku yang juga seorang tahfiz. Malah sejak form 4 lagi dia dah berjinak-jinak menjadi imam terawih di merata surau dan masjid di sekitar Perak ini.

Namun ada satu pengalaman yang tidak mungkin akan aku lupakan sampai kini. Bila mendengar dia akan menjadi imam di sebuah kawasan pendalaman hatiku melonjak-lonjak ingin menziarahinya. Lagipun ketika itu dia masih belajar dan menelefon meminta sedikit wang belanja. Kami tiba di perkarangan surau itu tepat pada masanya. Ketika kami tiba terdengar suara azan yang merdu dari teman anakku.

Paling mengharukan hampir semua jemaah surau itu adalah di kalangan orang-orang tua. Mereka semua begitu bersemangat untuk bersolat terawih. Ada yang sembahyang sambil duduk, ada yang hanya bersolat di kerusi. Ada yang sudah bongkok tiga, tetapi masih mahu meneruskan hingga 20 rakaat. Rata-rata jemaah yang muda angkat kaki selepas 8 rakaat, tetapi yang tua semuanya masih tidak berganjak. Jemaah macam tidak berkurang pun sewaktu aku minta diri untuk pulang setelah selesai 8 rakaat. yela kan nak balik jauh...


Ketika meminta diri untuk pulang itulah sempat pula seorang kakak tu, bertanya aku nak pergi rumah siapa, maklumlah tidak pernah melihat aku sebelum ini. Setelah aku terangkan tujuanku ke situ, dia memanggil aku dengan gelaran "emak ustaz", yela.. putera aku tu, walaupun masih belajar sebelah paginya, tetapi sebelah petang dia mengajar di sekolahnya. Dia melayan aku sebaiknya.. menjemput aku menikmati juadah more, aku terpaksa menolaknya kerana terpaksa meneruskan perjalanan yang jauh.

Akhirnya dia membuungkus sejumlah kuih muih yang ada berserta pulut kuning berlaukkan rendang daging. Tak habiis-habis dia memanggilku emak ustaz. Aku tersenyum gelihati sambil melihat ketangkasannya membungkus juadah tersebut. Akhirnya aku terpaksa meninggalkan surau itu dengan satu perasaan yang amat terharu sekali.


Dalam perjalanan yang boleh tahan jauhnya itu, kami pun membuka bekalan yang diberi tadi. Terkejut sangat....kerana semua kuih yang dibekalkan tadi semuanya sangat sedap. Bengkangnya, karipapnya dan aku dah lupa kuih apa lagi.. yang aku ingat suamiku tak henti-henti memuji kesedapan semua kuih tersebut. Sesampai di rumah pula kami menikmati pulut kuning beserta rendang.. ya Allah... punyalah sedap. Aku mula berfirasat sendiri, mungkin masakan orang tua sangat sedap kerana mereka sangat berpengalaman. Masih terbayang di mindaku beriya-iyanya kakak itu menjemput aku supaya datang lagi minggu depan kerana akan diadakan more lagi. Aku cuma tersenyum rasanya sangat seronok dipanggil "emak ustaz", hatiku berbunga-bunga sampai kini.
       Saat aku membuka peti sejuk tadi, terlihat buah peria di situ, tiba-tiba sahaja kenangan lalu menerjahku. Entahlah sejak akhir-akhir ini aku menjadi terlalu ingat dengan kenangan silam. Mungkin juga kerana semua kenangan itu terlalu mahal buat aku. 

       Perjalanan yang jauh itu membuatkan perutku lapar, yelah kan, sepanjang perjalanan itu tiada apa yang kami makan melainkan mengunyah pemandangan di luar jendela. Pohon-pohon di tepi jalan seakan-akan turut berlari sama. Segala percaturan dari Tuhan aku terima dalam kepasrahan. Terbayang lagi kesedihan yang emak dan ahli keluargaku tunjukkan saat aku mahu meninggalkan rumah tadi. Hmmm... melihat airmata emak menitis tadi, aku bagai hanyut dalam kepiluan. Sempat emak berbisik sesuatu padaku dan kata-kata keramat itulah yang menghebatkan lagi kepiluanku yang sejak tadi telah mula menguasaiku. Sepanjang perjalanan tiada sepatah kata pun yang terbit dari mulutku melainkan suara esak tangisku yang perlahan. Tiada sesiapa pun di dalam kereta itu yang cuba untuk bersuara, melainkan membiarkan sahaja aku berilusi dengan emosiku.


Alhamdulillah, akhirnya kami singgah di sebuah kedai makan di Tanjung Malim. Tempat itu terlalu asing buat aku. Semasa menjamu selera di tengahari itu, tiada banyak yang kami bualkan. Apa yang kami makan ketika itu siap dihidang seolah-olah meraikan aku yang baru pertama kali berkunjung ke situ. Antara lauk yang dipilih ialah gulai peria bersama udang besar masak cili padi. Wah! sungguh menyelerakan sekali. Namun aku mula musykil bila suami aku langsung tidak menyentuh gulai peria itu. Padahal tadi dia yang beriya-iya mengatakan "Sedap, sedap", semasa aku memilihnya. Namun aku tidak jadi bertanya biarlah, mungkin dia ada sebab untuk semua itu.

Terlalu kekok rasanya makan bersama lelaki yang baru beberapa hari menjadi suamiku. Apatah lagi antara kami belum pernah kenal dan belum pernah bersua muka sebelum berkahwin. Malah masa bertunang pun kami belum saling kenal meliankan sekeping gambar yang diberinya. Ketika makan itulah aku mencuri-curi pandang ke wajah suamiku. Hmmm... agak kacak juga orangnya, nampak kebaikan yang ada pada dirinya dan yang penting dia sangat berbudi bahasa dengan kedua orang tuaku. Tiba-tiba aku tersipu bila tiba-tiba si dia menyedari yang aku merenungnya dan seulas senyuman dilemparkan padaku. 

Inilah percaturan Allah buat aku, siapa sangka yang aku akan berkahwin dengan orang yang langsung tidak kukenali. Siapa sangka sebentar sahaja lagi aku akan menjadi sebahagian hidup suamiku, sebentar sahaja lagi aku akan sampai ke perkarangan rumah suamiku. Paling tragis sekali ialah tiada seorang pun ahli keluargaku yang turut sama menghantar aku ke rumah pengantin lelaki. Suara sedih emak tadi bermain-main dibenakku, emak minta maaf sebab tidak dapat menghantar aku, mungkin di majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki pun emak tidak dapat menghadirkan diri. Itulah, yang telah emak bisikkan padaku tadi. Aku melepaskan keluhan, terlalu besarnya dugaan Allah kurasa. Mungkin emak ada agenda lain yang tidak dapat dielakkan... tiba-tiba aku merasa jauh hati.