Khamis, 31 Januari 2013

        Selamat petang semua,,, entahlah kenapa agaknya hari ni rasa nak demam jer. Kepala pusing semacam, badan pun sekejap panas sekejap sejuk. "Mungkin demam anak masuk asrama", usik suamiku. Yelah kan semalam kami menghantar seorang lagi puteriku masuk asrama. Terasa macam hatiku dibawa juga bersama
        
        Pada mataku puteriku ini masih kecil dan masih lagi manja denganku. Bila waktu terluang,,, dia masih suka duduk diribaku. Selalu mengurut kakiku yang kebas-kebas diwaktu malam.
Ah! bila ingatkan itu... memanglah rasa kehilangan. Tapi terpaksa lepaskan demi sebuah perjalanan untuk menimba ilmu. Aku doakan dia dalam doaku sentiasa. Biarpun begitu malam tadi tidurku sering terjaga dan bagaikan ternampak wajahnya yang manis,,,... sebenarnya aku yang lebih-lebih kan??
        
       
       Alhamdulillah... setelah seminggu puteriku Aqlima masuk asrama barulah aku berpeluang menjengoknya, rasa macam dah lama betul dia meninggalkan rumah ini. Sunyi sangat semasa ketiadaannya. Selalunya dialah yang bermulut becok setiap kali pulang dari sekolah. Ada ada sahaja cerita yang dibawa balik. Kini tinggallah adiknya Zulaiqha menemani sunyiku. Setiap malam merengek minta aku temankan dia tidur. Hmmm... terpaksalah kulayani kerenahnya.
       

       Semasa aku membertitahu Aqlima yang aku nak datang ke sekolahnya melalui telefon, amboi bukan main seronoknya dia "" Yey! yey!... umi nak datang""... aduhai terharu apabila mendengar suaranya yang seronok itu.
Tiba di perkarangan aspuri dari jauh dah nampak kelibatnya,, dia apa lagi terus berlari menuruni asramanya. Wah!... seronok benar rupanya dia. Apa-apapun syukurlah yang dia dah dewasa sekarang. Apalagi macam berteh goreng... macam-macam pengalaman yang dibualkan. Sampai naik lemah aku dibuatnya... mendengar pelbagai kisah menariknya.Esok adalah hari pertama dia akan balik dari asrama. Mudah-mudahan puteriku ini akan menjadi anak yang solehah.... amin.


        Baru-baru ini puteriku Aqlima pulang dari asrama... seperti biasa bermacam cerita yang dibawa balik. Aku sesekali tersenyum mendengar pelbagai kisah darinya, hingga ada ketikanya aku menyuruhnya untuk berhenti, hmmm... tetapi kasihan pula bila melihat dia seakan merajuk. Yelah dengan siapa lagi mahu disampaikan semua kisah-kisahnya itu pada adiknya,,,, Zulaiqha agak mustahil kerana bukan sahaja dia kurang berminat mendengarnya, lagi pun puteri bongsuku itu amat-amatlah pendiam seperti uminya ini.... (perasan)
nak bercerita dengan kakaknya lagilah... bagi aku kakaknya itu saling tak tumpah seperti Kak Ros dalam cerita upin dan ipin sangat-sangatlah pendengus. Maka terpaksalah aku menjadi tempatnya untuk menceriakan pelbagai kisah pahit manisnya....

       
       Sememangnya mendengar cerita-cerita dari Aqlima dapat membangkitkan rasa gembira dihati ini. Pelbagai pengalaman pertamanya bila berjauhan dari keluarga. Banyak sungguh!!....  Antaranya yang mencuit hatiku ialah bilamana di asramanya ada seorang budak yang mirip wajahnya,,, selalu sahaja penghuni asrama tersilap menyangkakan yang Aqlima adalah budak tersebut, ada yang menganggap mereka berdua kembarlah, adik beradiklah... dan macam-macam lagi.... tak mampu aku ceritakan sepenuhnya. Apa-apapun aku senang dengan semua penceritaannya.Dalam diam-diam sedikit kerinduanku padanya terubat juga, dah lama tidak dihidangkan dengan cerita-ceritanya.Selalunya pulang dari sekolah dialah yang paling banyak mulut.

        Alhamdulillah apabila melihat kemesraan Aqlima dan adiknya itu membuatkan jiwaku tenang. Mungkin seminggu Aqlima tiada di rumah membuatkan mereka bertambah mesra bila berjumpa, tadi sahaja mereka duduk dekat-dekat berkongsi satu bangku di depan komputer sambil tergelak-gelak bermain game kesukaan mereka. Aku menarik nafas lega... selalunya ada-ada sahaja bahan yang dikelahikan, ejek mengejek. Kekadang sampai menangis pun ada. Namun semua dugaanku meleset... belum sampai seminit, mereka berantakan semula. Aku cuma menggeleng kepala sementara kakak mereka Balqis yang asyik membuat kerja sekolah di meja tulisnya sesekali terjerit kecil... "diamlah... ",. Apa-apapun seronok juga aku,, inilah dunia kanak-kanak. Bisik aku sambil meninggalkan ruang tamu.
     
       Alhamdulillah... akhirnya setelah 4 hari bercuti di rumah kami menghantar Aqlima pulang ke asramanya. Di dalam kenderaan semuanya terdiam, mungkin sedang melayan perasaan masing-masing. Setelah menolong Aqlima membawa barang-barangnya ke biliknya kami bersalaman. Seusai bersalaman denganku terus sahaja aku masuk ke kereta, yang tinggal cuma Balqis yang asyik menarik tangannya setiap kali Aqlima cuba untuk bersalam dengannya. "Umi!.. tengoklah Balqis ni tak nak salam dengan kita", aku menoleh kelihatan Balqis masih cuba menarik-narik tangannya tetapi setelah aku memarahinya barulah dia menyuakan tangannya itupun seperti ibu tiri lagaknya. Aku ketawa kecil entah apa yang menggelikan hatiku sangat.


      Zulaiqha pula sudah lama menyembunyikan kedua tangannya ke belakang. Dia awal-awal lagi sudah masuk ke kereta. "Salam cepat.." suruhku. Akhirnya dia hanya menyuakan jari telujuknya yang halus kepada kakaknya Aqlima, aku menggeleng... terpaksalah Aqlima juga menghulurkan jari telunjuknya juga. Hanya jari-jari mereka sahaja yang menguit-nguit. Suami aku dah mula tersenyum melihat gelagat puteri-puterinya yang pelbagai ragam itu.

        Semasa kenderaan kami meninggalkan aspuri itu kelihatan Aqlima masih melambai mesra ke arah kami, masih belum berganjak sehinggalah hilang dari pandangan. Sebelum itu... sempat pula Zulaiqha menjulurkan lidahnya kepada Aqlima. Aqlima membalasnya dengan penumbuk. Aku tersengeh melihat semua itu. Aduhai mengapalah mereka semua ini tidak boleh mesra sedikit. Ada-ada sahaja... Namun jauh disudut hati ini berfikir, mungkin itu adalah cara mereka menunjukkkan kemesraan. Apa-apapun sepanjang perjalanan aku berdoa terus untuk kebaikan mereka dan aku mengaminkannya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan